
Labuan, 24 Mac 2025 – Panitia Pendidikan Islam telah mengadakan Majlis Khatam Al-Qur’an, Penutupan Ihya’ Ramadan & Ambang Syawal peringkat sekolah bagi tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi. Program ini bertujuan untuk meraikan kedatangan bulan Ramadan yang disyariatkan berpuasa dan memberikan pengalaman yang berguna kepada para pelajar dengan aktiviti penghayatan bulan Ramadhan.
Majlis ini berlangsung dengan sokongan padu daripada pihak pentadbir, guru-guru, kakitangan AKP, ibu bapa, dan para murid. Salah satu kejayaan yang dicapai ialah kutipan Tabung Ihya’ Ramadan sebanyak RM4,452.15. Sumbangan tersebut dan bayaran fidyah telah dimanfaatkan bagi menyediakan 50 kampit beras yang telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Penyelaras Program, Ustazah Jastinah bt Yusof turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga, masa, dan sokongan bagi menjayakan majlis ini. Mereka juga memohon maaf atas segala kekurangan atau kekhilafan sepanjang program berlangsung, sambil berharap segala usaha murni ini memberikan keberkatan kepada semua pihak yang terlibat.
Majlis ini menutup program Ihya’ Ramadan tahun ini dengan penuh simbolik dan doa agar keberkatan terus menyelubungi komuniti sekolah. SMK Pantai berhasrat untuk meneruskan program-program bermanfaat seperti ini pada masa akan datang demi kesejahteraan bersama.







