Cabaran Pemansuhan Peperiksaan Tahap 1 Sekolah Rendah : Bicara Eksekutif Pendidikan @ WP Labuan 2019

Bicara Eksekutif Pendidikan 2019, dari kiri Cikgu Nizam, Cikgu Yusup, Cikgu Jaafar dan Cikgu Muharna

Labuan, 21 Januari – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan telah mengadakan Bicara Eksekutif Pendidikan @ WP Labuan 2019 bertempat di salah sebuah hotel di Labuan yang dihadiri oleh Pengetua Guru Besar dan Warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bicara Eksekutif kali ini membincangkan tentang cabaran pemansuhan peperiksaan di tahap 1 bagi sekolah rendah yang menampilkan tiga orang panel yang terdiri daripada Cikgu Yusup Muhammad, Ketua Sektor Pengurusan Akademik yang mewakili pengurusan Jabatan Pendidikan, Cikgu Jaafar Matusin, Guru Besar SK Pekan Dua mewakili pengurusan sekolah dan Cikgu Muharna @ Ana Shariff Mucklie, guru SKK St Anne mewakili guru pelaksana di sekolah.

Cikgu Yusup berkata langkah pemansuhan peperiksaan bagi murid Tahap 1 (Tahun 1, 2, 3) adalah bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih bermakna berasaskan pertumbuhan dan menggilap potensi murid secara holistik.

Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) ini sebenarnya bukanlah perkara baharu tetapi telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sejak bulan Julai tahun 2011 lagi.

Mengupas mengenai cabaran pemansuhan peperiksaan ini, Cikgu Jaafar selaku Guru Besar menyatakan pelbagai perkara perlu diambil perhatian termasuk pengetahuan, kemahiran dan kesediaan guru melaksanakan pentaksiran di bilik darjah bagi menggantikan sepenuhnya peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun di tahap satu.

Di Labuan, Sekolah Kluster Kecemerlangan SK St Anne merupakan sekolah yang telah melaksanakan pentaksiran di bilik darjah sejak tahun 2011 lagi.

Pengajaran dan Pembelajaran di dalam kelas di Sekolah Kebangsaan Patau-Patau

Cikgu Muharna berkongsi pengalaman bahawa PBD bukanlah perkara yang merumitkan tetapi mudah dan seronok dilaksanakan jika pelaksanaannya dirancang dengan baik dan teratur.

Pihak sekolah dan guru-guru perlu sentiasa membuat perbincangan dan berkongsi idea bagaimana untuk menarik minat murid dan menjadikan pembelajaran di dalam bilik darjah menjadi seronok.

Senarai semak adalah contoh instrumen bagi memudahkan penilaian dibuat ke atas murid pada penghujung tahun.

Moderator bicara kali ini dikendalikan oleh Cikgu Mohd Nizam Yasim, Ketua Unit Sains Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin dalam ucapannya menyatakan tujuan utama Bicara Eksekutif Pendidikan ini diadakan adalah untuk berkongsi wacana pemikiran, menggalas tanggungjawab bersama bagi menangani cabaran autonomi dan akauntabiliti pengurusan pendidikan yang telah diberikan oleh pihak Kementerian kepada Jabatan Pendidikan dan Sekolah.

YB Datuk Rozman Hj Isli, Ahli Parlimen Labuan yang turut hadir pada majlis tersebut berasa seronok dan berharap segala perancangan dapat direalisasikan dengan jayanya demi melonjakkan kemenjadian anak murid di Malaysia, khususnya di Labuan.

Loading

image_pdfimage_print