Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) : Pemantapan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Untuk Guru-Guru SMK Taman Perumahan Bedaun

Perkongsian daripada Cikgu Juraidah untuk Pengurusan PBD Guru

Labuan, 24 Ogos 2021 (Selasa) – Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) Pemantapan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) oleh pegawai SISC+ dan Mentor PBD Unit TVET Sektor Pembelajaran bersama warga guru SMK Taman Perumahan telah dilaksanakan pada Selasa lalu. Bengkel Pemantapan PBD ini disampaikan oleh pegawai SISC+, Cik Juraidah binti Aman dan dua orang guru daripada SMK Lajau iaitu En Rafizi bin Hj Yusuf merupakan penyelaras mata pelajaran Perniagaan SMK Lajau dan Cik Ebby Haryani binti Rahmat selaku Ketua Panitia RBT SMK Lajau. Pendekatan program ini membabitkan perkongsian amalan baik dalam pelaksanaan PBD guru dan pengurusan PBD dalam panitia. Penolong Kanan Pentadbiran Pn. Chai Yee San memulakan program dengan menerangkan bahawa tujuan program ini adalah untuk memantapkan dan memperkasakan pengurusan dan pelaksanaan pentaksiran bilik darjah (PBD) yang mana PBD merupakan salah satu komponen utama dalam dasar pendidikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menjurus kepada kemenjadian murid.

Bengkel ini berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi ‘Google Meet’ dan dihadiri oleh 38 orang guru SMK Taman Perumahan Bedaun. Turut mengikuti bengkel ini Pengetua En. Awang Rozlan bin Manan, Penolong Kanan Pentadbiran Pn Chai Yee San, Penolong Kanan Kokurikulum Pn Lau Chin Ying dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid En Awang Adi bin Tuah. Perkongsian yang disampaikan oleh Cik Juraidah dapat membentuk kesediaan guru dalam pelakasanaan PBD kepada murid dan sejauh mana Ketua Panitia menguruskan pelaksanaan PBD di sekolah.

Beliau juga turut memaklumkan bahawa pelaksanaan PBD ini mestilah berlandaskan Buku Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah. Buku ini sangat penting dan wajib ada pada setiap guru sebagai sumber rujukan  panduan untuk melaksanakan PBD tersebut. Antara intipati yang terdapat dalam buku panduan tersebut seperti yang dinyatakan oleh Cik Juraidah ialah berkenaan tentang pengurusan PBD di sekolah supaya pelaksanaan PBD itu lebih berkesan dan berkualiti. Selain itu , beliau juga menyatakan tentang asas PBD adalah menggunakan pelbagai kaedah strategi, pelbagai aras, pengetahuan, kemahiran dan mestilah berasaskan standard kurikulum iaitu DSKP. DSKP ini sangat ditekankan kepada guru agar dapat menguasainya dan mahir dalam memberikan PBD yang berkesan kepada murid-murid. Ini akan menunjukkan pelaksanaan PBD itu sangat berkesan dan berkualiti terhadap perkembangan murid.

Guru-guru yang menghadir dalam talian program CPD

Menurut Cik Juraidah, dalam merancang pelaksanaan PBD ini tangunggjawab pengetua, penolong kanan pentadbiran, setiausaha PBD dan ketua panitia  mestilah memahami konsep , kepentingan dan pelaksanaan PBD itu. Ini dapat memantapkan dan memperkasakan lagi dari segi pengurusan pelaksanaan PBD di sekolah.

Manakala perkongsian daripada  Cikgu Rafizi pula ialah berkaitan dengan pengurusan panitia berkenaan dengan pelaksanaan PBD terutama sekali dalam matapelajaran Perniagaan yang dikongsinya pada hari tersebut. Cikgu Rafizi juga menyatakan bahawa penggunaan DSKP adalah sangat penting terutama sekali guru-guru perlu mendapatkan DSKP yang terbaru. Ini kerana didalam DSKP tersebut sangat lengkap untuk menjadi panduan dan memudahkan guru-guru untuk melaksanakan PBD kepada murid. Selain itu beliau juga berkongsi tentang pelbagai kaedah yang digunakan untuk melaksanakan PBD kepada murid berdasarkan DSKP yang menjadi sumber rujukannya.

Bengkel pemantapan PBD ini juga dikongsikan bersama dengan Cikgu Ebby. Beliau berkongsi tentang bagaimana pengurusan fail PBD itu dilaksanakan oleh Ketua Panitia terutama sekali dalam matapelajaran yang diajar oleh beliau iaitu matapelajaran RBT. Cikgu Ebby menyatakan pengurusan fail PBD yang dilaksanakan di sekolah beliau ialah dengan cara atas talian. Beliau mewujudkan pengurusan fail PBD itu dengan cara perekodan di dalam Google Drive agar lebih memudahkan kepada semua guru terutama guru-guru yang ada dibawah bidang TVET. Terdapat satu folder yang telah diwujudkan di dalam Google Drive tersebut iaitu folder fail pengurusan PBD. Di dalam folder tersebut terdapat tujuh pecahan folder yang telah diwujudkan. Antaranya ialah  Surat Lantikan Pentaksiran, Surat Akuan Penerima Pentaksiran, Dokumen Standard Kurikulum dan pentaksiran (DSKP), Standard Prestasi, Senarai Semak Rekod Sementara, Pelaporan dan Lampiran. Beliau memaklumkan bahawa wujudnya Sistem perekodan pengurusan fail PBD atas talian ini amat memudahkan beliau dan juga kepada guru-guru yang lain. Dalam masa yang sama pihak pentadbir dan ketua bidang serta ketua panitia dapat melihat apa yang dilaksanakan oleh guru-guru terutama sekali dalam perekodan laporan PBD yang telah dilaksanakan.

Akhir sekali, pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada Pegawai SISC+ JPWPL Cik Juraidah binti Aman, Cikgu Rafizi dan Cikgu Ebby yang sudi meluangkan masa untuk memberi bimbingan, tunjuk ajar dan ilmu kepada guru-guru SMKTPB ini untuk memperkasa dan memantapkan lagi Pentaksiran Bilik Darjah bagi merealisasikan visi pelestarian TS25 di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Loading

image_pdfimage_print