SPI Dedahkan Guru Pendidikan Islam, PdP Berasaskan Teknologi
Labuan, 9 Julai – Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya menganjurkan Bengkel Kerja Pemantapan Guru Pendidikan Islam dan Guru Bahasa Arab bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, WP Labuan.
Bengkel yang berlangsung selama 2 hari ini bermula 8hb Julai, telah berjaya menarik minat 65 orang peserta yang terdiri daripada 20 orang peserta sekolah menengah dan 45 orang peserta dari sekolah kebangsaan.
Ustazah Norshifa Saad, SISC+ Barat Daya dari Negeri Pulau Pinang telah dijemput sebagai penceramah sepanjang bengkel berlangsung.
Penceramah: Ustazah Norshifa Saad. SISC+ Barat Daya, Pulau Pinang
Di dalam bengkel tersebut perkongsian amalan terbaik dalam menggunakan aplikasi terkini untuk menghasilkan pembelajaran dan pengajaran yang menarik minat murid seiring perlaksanaan Pembelajaran Abad ke 21 (PAK21) dan Revolusi Industri 4.0.
Antara aplikasi-aplikasi yang didedahkan seperti Google Classroom, Mentimeter, Google Keep, Zappar, Proprofs dan lain-lain lagi.
Rata- rata peserta seronok sepanjang bengkel tersebut diadakan dan memohon agar dilaksanakan bengkel lanjutan dan memilih mereka sebagai peserta kembali.
Ustaz Rahman sedang berbincang di dalam kumpulan mengenai teknologi mobileapps
Turut hadir di dalam bengkel tersebut, Ustazah Sitti Rahimah binti Yusuppu, Penolong Pengarah Unit Perancangan dan Pembangunan Islam, Sektor Pendidikan Islam.
Beliau selaku wakil sektor mengucapkan ribuan terima kasih kepada penceramah atas segala ilmu dan pengalaman yang dikongsikan dan terima kasih juga kepada peserta-peserta bengkel atas kerjasama yang diberikan.
Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam
Peserta Bengkel Sekolah Rendah
Pameran MPV SMK Labuan Semarakkan Pembudayaan Pendidikan STEM dan TVET
Labuan – SMK Labuan telah mengadakan Pameran Mata Pelajaran Vokasional (MPV) Grafik Berkomputer dan Produksi Multimedia pada 4 Julai lalu dengan mempamerkan hasil gabungan pembelajaran perisian yang telah murid pelajari dari tingkatan 4 hingga tingkatan 5.
Pameran MPV ini sedikit sebanyak dapat menyemarakkan pembudayaan pendidikan STEM dan TVET yang telah menjadi bidang keutamaan untuk menyediakan modal insan berkemahiran tinggi dalam mendepani era Revolusi Perindustrian 4.0.
Murid-murid Produksi Multimedia telah berjaya mempamerkan 2 projek akhir iaitu CD pembelajaran yang berkonsep learning courseware for kids dan laman pembelajaran mengikut subjek yang telah dipilih oleh murid.
Learning courseware merupakan perisian berbentuk pembelajaran ABC, dan 123 yang mempunyai versi Bahasa Melayu dan English. Learning courseware yang dihasilkan menggunakan gabungan perisian, macromedia freehand, macromedia flash, soundforge dan adobe photoshop.
Puan Siti Aminah bersama murid Produksi Multimedia
Laman pembelajaran pula berkonsepkan blog yang dibina oleh murid dengan menggunakan perisian macromedia dreamweaver, flash dan adobe photoshop.
Murid Grafik Berkomputer mempamerkan eviden Modul Pentaksiran Murid dari Tingkatan 4 hingga 5, serta barang jualan atau pameran mengikut produk yang dihasilkan oleh murid.
Pameran ini telah dirasmikan oleh Puan Zalina binti Zunkepely, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Labuan.
