SMK MUTIARA PERKUKUHKAN KONSEP ABC MELALUI IBADAH

Disediakan oleh: Muhammad Izzuddin Bin Mahamad Nazeri

 

LABUAN, 2 November 2023: Seramai 126 orang murid pelajar kelas aliran agama (KAA) SSN SMK Mutiara telah menyertai Program Tafaqquh Qiyadi Syababul Marjan yang diadakan di Surau Al-Marjan selama dua hari. Program ini dijalankan pada 31 Oktober 2023 dan 2 November 2023 yang memfokuskan kepada pemantapan ibadah melalui ibadah solat dan bersuci. Idea pelaksanaan program ini dicetuskan oleh Encik Hisham Abdul Aziz, penolong kanan pentadbiran yang berpandangan bahawa konsep anak baik lagi cerdik (ABC) yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mampu dicapai sekiranya usaha itu dimulakan dengan pemantapan ibadah dan penghayatan karamah insaniah secara idealistik dan pragmatik. Beliau juga menegaskan bahawa usaha pelaksanaan program ini juga dapat memacu kredibiliti, kompetensi dan pembangunan profesionalisme dalam kalangan guru-guru baharu di sekolah.

Tambahan pula, Penyelaras Adab dan Nilai SSN SMK Mutiara merangkap penceramah bagi sesi taharah pula iaitu Ustaz Muhammad Izzuddin Mahamad Nazeri menekankan bahawa program Tafaqquh Qiyadi Syababul Marjan merupakan suatu usaha pembudayaan ilmu secara strategik yang berkonsepkan talaqqi musyafahah dan kaedah didik hibur bagi membentuk behaviorisme murid yang cintakan ilmu seterusnya membentuk generasi qudwah intelektualisme sejajar dengan aspirasi anak yang baik lagi cerdik. Justeru itu, program ini dikelolai oleh jawatankuasa Pembangunan Adab dan Nilai SSN SMK Mutiara bagi meningkatkan lagi aspirasi pembudayaan ilmu di peringkat sekolah.

Pada dasarnya konsep ABC bukan sekadar belajar di sekolah, murid-murid kini dididik untuk menjadi modal insan berilmu dan berakhlak mulia sebagai pewaris negara pada masa hadapan. Dato Hj Pkharuddin Hj Ghazali menjelaskan beliau mendapat inspirasi mengenai konsep “Anak Yang Baik lagi Cerdik” ini sewaktu memangku jawatan sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan. Pada ketika itu, beliau melihat kebanyakan pelajar menghadapi tekanan untuk mencapai prestasi akademik yang cemerlang. Ibu bapa dilihat sanggup memperuntukkan wang ringgit yang banyak untuk memastikan anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik namun kurang memberi penekanan dalam usaha melahirkan anak-anak yang mempunyai sahsia yang baik. Intihanya, konsep “Anak Yang Baik lagi Cerdik” (ABC) ini juga selari dengan 7 teras utama yang menjadi tunjang KPM, iaitu aspek “Karamah Insaniah” melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti dalam diri seseorang pelajar.

Selanjutnnya, program Tafaqquh Qiyadi Syababul Marjan ini dimulakan dengan sesi pemantapan ibadah solat yang dikendalikan oleh Ustaz Mohd Fuad Ibrahim. Slot ini dilaksanakan secara teratur bagi memperbaiki kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh murid ketika melaksanakan ibadah solat. Beliau juga menekankan rukun-rukun solat yang seringkali menjadi kesalahan umum yang berlaku di Malaysia misalnya kesalahan menyebut huruf melalui makhraj dan sifat huruf tersebut. Tegasnya, kepentingan solat dalam kehidupan merupakan peluang untuk kita berinteraksi dengan Allah dan membentuk kekuatan rohani dalam diri murid.

Pada hari berikutnya, Program Tafaqquh Qiyadi Syababul Marjan diteruskan pula dengan sesi pemantapan ilmu taharah yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Izzuddin Mahamad Nazeri. Sesi ini disampaikan secara sistematik dan dilaksanakan secara teori serta amali dengan berpandukan kitab Al-Fiqh Al-Manhaji Mazhab Al-Syafie. Sesi pengajian taharah ini dijalankan selama 7 jam bermula 8.00 pagi hingga jam 3.00 petang. Antara intipati perbahasan yang difokuskan ialah konsep bersuci menurut islam, bab najis, bab istinjak, bab wudhu, bab mandi dan pelbagai lagi variasi ilmu yang dibincangkan bukan sahaja berasaskan Mazhab As-Syafie, bahkan ianya diperhalusi dengan pendekatan ilmu melalui empat mazhab utama yang turut melibatkan mazhab Maliki, Hanafi dan Hanbali. Murid-murid amat memberi fokus dan tumpuan sepanjang program berlangsung.

Di samping itu, Program Tafaqquh Qiyadi Syababul Marjan juga memberi penekanan kepada amalan zikir harian dan wirid selepas solat yang disampaikan oleh Ustaz Rizailan. Hal ini demikian kerana, penekanan kepada konsep ilmu tasawwuf misalnya Tazkiyatun Nafs dan Muraqabah akan menjadi pemangkin kepada pembentukan akhlak mahmudah seterusnya melahirkan generasi anak yang baik lagi cerdik. Penghayatan ibadah melalui zikir dan wirid ini merupakan suatu usaha yang bersifat syumul dan lengkap kerana setelah murid-murid ditekankan dengan konsep bersuci dan kaedah solat yang betul, mereka pula diterapkan dengan amalan zikir harian dan wirid selepas menunaikan solat.

 

Konklusinya, Program Tafaqquh Qiyadi Syababul Marjan telah berjaya dilaksanakan dalam usaha menjayakan aspirasi “Anak Yang Baik lagi Cerdik” yang sering diungkapkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato Hj Pkharuddin Hj Ghazali. Semoga dengan usaha kecil ini dapat menjadi titik pencetus kemenjadian murid-murid yang cemerlang dan bersahsiah mulia di sekolah. Kerjasama yang jitu dan unggul antara guru-guru Pendidikan Islam dan barisan pentadbir sepanjang program ini berlangsung amatlah dihargai.

Sesi ceramah berkaitan Fiqh Solat yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Fuad Ibrahim, guru SSN SMK Mutiara.

Sesi ceramah berkaitan Fiqh Solat yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Fuad Ibrahim, guru SSN SMK Mutiara.

Sesi ceramah berkaitan Fiqh Solat yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Fuad Ibrahim, guru SSN SMK Mutiara.

Sesi penerangan tatacara mandi wajib dan berwhuduk yang disampaikan oleh Ustazah Fasihah dan Ustazah Hanani, guru Pendidikan Islam SSN SMK Mutiara.

Pelajar-pelajar SSN SMK Mutiara sedang menunaikan solat zohor secara berjemaah.

Pelajar-pelajar SSN SMK Mutiara sedang menunaikan solat zohor secara berjemaah.

Praktikal solat berjemaah sedang dilaksanakan oleh pelajar-pelajar Perempuan SSN SMK Mutiara.

Guru-guru Pendidikan Islam SSN SMK Mutiara sedang menjamu selera.

Encik Hisham Abdul Aziz, Penolong Kanan Pentadbiran SSN SMK Mutiara sedang menerangkan tatacara mandi wajib yang betul kepada para pelajar.

Ustaz Izzuddin dan Encik Hisham sedang memantau praktikal wuduk dan mandi wajib yang dilaksanakan oleh pelajar.

Loading

image_pdfimage_print