Pelancaran Program Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat SMK Mutiara

Pengetua, Encik Yahya Ahmad Puteh memegang infografik program Dekad Membaca Kebangsaan semasa melancarkan program tersebut di peringkat SMK Mutiara.

Labuan : Majlis pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan peringkat SMK Mutiara telah disempurnakan oleh Pengetua, Encik Yahya Bin Ahmad Puteh yang bertempat di perkarangan pejabat am pada 12 Mac lalu. Turut serta menghadiri majlis pelancaran tersebut adalah Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Hisham Bin Abdul Aziz, Guru Kanan Bidang Teknik Vokasional, Encik Mizan Adlia Binti Mohd Shoib dan Guru Kanan Bidang Kemanusiaan, Puan Teo Geok Lin.

Dalam usaha ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang 2030, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyusun pelbagai program sepanjang 10 tahun dari 2021 sehingga 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan (DMK). DMK bertujuan membentuk masyarakat ilmu bertaraf dunia dengan tumpuan membaca untuk pengetahuan dan pembudayaan amalan membaca.

Pelaksanaan DMK merangkumi enam program utama iaitu kepelbagaian program membaca, pembangunan prasarana dan aktiviti membaca, pesta buku sebagai destinasi perbukuan masyarakat, pembangunan pembacaan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, capaian buku digital atau E-Buku serta pendidikan sepanjang hayat. Beberapa pendekatan strategi juga diambil KPM di mana antaranya adalah mewujudkan rangkaian kerjasama merentas kementerian dan agensi kerajaan, sektor korporat dan swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu, program pembacaan dengan aktiviti kreatif dan inovatif, selaras dengan kemajuan Revolusi Perindustrian 4.0 turut dipertingkatkan selain meluaskan akses capaian kepada bahan bacaan dan sumber maklumat melalui pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi di seluruh negara.

Penanda aras tahap pencapaian pembacaan rakyat Malaysia yang aktif membaca meningkat kepada 25 peratus daripada jumlah penduduk pada lima tahun pertama pelaksanaan DMK juga diperkenalkan.

Kelompok sasaran dituju kepada murid prasekolah (memperkenalkan bahan dan pembacaan awal), sekolah rendah (memperkenalkan teknik membaca dan menganalisis), sekolah menengah (membaca untuk pengetahuan kreatif dan inovatif), penuntut institusi pengajian awam dan swasta (membaca untuk pengetahuan kreatif dan inovatif, rekreasi dan lain-lain), masyarakat umum (membaca untuk meningkatkan pengetahuan dan pembacaan sebagai asas kerja), penjawat awam (membaca untuk meningkatkan profesionalisme dan menambah ilmu dalam urus tadbir kerajaan) dan belia (membaca untuk rekreasi dan menambah ilmu pengetahuan yang kreatif dan inovatif).

Pada majlis tersebut, Pengetua turut melancarkan kempen membaca di kalangan warga SMK Mutiara sebagai pengisian program ini. Guru yang paling banyak membaca buku sepanjang tahun 2021 akan diiktiraf dan diberikan ganjaran berupa wang tunai.

Bersempena dengan program ini juga, beberapa struktur simenfero dan sebuah mercu tanda berupa buku dan hati telah dibina di perkarangan pejabat am sekolah oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Kokurikulum dan dibantu oleh lima orang anggota kumpulan pelaksana (AKP) serta dua orang guru pelatih dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

DMK yang diperkenalkan oleh KPM ini adalah satu pendekatan yang lebih mantap lagi agresif bagi menarik lebih ramai warga sekolah untuk mencintai dunia pembacaan dan menyegarkan pembudayaan membaca. Kempen yang menggunakan slogan #MalaysiaMembaca, adalah aspirasi untuk menjadikan SMK Mutiara sebagai sekolah membaca serta melahirkan masyarakat berilmu lagi HEBAT.

“Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya”

Berita Oleh : SMK Mutiara

Loading

image_pdfimage_print