Puan Rafidah Md Pee, Guru Grafik Berkomputer dan Puan Siti Aminah Ahmad Ramli, Guru Produksi Multimedia merupakan pembimbing murid-murid dalam menjayakan Pameran MPV ini.
Pengunjung membeli produk jualan murid
PIBG Raikan Lebaran dan Hargai Jasa Guru SK Layang-Layangan
Sambutan hari raya aidifitri peringkat SK. Layang-Layangan disekalikan dengan sambutan Hari Guru disambut dengan meriah. Buat julung kalinya PIBG sekolah ini meraikan Lebaran secara besar-besaran berjaya mengumpulkan warganya bertempat di Dewan Surapit sekolah itu.
Antara lain objektifnya adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara ibu bapa, murid, guru dan staff Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan dengan saling bermaaf-maafan. Mewujudkan rasa insaf dan syukur sebagai penganut beragama Islam setelah berpuasa selama sebulan dan merapatkan jurang kehidupan di kalangan warga sekolah.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan En. Jumadi Bin Kastari selaku YDP PIBG sekolah ini berharap agar sambutan Raya anjuran PIBG ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan. Menurutnya lagi hubungan baik antara ibu bapa dan guru-guru akan membawa impak keberhasilan yang baik kepada murid-murid sekolah ini.
Pada majlis ini YDP PIBG telah melancarkan logo PIBG yang direka khas oleh beliau sendiri. Pelancaran logo ini telah disempurnakan oleh Tuan Alfonso Francis Timb. Pengarah Koreksional Labuan.
Pada majlis ini juga disekalikan dengan majlis perpisahan Guru Besar Puan Hajah Dayang @ Saidah Bt Hj Mohd Yassin yang berpindah ke SK. Pekan Dua.
Guru Besar menyampaikan ucapan.
Dalam ucapannya beliau amat terharu dengan usaha murni yang dijalinkan antara PIBG dan sekolah ini begitu akrab serta menunjukkan kerjasama yang baik antara kedua-dua belah pihak sejak beliau menerajui sekolah ini sehingga membuahkan hasil.
Beliau sendiri dianugerahi sebagai Tokoh Guru Besar Inspirasi PIBK peringkat negeri dan sekolah juga dinobatkan Johan Gerai Tercantik PIBK sempena pameran PIBK peringkat negeri. Beliau berharap usaha murni ini dapat kesinambungan legasi di bawah kepimpinan yang baharu.
“Sokongan ibu bapa yang sanggup menyediakan pelbagai jenis kuih-muih adalah satu kerjasama yang mantap dalam menjayakan program yang telah dimasukkan dalam takwim aktiviti sekolah, ini” “Saya melahirkan rasa bangga dengan inisiatif PIBG yang bukan sahaja bertungkus lumus menyediakan juadah, tapi turut mempersiapkan gerai mereka dengan hiasan yang menarik.” Katanya.
Majlis diteruskan dengan pertandingan pemakaian baju raya sedondon dan tercantik yang diperagakan oleh ibu bapa dan murid-murid. Maljis diselangselikan dengan nyayian lagu raya oleh ibu bapa dan murid-murid.
Pelbagai jamuan hari raya dihidangkan di mana terdapat gerai makanan untuk murid-murid seperti gerai satay, soto, buah-buahan, bihun sup, kuih-muih, air dan banyak lagi. Gerai makanan ini diuruskan oleh guru-guru dan juga ibu bapa yang terlibat.
Pelancaran Logo PIBG SK Layang-Layangan
Acara kemuncak bagi sambutan hari raya adalah penyampaian cenderahati daripada ibu bapa kepada guru-guru sekolah ini sebagai tanda menghargai jasa mereka dan acara memotong kek Hari Guru, Pulut kunyit dan kek sempena memperingati hari lahir Guru Besar.
Penyampaian hadiah untuk peserta pertandingan baju raya tercantik sedondon ibu bapa dan murid serta pertandingan gerai popular dan ceria turut disampaikan.
