Labuan, 29 Ogos – Dalam usaha Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara, Wilayah Persekutuan Labuan menyahut dan menyemarakkan lagi sambutan bulan kaunseling kebangsaan yang diadakan pada setiap bulan oktober setiap tahun, pelbagai aktiviti melibatkan semua pelajar SMK Mutiara bukan sahaja pelajar aliran perdana tetapi juga melibatkan Pelajar Pendidikan Khas Interaktif(PPKI) dilaksanakan. Pelbagai program diadakan sepanjang bulan kaunseling kebangsaan yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara. Program-program yang telah dijalankan adalah Pertandingan Mewarna Bertemakan Kerjaya dan Kasih Sayang(PPKI), “Ooppss” Rawak Kekemasan Diri Murid, Serahan Kit Sarapan Pagi, Mentor Mentee, Sambutan Hari Lahir Oktober, “My Inner Self”, Kuiz Kahoot Kenali UBK dan Hebahan Promosi UBK.
Pelbagai program yang telah dirancang dan dilaksanakan adalah juga selari dengan kefungsian am unit bimbingan dan kaunseling iaitu sebagai sistem sokongan kemenjadian murid khususnya pelajar-pelajar SMK Mutiara. Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara berhasrat untuk mendekatkan semula organisasi dengan pelajar yang telahpun mula datang ke sekolah walaupun secara penggiliran disamping menyahut dan memanfaatkan bulan kaunseling semaksimum mungkin.
Menurut Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara iaitu Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim(K.B.P.A) dan Puan Normaisaraf binti Abdul Rashid(K.B.P.A), bulan kaunseling kebangsaan tahun ini adalah sangat istimewa kerana pelajar telah mula datang ke sekolah secara berperingkat, dan program bersifat menyeluruh wajar dilaksanakan sebagai tanda dan sokongan menyambut bulan kaunseling kebangsaan. “Walaupun masih berada dalam fasa pandemik, namun itu tidak menjadi penghalang kepada UBK SMK Mutiara untuk merangka dan melaksanakan program yang bersesuaian”, ujar Encik Mohd Hasrul Bin Mohd Redzuan selaku guru bimbingan dan kaunseling pelatih daripada Universiti Putra Malaysia yang sedang menjalankan latihan beliau di Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara.
Pengetua SMK Mutiara, Encik Yahya Bin Ahmad Puteh berkata, “Saya amat kagum dengan usaha dan inisiatif yang begitu banyak dan aktif daripada kaunselor-kaunselor SMK Mutiara dalam mendekati pelajar semula disamping menyambut bulan kaunseling kebangsaan tahun ini dengan aktiviti dan program yang banyak namun bersesuaian”.
“Program ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh kerana wujud kerjasama yang begitu hebat daripada guru-guru SMK Mutiara selari dengan trademark SMK Mutiara yang terkini iaitu SMK Mutiara H.E.B.A.T”, ujar Puan Normaisaraf selaku salah seorang kaunselor di SMK Mutiara.
Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara dan sekolah secara amnya akan terus berusaha membantu, memahami dan mendekati pelajar dalam usaha meningkatkan kemenjadian murid selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan agar masyarakat yang maju dan berdaya saing akan dapat dibentuk khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan.
Berita Oleh : SMK Mutiara