Program Memperkasa Kepimpinan Sekolah

Encik Raisin Saidin, Puan Dayang Rositer bersama Ketua-Ketua Sektor dan Para Pengetua Guru Besar

Labuan, 9 Okt – Elemen kepimpinan merupakan faktor penentu kejayaan sesebuah sekolah. Ianya diukur melalui kemampuan pemimpin sekolah menterjemahkan keberhasilan murid dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial sebagaimana yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Seiring dengan anjakan ke 5 PPPM 2013-2025, bagi memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah , Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan telah mengadakan Program Perkongsian Memperkasa Kepimpinan Sekolah bertempat di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan, Wilayah Persekutuan Labuan, Sungai Lada pada 8 Oktober 2018.

Secara umumnya, sesi perkongsian ini dapat membantu pemimpin sekolah menterjemahkan standard 1, Kepimpinan dalam SKPMg2 iaitu Pengetua/Guru Besar (PGB) berperanan sebagai pemimpin berimpak tinggi yang berupaya menggembleng dan menggerakkan warga sekolah secara bersepadu untuk memajukan sekolah dan meningkatkan kualiti PdP.

Antara Pengetua yang membentang dalam sesi perkongsian  Encik Sahar dan Encik Ismail

Program ini dikendalikan oleh Pegawai School Improvement Partners Plus (SIPartners+) Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup bin Mohamad.

Manakala, Ketua Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Dayang Rositer bt Awang Ibrahim bertindak sebagai penilai program.

Sepuluh (10) orang pembentang terdiri daripada Pengetua dan Guru Besar sekolah di Labuan telah membentangkan perkongsian amalan terbaik bagi memperkasa kepimpinan sekolah.

Pembentang tersebut ialah Encik Mohd. Jamatin bin Abd Latif (Pengetua SMK Lajau), Datin Hjh Jijah bt Mohamad Suhai ( Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun), Encik Louren bin Abon (Pengetua SSN SMK Mutiara), Puan Dona bt Undoh (Pengetua SM St. Anthony), Encik Abd Rahman bin Salim ( Guru Besar SK Patau-Patau), Encik Ismail bin Abdullah (Pengetua SMK Labuan), Encik Rosli bin Mohd Ali (Guru Besar SK Bukit Kalam), Tuan Hj Adam bin Abd Rahim (Guru Besar SK Bebuloh), Encik Sahar bin Misron (Pengetua SMK Pantai IB World School) dan Puan Yong Kui Chen (Guru Besar SJKC Chung Hwa).

 Guru Besar Encik Rosli dan Encik Rahman membuat sesi perkongsian memperkasa kepimpinan sekolah

Ketua Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti W.P Labuan, Puan Dayang Rositer bt Awang Ibrahim mengucapkan tahniah kepada semua pembentang yang berjaya menterjemahkan melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran sebagai pemimpin di sekolah.

Pengetua dan Guru Besar bertindak sebagai Peneraju, Pembimbing dan Pendorong dalam organisasi sekolah.

Dalam rumusan penilaian, beliau menekankan betapa pentingnya aspek analisis dalam sebarang perkara dan isu yang difokuskan oleh sekolah masing-masing.

Beliau memuji beberapa pembentangan yang berjaya menunjukkan analisis yang baik hingga membawa kejayaan kepada program yang dijalankan atau yang bersifat jangka panjang untuk melihat impaknya kepada kemenjadian murid.

Manakala pembentangan yang bersifat perkongsian pengalaman dan kepakaran serta amalan oleh pengetua adalah sesuatu yang berguna untuk diteladani.

Encik Raisin Saidin dan Puan Dayang Rositer khusuk mendengar sesi perkongsian daripada Pengetua Guru Besar

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin pula mengucapkan tahniah kepada SIP+ Wilayah Persekutuan Labuan yang berjaya menganjurkan program yang baik dan mahu program ini diteruskan pada masa akan datang.

Beliau yang berkesempatan melihat pembentangan ini turut memuji para pembentang yang berkongsi pengalaman dan kepakaran menerajui sekolah masing-masing . Para pembentang berjaya membentang hala tuju organisasi yang dipimpin dengan jelas dan boleh dijadikan rujukan oleh Pengetua Guru Besar yang lain mahupun kumpulan pelapis yang terdiri daripada penolong-penolong kanan.

Turut hadir dalam program ini sebagai tanda sokongan dan komitmen Puan Maimoon bt Matnoh, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Norismah bt Abd Moin, Ketua Sektor Pengurusan Akademik,  Encik Ag Marten bin Datuk Hj Abd Rahman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan W.P Labuan dan Encik Samsudin bin Yalla, Ketua Sektor Pengurusan Maklumat Jabatan Pendidikan Labuan serta penolong-penolong kanan sekolah.

Semoga pembudayaan perkongsian amalan terbaik ini dapat mengupayakan peneraju sekolah melaksanakan Standard 1 Kepimpinan SKPMg2 pada tahap cemerlang bagi penambahbaikan yang berterusan agar kualiti/prestasi sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan meningkat secara konsisten.

Berita oleh:

ENCIK SAHAR BIN MISRON
PENGETUA SMK PANTAI IBWS
9.10.2018

image_pdfimage_print