Semangat Syawal terpapar jelas dengan kegembiraan warga sekolah khasnya murid-murid yang meraikan sambutan. Kehadiran pelbagai pihak seperti Timbalan Pengarah Koreksional, wakil JPN, Ketua Kampung, AJK PIBG serta Pegawai Angkat Polis turut memeriahkan lagi suasana.
Berita Oleh : SK Layang-Layangan
Puan Hajah Dayang bersama-sama ahli PIBG yang meraikan jasa guru Antara Gerai tercantik dan ceria menghidangkan juadah yang enak.
Murid SK Sungai Bedaun diraikan oleh Malaysia Airport Labuan
Labuan – Seramai empat belas murid Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) diraikan dalam Majlis Ceria Aidilfitri anjuran Malaysia Airport Labuan (MAL) di Lapangan Terbang Labuan pada 19 Jun lalu.
Majlis Ceria Aidilfitri diadakan saban tahun bagi meraikan sambutan Aidilfitri di kalangan staf serta tetamu jemputan. Dalam majlis berkenaan turut disampaikan sumbangan raya kepada empat belas murid SKSB. Mereka terdiri daripada anak yatim dan asnaf daripada tahun satu hingga tahun enam.
Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod, Guru Besar SKSB melahirkan rasa syukur dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Malaysia Airport Labuan kerana memilih anak-anak SKSB untuk diraikan di dalam majlis tersebut.
Datuk Rozman (berdiri tiga dari kanan), Puan Lindayani (berdiri dua dari kanan), Encik Amat (berdiri dari kiri), Puan Dg. Sarifah (berdiri empat dari kanan) bergambar kenangan bersama penerima sumbangan Malaysia Airport Labuan dan guru pengiring.
“Saya sungguh terharu di atas jemputan untuk anak-anak SKSB. Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak mampu memberi kedamaian buat anak-anak yatim dan asnaf yang kita raikan. Harapan saya semoga kerjasama di antara Malaysia Airport Labuan dengan SKSB dapat diteruskan di masa akan datang. Kami juga amat berbesar hati sekiranya pihak Malaysia Airport sudi menjadikan SKSB sebagai anak angkat bagi program kecemerlangan Pendidikan”. Katanya ketika ditemui dalam majlis jamuan raya tersebut.
Pelbagai juadah yang enak disediakan oleh pihak urusetia. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan gerai-gerai yang menyediakan pelbagai juadah raya yang sungguh menyelerakan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Datuk Rozman Bin Isli, Ahli Parlimen Labuan, Encik Amat Bin Madin Pengurus MAL, Puan Lindayani Binti Tajudin, Ketua Bahagia Penerokaan Luar Negara Malaysia Airports serta tetamu jemputan.
Murid-murid yang diraikan bersama guru pengiring dan kakitangan Malaysia Airport Labuan bergambar seusai Majlis Ceria Aidilfitri.
Beraneka Jenis Kek Meriahkan Suasana Sambutan Hari Jadi Warga SK Sungai Bedaun
Labuan – Bagi merealisasikan Program Amalan Guru Penyayang, Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Lahir warga sekolah yang lahir pada bulan Januari hingga Jun pada 28 Jun lalu di Dewan Permata sekolah tersebut.
Seramai 319 orang murid dari kelas Prasekolah, Tahun 1 hingga Tahun 6 telah diraikan. Tidak dilupakan juga seramai 20 orang guru dan seorang staf sokongan yang lahir dalam tempoh bulan tersebut diraikan bersama.
Majlis ini telah dikelolakan oleh Jawatankuasa Program Guru Penyayang di bawah Unit Hal Ehwal Murid. Tujuan pelaksanaan program ini adalah untuk menghargai serta menjaga kebajikan setiap warga sekolah seterusnya memupuk semangat kasih sayang dalam kalangan warga sekolah.
Guru Besar SKSB, Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod berkata, Sambutan Hari Lahir merupakan salah satu program dalam takwim sekolah bagi meraikan hari-hari penting bagi setiap murid dan staf seperti hari kelahiran mereka.
