Hasnan Md Saad telah mencipta sejarah tersendiri dan mengulungi peserta lain apabila telah memenangi anugerah utama pingat emas pada kategori Pembentangan Poster Kajian Tindakan dan Penyelidikan di Konferensi Pendidikan Abad Ke 21 Kebangsaan 2019 di Lahad Datu, Sabah Sabtu lalu. Hasnan guru bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang, Wilayah Persekutuan Labuan telah mengemukakan tajuk kajian Jangkauan Keberkesanan Kaedah Kod Pantas dalam Memindah Ayat Aktif ke Ayat Pasif dalam PdPc Bahasa Melayu UPSR yang turut menewaskan 20 peserta lain dari seluruh negara.
Tieew Sor Wai guru Bahasa Melayu dari SMK Sepagaya, Lahad Datu pula mendapat pingat perak dengan tajuk kajian Putaran Ayat. Manakala kumpulan guru mata pelajaran Sejarah Saedah Abd Wahid, Jessica Sylvester Lojikim dan Suriati Biru Parang hanya sekadar berpuas hati mendapat pingat gangsa. Menurut Hasnan sejurus ditemui selepas majlis penyampaian hadiah, beliau sendiri tidak menyangka pembentangan posternya menjadi pilihan juri memandangkan ini merupakan pengalaman kali pertama beliau mengikut kategori pembentangan poster selain berpengalaman luas dalam pembentangan kertas kajian pendidikan sama ada dalam dan luar negara. Selain itu, Datu Ramlee Datu Amir Hussin, S. Rafedah Mohammad, Saedah Abd Wahid, Aziz Sarail, Rosdah Herawaty dan Jen Renita Mappah merupakan penerima Anugerah Pembentang Kajian Pilihan.
Konferensi Pendidikan kali ke-2 ini telah dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Lahad Datu, Sabah dengan kerjasama Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. Cabaran Pendidikan Dalam Era Revolusi Industri 4.0 telah dipilih menjadi tema. Sebanyak 30 kertas kajian turut dibentangkan melibatkan hampir 50 pengkaji dalam kalangan guru, pegawai pendidikan dan pensyarah dari seluruh negara. Mohd Sirhajwan Idek, pensyarah Kolej Vokasional Keningau yang juga Penerima Anugerah Guru Inovatif Antarabangsa dan Anugerah Guru Global Antarabangsa turut membentangkan kertas kajian “Exploring The Concept Of Gamification To Create Challenging And Intriguing Context For ESL Learners” sebagai pembentang jemputan dan juri pembentangan poster.
Terdahulu ketika merasmikan majlis tersebut, Yang Berhormat Datuk Dr Yusof bin Yacob, Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah turut menyeru dan mengingatkan kepada seluruh warga pendidik terutama di Negeri Sabah agar sentiasa bersedia mendepani gelombang arus pendidikan masa depan yang semakin deras. Guru memainkan peranan yang sangat penting sebagai arkitek pembangunan insan ke arah peningkatan sekolah berkualiti dan kemenjadian murid abad ke-21 yang holistik. Konferensi yang diadakan di Dewan Pusat Kelapa Sawit Malaysia, Lahad Datu turut dihadiri oleh Dr Mistirine bt Radin, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Zamri bin Pehakan, Pengawai Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah Lahad Datu, pegawai-pegawai pendidikan seluruh negeri Sabah, guru-guru sekitar Lahad Datu.