SK Tanjung Aru Menyertai Kolokium Bagi Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25)

26 Oktober/Labuan – Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru merupakan antara sekolah yang bertuah kerana terpilih untuk menyertai kolokium bagi Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah selama 3 hari bermula dari 23 Oktober hingga 25 Oktober 2017. Sebanyak 43 sekolah dari Sarawak, 40 sekolah dari Sabah dan 9 dari Labuan menyertai Kolokium ini.

Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) merupakan sebahagian usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti. Program ini juga menekankan tentang mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025.

Antara PGB JPWPL yang turut sama membantu menyiapkan pameran TS25 1.0 bagi SK Tanjung Aru

Penyertaan Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru dalam pameran TS25 ini bertujuan untuk menampilkan laporan  aktiviti sepanjang 2 tahun menjalankan Program TS25 1.0. Laporan aktiviti yang dipamerkan membuktikan bahawa sekolah mampu menyahut cabaran dalam mencapai matlamat TS25 ini iaitu memantapkan kepimpinan sekolah, memaksimumkan potensi guru dan murid menerusi peningkatan kualiti pembelajaran dan pengajaran serta mengukuhkan penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak berkepentingan demi kejayaan murid.

Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru sebagai wakil WP Labuan telah membuat pameran TS25 sempena kolokium tersebut  bersama 9 buah lagi sekolah dari Sabah dan Sarawak. Pameran ini telah dijayakan oleh seorang guru dan 2 orang murid iaitu Puan Evelin Miun, adik Jessica Anthony dan adik Ninabilah Pendaton. Turut serta dalam Kolokium ini ialah Guru Besar Sk Tanjung Aru, Puan Murni Binti Jaafar. Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Mahmud Karim berkata terdapat lima modul latihan dan modul seterusnya bergantung kepada sekolah masing-masing untuk memikirkan transformasi yang hendak dilaksanakan, asalkan ia mencapai objektif berkaitan pencapaian pelajar itu sendiri.

Lawatan Yang Berbahagia Datuk Dr Amin Bin Senin, Ketua pengarah Pendidikan Malaysia
image_pdfimage_print