“Program ini dapat mendorong murid-murid bergaul mesra di antara satu sama lain dan memupuk perpaduan di kalangan mereka yang terdiri daripada berbilang kaum. Murid-murid akan merasakan diri mereka lebih dihargai sekaligus merasakan diri mereka adalah sebahagian aset sekolah”. Katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
“Walaupun majlis tersebut dibuat secara ringkas, tetapi kesannya amat bermakna kepada murid-murid dan guru-guru terutama kepada mereka yang diraikan. Perasaan disayangi dan dihargai serta rasa kesyukuran dapat dipupuk melalui majlis ini. Tidak dapat dinafikan ada dalam kalangan murid-murid ini tidak pernah diraikan hari lahir mereka. Oleh itu, pengalaman ini amat bermakna buat mereka”, ujarnya lagi.
Sebahagian daripada kek yang disumbangkan oleh ibu bapa murid yang menyambut hari jadi dari bulan Jan- Jun
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Puan Unos Mastura Tieh, Penolong Pengarah Unit Bimbingan dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman, Yang Dipertua PIBG SKSB dan barisan pentadbir serta kehadiran para ibu bapa murid yang memberi kegembiraan kepada murid-murid.
Dalam ucapannya, Puan Unos Mastura berkata program amalan penyayang ini perlu dilaksanakan di semua sekolah seluruh Negara. Antara aktivitinya ialah mengalu-alukan kehadiran murid, memberi penghargaan kepada murid dan program mentor mentee. Ia bertujuan untuk menarik minat murid-murid hadir ke sekolah dengan perasaan ceria.
“Amalan penyayang yang diterapkan di
sekolah bukan sahaja menyambut kedatangan murid di pintu pagar dan meraikan
sambutan hari jadi tetapi dalam skop yang lebih luas ianya perlu dibudayakan
dalam amalan seharian warga sekolah”. Katanya ketika berucap dalam majlis
berkenaan.
Majlis ini diserikan dengan upacara memotong kek dengan diiringi persembahan kibod dan nyanyian lagu Selamat Hari Jadi secara beramai-ramai. Murid-murid dan guru-guru yang diraikan turut menerima cenderamata daripada Kelab Guru dan pihak sekolah yang disampaikan oleh Puan Unos Masturah dan Puan Dg. Sarifah.
Puan Mastura (tiga dari kiri), Puan Dg.Sarifah (lima dari kiri), Puan Wiwik Iswandari (enam dari kanan) merakamkan gambar bersama murid-murid yang membuat persembahan kibod mengiringi lagu Selamat Hari Jadi.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar
beramai-ramai dan acara jamuan yang di adakan di setiap kelas. Ibubapa turut
membantu guru-guru mengagihkan kek kepada semua murid.
Pihak sekolah merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ibu bapa atas kerjasama dan komitmen yang diberikan bagi memastikan majlis dapat berjalan lancar seperti yang telah dirancang. Semoga sambutan ini akan dapat terus dikekalkan pada masa akan datang.
Berita Oleh : SK Sungai Bedaun
Murid-murid pra sekolah ceria meraikan sambutan hari jadi dengan pakaian yang beraneka jenis.
Sambutan Hari Jadi (Jan- Jun) oleh murid tahun 5 Baiduri di dalam kelas.
MPSM WP Labuan anjurkan Mesyuarat ke-2 Tahun 2019
Labuan, 4 Julai – Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan (MPSM WPL) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa MPSM WPL Bil.2 Tahun 2019 bertempat di Bilik Kiansam, BTPN Labuan
Mesyuarat dihadiri oleh 8 orang pengetua termasuk Pengarah Kolej Vokasional Labuan dan 3 pengetua yang baharu dilantik. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Encik Ismail bin Abdullah, Yang DiPertua MPSM WPL.
