Pengakap SMK Mutiara Melaksanakan Pembersihan Pantai Sempena World Clean Up Day 2020

Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama.

Labuan – Sempena World Clean Up Day 2020, Pengakap kumpulan 15 SMK Mutiara telah melaksanakan program rintis ‘Tide Turner Plastics Challenge’ di Pantai Tanjung Kubong pada Sabtu lalu.

Kumpulan ini telah disertai oleh 12 ahli pengakap SMK Mutiara yang dipimpin oleh Cikgu Angela Joseph. Selain itu pasukan ini turut disertai oleh Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Encik Jostelen Lamibai dan Cikgu Mohamad Afzal Hakim bin Azhar sebagai guru pembantu.

Menurut Puan Angela, aktiviti bermula seawal jam 7.00pagi dengan sesi taklimat kepatuhan kepada Standard Operating Procedure (SOP) untuk menjaga keselamatan dalam tempoh PKPP. Taklimat yang diadakan di perkarangan Muzium Chimney turut merekod suhu, pengagihan pelitup separuh muka dan sarung tangan kepada semua peserta bagi memastikan keselamatan mereka.

Seterusnya pasukan ini telah berjalan melalui Chimney Trail sejauh 1.6 km sebelum sampai ke destinasi. Laluan ini sangat terkenal dalam kalangan ‘hikers’ kerana pemandangannya yang indah di samping menyimpan warisan sejarah yang masih dapat dilihat dan disentuh sehingga hari ini.

Setiba di destinasi, ahli-ahli pengakap terus memulakan aktiviti pembersihan. Sampah-sampah telah dikutip dan dikumpul untuk dilupuskan terutamanya yang tidak terurai secara semulajadi seperti plastik dan kaca.

“Program ini bertujuan mendidik ahli-ahli pengakap tentang kesan penggunaan plastik terhadap alam sekitar. Selain itu aktiviti sebegini dapat menimbulkan kesedaran tentang tanggungjawab menjaga alam untuk diwarisi kepada generasi akan datang” kata Puan Angela.

Menurut beliau lagi, para peserta berjaya mengutip dan mengumpul sebanyak 17 plastik besar sampah. Sampah-sampah seterusnya di bawa naik dan dibuang ke dalam tong besar yang disediakan khas oleh pihak Perbadanan Labuan.

“Murid juga telah diajar untuk membuat audit terhadap sampah-sampah yang telah dikutip. Antara dapatan yang diperolehi mendapati bahawa jenis sampah yang paling banyak dibuang dengar cara yang salah ialah penutup botol iaitu sebanyak 1549 unit, kedua ialah botol minuman plastik sebanyak 1494 unit dan alas kaki sebanyak 69 unit. Di samping itu terdapat juga 19 pemetik api plastik, 16 bekas makanan plastik, 26 bekas polisterena, 13 tin minuman, 8 botol kaca dan1 bateri. Audit sampah yang dikutip direkodkan di laman web impactlution.com” tambah beliau lagi.

Menurut salah seorang peserta, Adik Shafiqah Friddin menyifatkan program ini sungguh memberi pengajaran kepada beliau untuk terus menjaga alam sekitar dengan menyokong kempen anti penggunaan plastik dalam kalangan generasi muda.

Aktiviti yang berakhir pada jam 11:00 pagi itu turut disertai oleh dua orang pemimpin Pengakap negeri dan  seorang sukarelawan pengakap veteran iaitu En. Han Siew Kwong yang berusia79 tahun dan  masih aktif dalam aktiviti pengakap peringkat negeri.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Loading

image_pdfimage_print