Jom Ke Sekolah Membantu Sahsiah Murid

6 Februari 2017 – Majlis pelancaran Program Jom Ke Sekolah Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan bertempat di Dewan SMK Labuan.

Semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia melancarkan program ini secara serentak pada 5 dan 6hb Februari 2017. Ianya adalah kolaborasi di antara KPM dan PDRM melalui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) yang bertujuan menangani permasalahan disiplin dan salah laku pelajar.

Dalam ucapan Pengarah Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin bin Saidin berkata, pemuafakatan bersama PDRM, komuniti, ibu bapa dengan pihak sekolah akan dapat mempertingkatkan minat murid untuk hadir ke sekolah.

Kementerian Pendidikan telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penerapan elemen pembelajaran menyeronokkan bagi memastikan murid-murid gembira ke sekolah sekaligus dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmoni merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.

KPM berusaha membentuk ekosistem pembelajaran abad ke 21 bagi memastikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai melalui budaya sekolah, prasarana, pelibatan ibu bapa dan komuniti, guru yang profesional serta proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Pentadbir sekolah yang berkesan akan berupaya menghasilkan pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan, memberi aspirasi dan inspirasi kepada murid untuk datang ke sekolah setiap hari dengan perasaan gembira dan seronok untuk belajar, Encik Raisin Saidin.

ACP Abdul Razak Bin Hassan, Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPK Sabah berkata, PDRM amat prihatin tentang permasalah sosial dan salah laku jenayah dalam kalangan generasi muda, khususnya yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah.

Sehubungan dengan itu, PDRM sentiasa memantau pelajar-pelajar yang terlibat dengan salah laku disiplin, lebih-lebih lagi yang menyumbang kepada perlakuan jenayah. Kerjasama rapat antara pihak sekolah dengan PDRM dilihat berupaya membendung salah laku ini daripada berleluasa.

Dalam menyokong usaha ini, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dari kalangan pegawai dan anggota polis dilantik bagi setiap sekolah, bertujuan mewujudkan komunikasi berterusan antara PDRM dan pihak sekolah ke arah meningkatkan kesedaran terhadap jenis perlakuan jenayah yang berubah-ubah mengikut persekitaran sosial sesebuah sekolah.

PPS turut memainkan peranan dalam membantu mewujudkan suasana sekolah yang selamat, sebagaimana yang telah digariskan dalam Buku Panduan Pengawai Perhubungan Sekolah (PPS).

Antaranya termasuklah mengumpul maklumat daripada sekolah untuk diambil tindakan jika perlu, melakukan rondaan berjadual di kawasan sekolah dan memberikan ceramah berkaitan dengan hal-hal keselamatan kepada warga sekolah.

Bersempena pelancaran Program Jom Ke Sekolah ini, KPM telah mengambil inisiatif iaitu menggalakkan sekolah menyediakan saluran aduan berkenaan isu dan masalah disiplin pelajar melalui Peti Aduan Disiplin Murid.

Menerusi peti aduan diharapkan semua murid dapat menyalurkan maklumat yang diperoleh berkaitan salah laku yang berlaku sama ada di dalam atau di luar sekolah kepada pihak berkuasa.

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.