Dalam ucapannya, Encik Ismail mengucapkan tahniah atas pelantikan 4 pengetua baharu dan beliau yakin atas keupayaan mereka dalam memimpin dan meningkatkan kualiti sekolah.
Selain itu, beliau turut meminta agar MPSM WPL proaktif dalam mengoperasikan matlamat meningkatkan prestasi SPM 2019 melalui pasukan task force mata pelajaran. Pasukan task force yang dianggotai oleh guru-guru mata pelajaran dilaksanakan secara PLC dan penglibatan mereka direkodkan di dalam SPLKPM.
Mesyuarat turut melantik Puan Norazita binti Mohd Nor sebagai Bendahari MPSM WPL yang baharu menggantikan Encik Sahar bin Misron yang telah bersara wajib mulai Mei 2019.
Mesyuarat turut membincangkan pengagihan tugas berkaitan Bengkel Profesional MPSM Kebangsaan yang akan berlangsung di Labuan pada 16 hingga 18 Julai 2019. Semua pengetua sekolah W.P. Labuan terlibat dalam membantu menjayakan bengkel MPSM kebangsaan tersebut.
Di akhir mesyuarat, Encik Ismail berharap agar aktiviti dan program terutamanya berkaitan Task Force mata pelajaran memberi impak terbaik ke arah peningkatan prestasi SPM tahun 2019.
Berita Oleh : Cikgu Nizam
500 Meriahkan Majlis Mesra Hari Raya SMK Labuan
Labuan – SMK Labuan telah mengadakan Majlis Mesra Hari Raya bagi meraikan kegembiraan Hari Raya bersama komuniti dan pihak-pihak yang banyak membantu sekolah pada 29 Jun lalu.
Kelab Kebajikan Staf (KKS) SMK Labuan yang diketuai oleh Pengerusi Cikgu Mohd Zulkifli Ismail, dibantu oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Pusat Tingkatan 6 SMK Labuan merupakan penganjur bersama pada tahun ini.
Majlis yang memperkukuhkan silaturrahim ini telah disambut dengan penuh meriah dengan kehadiran 500 orang pengunjung.
Antara tetamu istimewa yang hadir di majlis tersebut, Dato’ Sri Hj Mohd Alias Abd Rahman (Pengarah Urusan LLPM Sdn Bhd), bersama isteri, Dato’ Hjh Norsiah Abdullah, Superintendan Hj Muhammad Farid Muhammad (Ketua Polis IPD Labuan), Hj Md Yusof Hj Chuchu (YDP PIBG SMKL) , Hj Hussien Salleh (TYDP PIBG SMKL) , En Asbola @ Hasbollah Amit (Ketua Sektor SPPK JPWPL), En Ag Marten Datuk Hj Abdul Rahman (KPP BTPN WPL) dan Tuan Syed Asrul Sani Syed Adnan (Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Labuan, merangkap Pegawai Perhubungan Polis SMK Labuan) .
Begitu juga dengan kehadiran 132 orang guru dan 15 staf pentadbiran hadir bersama keluarga.
Encik Ismail bersama Dato’ Sri Haji Alias dan Isteri Dato’ Hjh Norsiah, Tuan Haji Yusof dan Tuan Haji Hussien Dari kiri : Encik Saminan, Tuan Haji Yusof, Encik Ismail, Superintendan Hj Muhammad Farid, Encik Zulkifli dan Ustaz Fattah
Sebanyak 9 gerai menyediakan pelbagai juadah di mana guru-guru dan staf berkongsi perbelanjaan untuk penyediaan juadah, di samping bantuan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Labuan.
Majlis turut dimeriahkan dengan pertandingan Gerai Terbaik, Fesyen Raya Kanak-Kanak, Sedondon Raya, Cabutan Bertuah dan Persembahan Nyanyian.
Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah berharap dengan adanya majlis ini, hubungan antara guru dan staf SMK Labuan serta komuniti semakin erat dan dapat membantu meningkatkan kecemerlangan SMK Labuan.
