“Komuniti Kita Tanggungjawab Kita” mencaknai PPDa SK Layang-Layangan

Ceramah Bahaya Dadah disampaikan oleh Pegawai Unit Koreksional Jabatan Penjara

Labuan, 19 Februari : Sambutan Minggu Antidadah diadakan setiap tahun di sekolah selaras arahan Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Unit Pendidikan Pencegahan Dadah SK. Layang-Layangan.

Program ini juga dibuat selaras dengan Dasar dan Matlamat Pendidikan Pencegahan Dadah, Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah merealisasikan “Sekolah Bebas Dadah” yang disambut pada setiap bulan Februari setiap tahun.

Sambutan ini bertujuan untuk memberi peringatan kepada murid-murid khususnya bahawa dadah masih merupakan ancaman utama kepada negara dan  kesihatan.

KPM telah mengatur pelbagai strategi pencegahan awal bagi menangani permasalahan dadah dalam kalangan murid-murid dan salah satu daripada strategi tersebut ialah melalui pelaksanaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di sekolah rendah.

Antara lain objektif PPDa ini diadakan adalah untuk mewujudkan pemikiran generasi muda yang bebas daripada pengaruh dan gejala dadah, menyediakan alternatif berfaedah yang dapat mencegah mereka daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan dapat mewujudkan suasana persekitaran yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran.

Di samping itu PPDa dapat menyemai dan menanam sikap untuk membenci dan menjauhkan diri daripada dadah serta memberi alternatif program sihat tanpa dadah kepada murid-murid.

Majlis Pelancaran program PPDa peringkat sekolah ini telah dirasmikan oleh Encik Ag Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri WP. Labuan bertempat di Dewan Surapit SK. Layang-Layangan WP. Labuan.

En. Ag Marten (tengah) merasmikan program minggu PPDa dan Nilam peringkat SK Layang-Layangan

Menurut beliau usaha untuk mencegah dadah ditumpukan kepada generasi muda bermula sejak di bangku sekolah rendah lagi kerana murid-murid merupakan tulang belakang dan pewaris kepimpinan negara ini pada masa depan.

Tambahnya lagi, dadah boleh memudaratkan nyawa dan kesihatan serta membahayakan keselamatan diri dan masyarakat.

Program PPDa merupakan salah satu daripada sistem sokongan sekolah ke arah menangani gejala sosial yang melibatkan kalangan murid-murid sekolah.

Justeru adalah wajar untuk memastikan murid–murid ini mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengenai gaya hidup sihat dan mengamalkannya.

Sebelum itu dalam ucapan aluan Guru Besar, Puan Hajah Dayang Bt Hj Md Yassin berkata:

Fenomena penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid-murid sekolah perlu dipandang serius kerana ia mempunyai perkaitan dengan permasalahan disiplin seperti merokok, ponteng sekolah, melawan guru, mencuri, bergaduh dan merosakkan harta benda sekolah

Timbalan Pengarah Jabatan Muzium bersama Guru Besar dan warga pendidik dalam program Outreach SKLL

Menurutnya lagi pada kebiasaannya, murid-murid yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah ini bukan sahaja menghadapi permasalahan disiplin dan akademik tetapi mereka juga terdedah kepada risiko gejala sosial di luar sekolah seperti penglibatan dengan kumpulan-kumpulan samseng dan tidak bermoral, pergaulan bebas, melepak dan lari dari rumah.

Justeru itu, kita harus memberikan pengetahuan dan kefahaman mengenai bahaya dadah, dan menyedarkan murid-murid dan ahli komuniti mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam merancang, menggerak dan melaksanakan program dan aktiviti pendidikan pencegahan serta rawatan dan pemulihan dadah sejajar dengan tema Bulan Antidadah Kebangsaan pada tahun ini yang membawa satu wadah dan harapan iaitu “Komuniti Kita Tanggungjawab Kita” yang membawa mesej yang berterusan berhubung tanggungjawab dan peranan komuniti untuk mengekang dan menanamkan kesedaran bahaya dadah.  

Pendekatan secara holistik dan inklusif sebegini perlu ditekankan dalam mempergiatkan keterlibatan komuniti seperti kolaborasi pelbagai pihak dalam membentuk komuniti yang aktif, berbudaya mutual respect dan sepunya bagi mewujudkan kualiti persekitaran sekolah yang aman dan selamat.

Pelibatan agensi kerajaan dan swasta di sekolah ini telah membantu memberi kefahaman tentang bahaya dadah.

Antara pengisian Program PPDa 2019 pada peringkat sekolah ini adalah seperti Senamrobik yang dikendalikan Dr Ng Boon Seng Pakar Psikiatri Hospital Labuan, ceramah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) peringkat Labuan, Ceramah daripada Pusat Koreksional Jabatan Penjara Labuan dan PDRM WP. Labuan disamping aktiviti mewarna, kuiz dan pidato serta membuat tanglong yang dikendalikan oleh Jabatan Muzium Labuan melalui program Outreach mereka di SKLL yang bertemakan Rimup Raya Cina.

Dr. Boon merakam kenangan bersama guru-guru dan murid-murid SKLL selepas aktiviti senamrobik yang dikendalikan oleh beliau

Adalah diharapkan program seperti ini dapat memupuk semangat jati diri murid-murid yang seterusnya dapat membentuk nilai murni, budi pekerti yang mulia dan terpuji, kerohanian yang luhur dan memiliki perasaan cinta serta sayang kepada diri, keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan Negara.

Seperti yang kita sedia maklum, mencegah adalah lebih baik dari mengubati  (Prevention is better than cure). Dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab kita bagi memastikan generasi masa hadapan hidup aman dan gembira tanpa dadah.

Berita Oleh : SK Layang-Layangan

Loading

image_pdfimage_print