Cabaran Pemansuhan Peperiksaan Tahap 1 Sekolah Rendah : Bicara Eksekutif Pendidikan @ WP Labuan 2019

Labuan, 21 Januari – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan telah mengadakan Bicara Eksekutif Pendidikan @ WP Labuan 2019 bertempat di salah sebuah hotel di Labuan yang dihadiri oleh Pengetua Guru Besar dan Warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Bicara Eksekutif kali ini membincangkan tentang cabaran pemansuhan peperiksaan di tahap 1 bagi sekolah rendah yang menampilkan tiga orang panel yang terdiri daripada Cikgu Yusup Muhammad, Ketua Sektor Pengurusan Akademik yang mewakili pengurusan Jabatan Pendidikan, Cikgu Jaafar Matusin, Guru Besar SK Pekan Dua mewakili pengurusan sekolah dan Cikgu Muharna @ Ana Shariff Mucklie, guru SKK St Anne mewakili guru pelaksana di sekolah.
Cikgu Yusup berkata langkah pemansuhan peperiksaan bagi murid Tahap 1 (Tahun 1, 2, 3) adalah bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih bermakna berasaskan pertumbuhan dan menggilap potensi murid secara holistik.
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) ini sebenarnya bukanlah perkara baharu tetapi telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sejak bulan Julai tahun 2011 lagi.
Mengupas mengenai cabaran pemansuhan peperiksaan ini, Cikgu Jaafar selaku Guru Besar menyatakan pelbagai perkara perlu diambil perhatian termasuk pengetahuan, kemahiran dan kesediaan guru melaksanakan pentaksiran di bilik darjah bagi menggantikan sepenuhnya peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun di tahap satu.
Di Labuan, Sekolah Kluster Kecemerlangan SK St Anne merupakan sekolah yang telah melaksanakan pentaksiran di bilik darjah sejak tahun 2011 lagi.

Cikgu Muharna berkongsi pengalaman bahawa PBD bukanlah perkara yang merumitkan tetapi mudah dan seronok dilaksanakan jika pelaksanaannya dirancang dengan baik dan teratur.
Pihak sekolah dan guru-guru perlu sentiasa membuat perbincangan dan berkongsi idea bagaimana untuk menarik minat murid dan menjadikan pembelajaran di dalam bilik darjah menjadi seronok.
Senarai semak adalah contoh instrumen bagi memudahkan penilaian dibuat ke atas murid pada penghujung tahun.
Moderator bicara kali ini dikendalikan oleh Cikgu Mohd Nizam Yasim, Ketua Unit Sains Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan WP Labuan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin dalam ucapannya menyatakan tujuan utama Bicara Eksekutif Pendidikan ini diadakan adalah untuk berkongsi wacana pemikiran, menggalas tanggungjawab bersama bagi menangani cabaran autonomi dan akauntabiliti pengurusan pendidikan yang telah diberikan oleh pihak Kementerian kepada Jabatan Pendidikan dan Sekolah.
YB Datuk Rozman Hj Isli, Ahli Parlimen Labuan yang turut hadir pada majlis tersebut berasa seronok dan berharap segala perancangan dapat direalisasikan dengan jayanya demi melonjakkan kemenjadian anak murid di Malaysia, khususnya di Labuan.
-

Gambar kenangan peserta Bicara Eksekutif Pendidikan @ WP Labuan 2019
Majlis Perutusan Tahun Baharu 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 19 Januari – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Majlis Perutusan Tahun Baharu 2019 bertempat di Dewan Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) yang telah dihadiri oleh 500 orang warga pendidikan di Labuan.
Dalam ucapan amanat, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin menzahirkan ucapan penghargaan kepada warga pendidikan, ibu bapa, komuniti masyarakat yang telah berjaya memartabatkan pendidikan dan kemenjadian anak murid di Labuan.
Pelbagai kejayaan yang telah dicapai oleh pendidikan Labuan pada tahun 2018 dan beliau berharap momentem kecemerlangan ini diteruskan lagi pada tahun 2019.
Menyentuh hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadikan sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan dan mengembalikan wibawa universiti awam, tiga hala tuju yang akan menjadi kompas kepada Kementerian iaitu:
- Mengembalikan cinta ke dalam pendidikan (pendidikan berteraskan nilai).
- Ketinggian kualiti sebagai pemangkin kecemerlangan, relevensi dan keberkesanan ( peningkatan kualiti seluruh sistem).
- Autonomi dan akauntabiliti untuk sekolah dan universiti.
Sekolah mesti menjadi tempat yang paling selamat dan menyeronokkan. Untuk merealisasikan cita-cita ini, KPM telah memberikan penekanan khusus empat bahagian yang akan menjadi tumpuan pada tahun ini iaitu :
- Persekitaran dan infrastruktur – memastikan sekolah sebagai tempat yang selamat dan sejahtera, di samping lengkap dengan kemudahan asas yang diperlukan.
- Proses Pengajaran – Guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan menyeronokkan.
- Proses Pembelajaran – berorientasikan pembelajaran (learning-centered) dan tidak lagi berorientasikan peperiksaan bagi murid tahun satu hingga tiga. Fokus pembelajaran secara didik hibur, pembelajaran abad ke 21 dan Pentaksiran Bilik Darjah.
- Pendidikan Inklusif – tumpuan mengurangkan kadar keciciran murid golongan OKU, B40, orang asli dan kanak-kanak tanpa dokumen.