Ahli Jawatankuasa Kelab Kebajikan Staf
Sambutan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Raya SKK Rancha Rancha
LABUAN, Sabtu 29 Jun 2019- Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha (SKRR) telah mengadakan Sambutan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Raya Peringkat Sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Majlis sambutan ini disertai oleh semua guru dan kakitangan SK Rancha-Rancha, murid-murid dan turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran para ibu bapa dan jemputan.
Majlis ini bermula pada jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 11.00 pagi. Semua warga SK Rancha-Rancha dan pengunjung kelihatan sangat gembira dan hari raya disambut dengan meriah sekali. Pelbagai juadah yang disediakan oleh pihak sekolah dan sumbangan daripada ibubapa untuk dijamu kepada warga sekolah dan para jemputan.
Turut hadir, Yang Dipertua sekolah, Dr. Mohamad Hamim bin Mohamad Hanifah dan Pegawai Polis Perhubungan Sekolah, Sjn Hafizudin Augustine Abdullah. Majlis di akhiri dengan penyampaian hadiah Anugerah Glamour Raya dan bergambar beramai-ramai.
SKK Rancha-Rancha Muncul Johan Pertandingan Kompang Selawat Peringkat Negeri W.P Labuan
LABUAN, Jumaat – Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha muncul johan Pertandingan Kompang Selawat Peringkat Negeri W.P Labuan telah diadakan pada 28 Jun 2019 bertempat di SK Sg Lada
Sempena Festival Nasyid & Kompang Selawat peringkat negeri hari ini. Kumpulan kompang, Iman Kidz yang dianggotai oleh 12 orang murid di bawah bimbingan ustazah Maziah binti Moen dan Ustaz Muhd Nor Azwan bin Yunus juga memenangi anugerah persembahan terbaik. Lagu Solawatullah dan Berzikir Mengingati Allah berjaya mendapat anugerah lagu terbaik merupakan lagu ciptaan ustazah Maziah binti Moen.
Dengan kejayaan itu, SKK SK Rancha-Rancha membawa pulang piala dan sijil pertandingan dan akan mewakili W.P Labuan ke peringkat kebangsaan di negeri Perak pada bulan Julai ini. Penutupan dan majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri W.P Labuan, Ustaz Syahir bin Mohd Yusof.
SK Sungai Bedaun Perkasa Pembudayaan PLC dan STEM Dalam Pendidikan
Labuan- Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) berjaya melaksanakan Program Profesional Learning Communities (PLC) dan Program Memantapkan Pengintegrasian STEM dalam pendidikan di kalangan warga sekolah, rakan-rakan sekolah TS25 sekitar Wilayah Persekutuan Labuan dan rakan sekolah kolaboratif iaitu Sekolah Kebangsaan Samparita, Kota Marudu pada 20 Jun yang lalu di Dewan Permata sekolah berkenaan.
Menurut Guru Besar SKSB, Puan Dg. Sarifah Binti A.Mahmod, PLC merupakan satu platform yang berkesan dalam membantu pemimpin sekolah dan guru-guru melakukan satu perubahan dalam Pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc). Guru-guru akan sentiasa bekerjasama membuat kajian tindakan dalam mencari kaedah terbaik untuk kecemerlangan anak murid.
“Sebenarnya idea untuk melaksanakan program pada hari ini datangnya daripada En George Elang, Guru Besar SK Samparita untuk melakukan lawatan sambil belajar yang disertai oleh 15 orang guru dan 30 orang murid. Namun, pihak sekolah melangkah kehadapan dengan mempromosikan program PLC dan STEM pada hari ini” katanya semasa berucap dalam majlis berkenaan.
Noralliza (tengah), Evelyn (dua dari kanan) sedang menerangkan inovasi yang dihasilkan sambil diperhatikan oleh Rina Farrina, Noor Farehin dan Mylsa.Murid-murid SK Samparita, Kota Marudu begitu teruja dapat mengikuti simulasi Kelas Pembelajaran Abad Ke-21 .
