Memohon Doa Restu SPM 2020 SMK Pantai IBWS

Adik Naeim Hazeq bin Yusup wakil murid SPM 2020 SMK Pantai IBWS menjadi khalifah bacaan Yaasin.

Labuan, 19 Feb – SMK Pantai IBWS Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Majlis Mohon Restu Ilmu untuk calon-calon SPM 2020 dalam situasi norma baharu kerana majlis tersebut turut diadakan secara dalam talian yang disertai oleh para ibu bapa dan warga sekolah. Majlis tersebut merupakan satu pengisian minggu terakhir sebelum menjelangnya SPM yang akan berlangsung pada 22 Februari 2021.

Objektif majlis tersebut adalah untuk menunjukkan sokongan dan kasih sayang guru-guru yang menjadi tenaga pengajar kepada calon-calon SPM 2020 sepanjang mereka belajar di sekolah ini. Selain itu, majlis ini memberikan peluang kepada murid-murid memohon doa, kemaafan dan memberi penghargaan kepada guru-guru mereka.

Terdahulu majlis pada pagi Jumaat itu dimulai dengan bacaan Yaasin yang diketuai oleh adik Naeim Hazeq bin Yusup merupakan murid 5 Principled. Bacaan doa diketuai oleh adik Adam Daniel bin Haris dari kelas 5 inquirer. Ucapan wakil murid pula diwakili oleh adik Aliya Shakira binti Mohd Amir dari kelas 5 Inquirer. Dalam majlis itu juga, Puan Zaleha binti Pump @ Pumb (Guru Kanan Bidang Bahasa) turut  menyampaikan amanat untuk subjek Bahasa Melayu. Manakala, Puan Jennifer bt Alip @ Janneffar (Ketua Panitia Sejarah) menyampaikan amanat untuk subjek Sejarah.

Pengetuanya, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri telah menyampaikan amanat kepada semua calon SPM 2020 agar menggunakan peluang pada majlis tersebut untuk memohon daripada semua guru agar menghalalkan semua ilmu yang diberikan.

Beliau juga berpesan kepada calon-calon SPM 2020 supaya menjaga keselamatan dan kesihatan sepanjang peperiksaan di samping meluangkan masa dengan perkara berfaedah dan terus memberikan tumpuan untuk membuat ulang kaji. 

Pada majlis itu juga, Puan Norazita menyeru agar guru-guru mendoakan urusan peperiksaan dipermudah, menghalalkan semua ilmu yang diberikan, memaafkan kesalahan murid dan mendoakan murid dengan ikhlas kerana kejayaan murid merupakan kejayaan kepada guru.

 “Saya suka membuat kesimpulan bahawa apa-apa yang dilalui selama ini sebagai DUIT dalam menerangkan perkara penting untuk menjadi murid yang cemerlang.  ‘D’ ialah doa yang kita  ungkapkan setiap masa dan doa ibu bapa dan guru-guru. ‘U’ ialah usaha yang kita kerjakan ke arah kecemerlangan akademik. ‘I’ ialah  istiqamah iaitu konsisten atau usaha berterusan.  Akhir sekali ialah  ‘T’ merupakan tawakal iaitu menyerahkan segalanya kepada Allah”, katanya penuh harapan sambil mengucapkan tahniah kepada AJK pelaksana kerana berjaya mengadakan majlis tersebut walaupun dalam keadaan norma baharu.

Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMK Pantai IBWS menyampaikan amanat kepada calon-calon SPM 2020.

Berita Oleh : Puan Zaleha binti Pump @ Pumb

Loading

image_pdfimage_print