Guru Labuan Terbit Dalam Buku LaRIS

Labuan, 25 Februari 2022 – Persatuan Penyelidikan, Inovasi, dan Kreativiti Labuan atau LaRIS (Labuan Research, Innovation and Creativity Society) berjaya menerbitkan buku kedua bertajuk “Bicara Ilmu, Inovasi, dan Kreativiti: Kompilasi Pembentangan CAIELTS”.

Pengerusi LaRIS selaku Ketua Editor, Dr. Hyginus Lester Junior Lee berkata, buku tersebut menghimpunkan penulisan pembentangan yang telah dibuat dalam CAIELTS (Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar), sebuah program antarabangsa yang diadakan setiap tahun.

Buku terbitan LaRIS kali ini mengandungi tiga bahagian iaitu kajian, inovasi, dan kreativiti.

Penulisan kajian telah disumbangkan oleh mahasiswa Pangasinan State University di Alaminos City, Filipina bertajuk “Effectiveness of code switching in teaching English language in public junior high schools in Alaminos City”. Panitia Bahasa Inggeris, SMK Mutiara Wilayah Persekutuan Labuan pula menerbitkan kajian tinjauan “Motivation in English language learning among school leavers: a survey”. Penulisan oleh panitia tersebut merupakan kerjasama Noor Hasimah Mohd Ayub, Debbie Lawrence, Onnia Ahngol, dan Dr. Hyginus Lester Junior Lee.

Bahagian inovasi menghimpunkan laporan dan perkongsian inovasi daripada guru-guru dari negeri Pahang, Perak, dan Labuan.

Turut dimuatkan dalam buku ini ialah penulisan inovasi berkumpulan Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan WP Labuan, Yahya Ahmad Puteh bersama Junaidah Baharuddin dan Roziah Abdul Rahman bertajuk “Sulaman Bahasa” untuk memudahkan murid membuat pendahuluan dalam membina karangan Bahasa Melayu.

Guru SMK Mutiara, Sylvianie William dan Dr. Hyginus Lester Junior Lee telah berkolaboratif menghasilkan penulisan inovasi bertajuk “Kad LoHEx” untuk meningkatkan kemahiran berfikir dalam kalangan murid. Penulisan inovasi bahasa Melayu bertajuk “Roda Bahasa” dikongsi oleh guru bahasa Melayu SMK Mutiara, Junaidah Baharuddin, Norsuziana Amnor, Shafiq Abdul Aziz, dan Mohd Yusup bin Mohammad.

Penulisan kreativiti disumbangkan sendiri oleh Dr. Hyginus Lester Junior Lee, SISC+ Bahasa, Sektor Pembelajaran, tentang penggunaan One Page Data-Driven Projection yang membantu Ketua-ketua Panitia Bahasa Inggeris di Labuan memantau pencapaian dan perkembangan pentaksiran bilik darjah dan gred peperiksaan di sekolah masing-masing.

Buku Bicara Ilmu, Inovasi, dan Kreativiti: Kompilasi Pembentangan CAIELTS ini telah dilancarkan secara maya dalam Youtube oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusup Haji Mohamad pada 7 Februari 2022.

Dalam ucapannya, Yusup mengucapkan tahniah kepada guru-guru kerana bergiat aktif dalam kajian dan inovasi.

Beliau juga percaya bahawa penyertaan guru dalam aktiviti seumpama ini memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk berkongsi idea dan kepakaran dengan dunia luar dan sekaligus membuktikan pendidik di Malaysia bersifat kompetitif dan mampu mengetengahkan kualiti amalan baik di peringkat antarabangsa.

Dr. Hyginus merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Labuan kerana sentiasa menyokong usaha LaRIS dalam membantu membangunkan profesionalisma guru di Labuan.

Beliau juga menggalakkan lebih ramai guru untuk menyertai the 7th Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar yang akan diadakan pada Ogos 2022.

Pelancaran buku Bicara Ilmu, Inovasi, dan Kreativiti: Kompilasi Pembentangan CAIELTS boleh diakses melalui https://youtu.be/NQADFrbDc3g

Loading

image_pdfimage_print