Anak istimewa PPKI SKPS jayakan Pertanian Bandar

Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS) telah mengadakan majlis pelancaran Program Pertanian Bandar yang disempurnakan oleh Pegawai Pertanian Bahagian Bandar, Jabatan Pertanian Labuan, Abdullah Fakeh Kusni, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Labuan Maimoon Matnoh, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Labuan Marysia Modigin, Guru Besar SK Pekan Satu Jaafar Haji Matusin dan Penolong Kanan Pendidikan Khas PPKI SK Pekan Satu Basneh Jamilide.

Menurut Abdullah Fakeh, Pertanian Bandar merupakan hasil usahasama pihak sekolah dan Jabatan Pertanian Labuan selaras dengan objektif jabatan dalam merealisasikan program tanaman di dalam bangunan.

“Pertanian Bandar ini juga bertujuan mengoptimakan keselamatan, bebas daripada kesan penggunaan racun perosak pada tanaman serta menggalakkan kitar semula barang terpakai sekaligus dapat menjimatkan kos input pertanian,” katanya.

Sementara itu, Jaafar berharap program berbentuk dua hala itu akan berterusan dan dapat mendedahkan ilmu asas pertanian kepada murid-murid bekeperluan khas.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Pertanian Labuan atas sumbangan input pertanian seperti pasu, baja, tanah, cocopeat sabut kelapa, tray belubang dan yang terbaharu teknologi terkini bagi penanaman hydroponik iaitu alat teknologi NFT.

Manakala, Penolong Kanan Pendidikan Khas Basneh Jamilide pula berkata kemenjadian tanaman yang terdapat di PPKI SKPS adalah hasil kerjasama jitu oleh 18 guru, enam pembantu pengurusan murid dan 20 murid tahap 2.

Katanya bagi memastikan keceriaan dan kebersihan tanaman terjaga dan terkawal, warga PPKI SKPS sentiasa mengadakan gotong-royong.

Kelangsungan projek tanaman itu diteruskan dalam subjek Kemahiran Hidup Perkebunan di bawah kendalian Cikgu Syamlee Ogong. Beliau telah menjalankan aktiviti tanaman sejak tahun lepas.

Menurut Cikgu Syamle dengan adanya projek Pertanian Bandar itu akan memudahkan pengendalian danpenyampaianpengajaran untuk murid-murid bekeperluan khas.

Projek Tanaman Fertigasi telah dilaksanakan pada tahun lepas.Kesimpulannya, murid mudah untuk menjaga tanaman contohnya untuk menanam benih mereka tidak perlu lagi mencangkul tanah.

“Kami telah menanam sayur sawi melalui cara penyemaian fertigasi dan hasil tanaman amat memberangsangkan di mana sayur sawi yang dituai sangat subur dan bebas daripada penggunaan racun serangga,” katanya sambil menambah, sayuran yang telah dituai diproses untuk aktiviti jualan.

Syamle telah mengajar mereka untuk membungkus/ mengikat sayuran mengikut saiz tertentu dan kemudian mereka dikehendaki menjual hasil tanaman kepada guru-guru di sekolah.

“Hasil jualan yang diterima diberikan kepada anak murid.Secara tidak langsung, kita telah mendedahkan mereka bagaimana menjana pendapatan,” katanya.

Di samping mendapat pulangan hasil mereka juga akan membawa balik hasil tanaman mereka.

Basneh berkata banyak input yang diterima daripada pihak Jabatan Pertanian yang mampu menyuntik semangat warga sekolah untuk menceburi bidang pertanian moden.

“Semoga usahasama ini akan beterusan pada masa akan datang bagi merealisasikan kemenjadian murid-murid istimewa agar sekurang-kurangnya apabila mereka telah berada di luar, mereka mempunyai asas ilmu dalam bidang pertanian yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua guru dan murid PPKI yang bekerjasama menjayakan projek tanaman itu.

SUMBER : Utusan Borneo 9 Mac 2017

Loading

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.