
LABUAN, 4 Julai 2025 – Seramai 59 orang pelajar sekolah menengah telah menyertai Kem Interaksi Pemimpin Muda (KIPM) 4.0 yang berlangsung di Pusat Kokurikulum Negeri, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) pada 27 hingga 29 Jun 2025.
Program anjuran Kelab Mahasiswa Harmoni, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) itu melibatkan penyertaan daripada tiga buah sekolah iaitu SMK Lajau, SMK Pantai dan Sekolah Menengah Aagama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan serta dibantu oleh 39 mahasiswa UMSKAL sebagai fasilitator.
KIPM 4.0 memberi fokus kepada pembangunan kepimpinan dan pembinaan jati diri melalui pendekatan holistik dan interaktif.
Antara pengisian utama ialah Latihan Dalam Kumpulan (LDK), aktiviti explorace, senamrobik, qiamullail dan sesi perkongsian motivasi bersama dua penceramah jemputan iaitu Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia yang juga penceramah motivasi, Mohd Hafiz Abd Hamid dan Timbalan Ketua Pegawai Psikologi, UMSKAL, Nur Iman Reedzal,
Penyelaras program, Nurul Izzati Abd Razak berkata, KIPM 4.0 bukan sahaja bertujuan mencungkil potensi kepimpinan dalam kalangan pelajar, malah memberi ruang kepada mereka untuk berehat seketika daripada tekanan akademik dengan pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan membina.
Melalui slot motivasi, rohani dan sesi LDK, peserta didedahkan kepada nilai-nilai murni dalam kepimpinan serta kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerjasama dan penyelesaian masalah.
Ini penting untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berintegriti dan berdaya saing pada masa hadapan.
Program tahunan ini merupakan edisi keempat sejak diperkenalkan oleh Kelab Mahasiswa Harmoni UMSKAL dan telah menjadi salah satu inisiatif penting dalam membina hubungan erat antara mahasiswa dan komuniti sekolah di Labuan.
Program selama tiga hari itu mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dan Pusat Kokurikulum Negeri, Jabatan Pendidikan Labuan.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Penolong Kanan Pentadbiran SMK Lajau, Izawaty Ismail.
Turut hadir penceramah jemputan, Mohd Hafiz Abdul Hamid, Pengetua SMK Pantai, Ismail Abdullah dan wakil SMA MAIWP Labuan, Fakhrul Anuar Mohd Sabri.
Hadir Pengarah Program, Nur Farazirah Harris Kennedy dan Penyelaras program, Nurul Izzati Abd Razak.