Mengenai naratif baharu amalan pendidikan, fokus dan gerak kerja KPPM 2019, warga sekolah perlu memahami dan melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam konteks sekolah bagi mencapai matlamat PPPM iaitu keberhasilan utama dalam kualiti sekolah dan kemenjadian murid.
Satu lagi fokus yang perlu dilihat adalah pembelajaran berorientasikan perkembangan iaitu mengoptimumkan kemenjadian murid dalam tempoh fasa awal persekolahan ( 6 + 3 ).
Katanya lagi, aktiviti-aktiviti pendidikan yang dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan sekolah-sekolah telah berjaya membawa peserta samada di kalangan guru dan murid untuk datang mengunjungi Wilayah Persekutuan Labuan, seterusnya membantu industri pelancongan di Pulau ini.
Majlis Perutusan Tahun Baharu 2019 ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan, YB Datuk Rozman bin Hj Isli.
Dalam ucapannya, YB Datuk Rozman menyeru agar warga guru di Labuan berusaha memastikan hala tuju pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia menjadi kenyataan.
Guru adalah insan yang paling dekat dengan murid, menjadi penyumbang dalam mendidik dan membangunkan manusia sebagai modal insan yang berjaya dari pelbagai aspek.
Beliau berasa bangga kerana banyak kejayaan telah dicapai oleh murid-murid dan guru-guru Labuan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Pada majlis itu, YB Datuk Rozman menerima anugerah khas Tokoh Bakti Pendidikan manakala Jurufotografi Kanan UMSKAL Encik Azri Onn Othman menerima Bakti Wartawan.
Di akhir majlis, Pelan Strategik Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2019-2025 telah dilancarkan oleh YB Datuk Rozman.

Kenaikan Pangkat Merupakan Satu Penghargaan dan Pengiktirafan Kepada Guru

Labuan – Seramai 69 orang warga Jabatan Pendidikan menerima surat Kenaikan pangkat Time-Based Berasaskan Kecemerlangan Gred DG44 hingga Gred DG52 dan pemangkuan ke Gred DG42.
Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung pada 16hb Januari 2018 bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, WP Labuan.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin mengucapkan syabas tahniah kepada para guru yang menerima surat kenaikan pangkat dan berharap ianya menjadi pemangkin semangat serta dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan prestasi masing-masing.
Beliau menaruh kepercayaan yang tinggi bahawa warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di segenap lapisan akan terus bersama-sama berusaha memberikan perkhidmatan berimpak tinggi dengan cemerlang dan berintegriti serta melaksanakan penambahbaikan secara berterusan demi melahirkan modal insan yang berkualiti.

Majlis Penutupan Program Transisi Dan Guru Penyayang Tahun 1 2019

Labuan, 18 Jan – Sekolah Kluster Kecemerlangan, Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha telah mengadakan Majlis Penutupan Program Transisi dan Guru Penyayang Tahun 2019 yang telah dirasmikan oleh Pegawai Angkat sekolah, Puan Zaliha binti Salleh.
Program Transisi merupakan satu program untuk membantu kanak-kanak menghadapi perubahan diri dalam keadaan transisi dari pendidikan tidak formal sama ada di rumah ataupun di prasekolah ke pendidikan secara formal di Tahun Satu.
Taklimat Pentaksiran Bilik Darjah oleh Puan Norinnie binti Kassim, Guru Besar SKK SK Rancha-Rancha memberi penjelasan tentang kaedah pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mana pemansuhan amalan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun bagi murid Tahap I di semua sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai tahun 2019.
Hadir bersama Encik Rasid bin Jaludin, YDP PIBG SKRR dan semua ibubapa dan murid Tahun 1 SKK SK Rancha-Rancha.
Berita Oleh : SKK SK Rancha-Rancha