Antara aktiviti yang menarik perhatian dalam program ini ialah aktiviti pengintegrasian STEM dalam Matematik, perkongsian ini di usahakan oleh Panitia Matematik dengan kerjasama komuniti iaitu di kalangan bekas pelajar Asasi Kejuruteraan UiTM, Dengkil dan juga pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam Jurusan Sains Bioteknologi.
Ujarnya lagi, PLC akan dijadikan sebagai satu budaya di SKSB. Kerjasama dan semangat kesukarelaan setiap guru dalam mewujudkan budaya pembelajaran ini sudah pasti dapat meningkatkan kualiti profesionalisme keguruan dan melahirkan kecemerlangan kepada anak didik sekalian.
Beliau mengucapkan syabas kepada Puan Rina Farrina Binti Dakim, Penolong Kanan Pentadbiran selaku peneraju utama program, Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) serta warga SKSB yang sentiasa komited dalam melaksanakan apa jua program yang dirancang di sekolah ini. Juga kepada SISC+, Alumni SKSB dan lima buah sekolah yang terlibat sebagai pempamer dan pembentang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bebuloh, SK Bukit Kallam, SK Sungai Lada, SK Tanjung Aru dan SK Pantai.
Dalam program berkenaan, turut diadakan simulasi Kelas Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK) subjek Bahasa Inggeris Tahun 5 yang dikendalikan oleh Puan Noraliza Binti Allbi. Manakala subjek Matematik Tahun 5 pula dikendalikan oleh Puan Yuhana Binti Yusof.
Khaziyati (enam dari kanan) bergambar bersama barisan pempamer daripada SK Sungai Bedaun
Tetamu jemputan turut dibawa meninjau Galeri Permata dan mendengar Perkongsian Amalan Baik Teknologi Dalam Pendidikan yang berkaitan dengan aplikasi low-tech yang boleh digunakan dala PdP seperti Plickers, Puzzle Tarsia, Hot Potatoes yang disampaikan oleh Puan Rina Farrina Binti Dakim. Perkongsian ini dihadiri oleh guru-guru SK.Samparita, Kota Marudu, penolong-penolong kanan pentadbiran, pegawai SIC+, dan guru besar sekolah TS25.
Majlis menandatangai memorandum Persefahaman (MoC) di antara SKSB dan SK Samparita, Kota Marudu turut diadakan di akhir majlis berkenaan. Semoga dengan adanya jalinan ini kedua-dua pihak akan saling berkongsi ilmu dan bertukar pandangan ke arah pemantapan Pengurusan Sekolah dan Pembudayaan PLC dan pemantapan Program STEM.
Dg.Sarifah (kiri) dan George Elang (dua dari kanan) bertukar MoU sambil disaksikan oleh Khaziyati dan Jaafar.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Guru
besar-guru besar dan penolong kanan
sekolah TS25, 30 orang murid dan 15 orang guru daripada SK Samparita
serta 120 orang murid daripada sekolah-sekolah TS25 di wilayah ini beserta guru
pengiring.
Encik George Elang dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada SKSB kerana merancang program yang sangat baik dan berjaya menyusun aktiviti lawatan yang bermanfaat kepada murid-murid dan guru-guru SK Samparita.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Puan Khaziyati binti Osman, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL). Turut hadir Puan Zaleha Binti Salleh, Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah.
Dalam ucapannya Puan Khaziyati mengucapkan tahniah kepada SKSB di atas kejayaan menganjurkan program yang sangat bermanfaat dan berimpak tinggi. Semoga usaha ini dapat diteruskan di masa hadapan dan pengintegrasian STEM yang dipelopori oleh SKSB berjaya dilaksanakan sepenuhnya.
Berita Oleh : SK Sungai Bedaun
Rombongan daripada SK Samparita merakamkan gambar kenangan di tugu SKSB Mekar Terbilang bersama Dg. Sarifah dan Khaziyati.