Bengkel Pemantapan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) STEMEC Guru SMK Taman Perumahan Bedaun Bersama SISC+

25 Februari 2021 (Khamis) – Bengkel Pemantapan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) STEMEC pegawai SISC+ bersama warga guru SMK Taman Perumahan telah dilaksanakan pada Khamis lalu. Bengkel PBP STEMEC ini disampaikan oleh pegawai SISC+, Puan Arni Samiraty Abdol Samad.

Pendekatan bengkel ini membabitkan pelaksanaan dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dengan menggunakan kaedah pedagogi iaitu Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP). Program pembudayaan PBP direncanakan untuk menggalakkan inovasi dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) sekali gus berlakunya pengintegrasian teknologi.

Bengkel ini berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi ‘Google Meet’ dan dihadiri oleh 40 orang guru SMK Taman Perumahan Bedaun. Turut mengikuti bengkel ini Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Chai Yee San, Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Lau Chin Ying dan Penyelaras PBP STEM SMKTPB iaitu, Puan Roselyn Gubal .

Bengkel yang disampaikan oleh Puan Arni Samiraty dapat membentuk kesediaan guru dalam pembaharuan Pendidikan terutamanya dalam PdPc guru. PBP yang dilaksanakan di sekolah perlulah selaras dengan keperluan kurikulum sebenar iaitu dapat mewujudkan pembelajaran berdasarkan pendekatan inkuiri.

Menurut Puan Arni Samiraty, dalam merancang aktiviti PdPc, guru perlu merungkai keperluan kurikulum berlandaskan pada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), Objektif Pembelajaran (OP) dan Standard Kandungan (SK) bagi sesuatu subjek.

Puan Arni Samiraty : Penceramah Bengkel Pemantapan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) yang juga Pegawai SISC+ di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Melalui PBP yang dilaksanakan oleh guru di sekolah, pelaksanaan PBP mewujudkan persoalan yang akan dijawab oleh pelajar. Dalam konteks ini, guru atau pelajar mengemukakan satu tema persoalan yang akan memandu pelajar membuat projek secara berkolaborasi.

Projek ini mengintegrasikan pelbagai subjek dalam kurikulum seperti subjek Bahasa Melayu, Sains, Pendidikan Jasmani dan Reka Bentuk dan Teknologi. Pengintegrasian pelbagai subjek ini dapat mewujudkan pendekatan STEM Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP). PBP dalam PdPc memerlukan pelajar menjawab persoalan dunia sebenar berlandaskan pengetahuan secara holistik dalam kalangan murid.

Menurut Puan Arni Samiraty lagi, sebelum guru membuat Rancangan Pengajaran Harian (RPH), guru setiap mata pelajaran perlu mempunyai pengetahuan untuk merungkai kurikulum sebenar. Dalam penulisan RPH, setiap ayat dalam Standard Pembelajaran (SP) dan Standard Kandungan (SK) perlu diletakkan dua perkara utama iaitu aspek pengetahuan dan kemahiran. Oleh itu, perbincangan dalam kalangan guru mata pelajaran sangat penting untuk menghasilkan penulisan RPH yang selaras seperti memperkenalkan Toolkit Merungkai Kurikulum.

Secara keseluruhan, kaedah PBP STEMEC merupakan salah satu daripada amalan terbaik dan inovatif dalam proses PdPc yang berasaskan penyelesaian masalah. Pada masa yang sama, bengkel ini dapat melatih guru untuk mengaplikasikan kaedah PBP dalam PdPc yang bersesuaian dengan kebolehan murid.

Pelaksanaan PBP memberi peluang kepada murid untuk terlibat secara aktif di dalam pembelajaran, malah dapat melahirkan murid yang berkebolehan menguasai konsep, kemahiran dan berupaya menggunakan pengetahuan saintifik dalam kehidupan sebenar.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Loading

image_pdfimage_print