BENGKEL KAJIAN SEMULA PELAN TAKTIKAL:

Memastikan Sistem Penyampaian Kekal Relevan

Sesi bengkel sedang berlangsung

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah berjaya melaksanakan kajian semula terhadap Pelan Taktikal Jabatan Pendidikan 2021 bermula 22 hingga 24 Julai lalu. Bengkel selama 3 hari itu melibatkan semua ahli pengurusan tertinggi jabatan dan dibuat secara dalam talian sepenuhnya.

Penyelaras bengkel, Puan Faridah Amit yang juga Penolong Pengarah di Sektor Perancangan berkata, bengkel ini bertujuan untuk menyelaras semula pelan taktikal berkaitan Key Performance Indicator (KPI) dan sasaran yang ditetapkan sebelum ini.

“Kita maklum bahawa Pandemik Covid-19 telah menukar cara dan kaedah kita melaksanakan aktiviti. Di samping itu terdapat halangan aktiviti secara bersemuka dalam kalangan pegawai, guru dan murid. Justeru bengkel ini memberi peluang kepada semua sektor untuk membuat penyelarasan semula sasaran KPI dan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan untuk penggal kedua tahun ini” kata beliau.

Bengkel di bawah kelolaan Sektor Perancangan ini telah dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Mohamad.

Dalam ucaptamanya, beliau menekankan tentang kepentingan meningkatkan kualiti pengurusan organisasi dan berusaha bersungguh-sungguh dengan cara yang sesuai dalam keadaan yang mencabar ini supaya sistem penyampaian tidak terjejas.

“Kita perlu bertindak secara lebih kreatif dan inovatif dalam situasi mencabar sekarang ini bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti peringkat negeri yang berfaedah terutamanya kepada murid-murid. Semua sector perlu membuat semakan semula kepada Pelan Taktikal masing-masing supaya kekal relevan untuk memacu kemenjadian murid dan kualiti sekolah” ujar beliau lagi.

Encik Yusup Haji Mohamad

Pelan Strategik JPWPL dibina untuk tempoh pelaksanaan 5 tahun bermula Tahun 2021 hingga 2025 dengan 10 matlamat strategik bertemakan Pendidikan Komprehensif Minda Kelas Pertama. Pelan Taktikal 2021 menggariskan kerja buat secara tahunan untuk mencapai matlamat strategik.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid (SPM), Ustaz Abdul Rahman Ahmad, pengubahsuaian terhadap semua aktiviti murid terpaksa dilakukan memandangkan situasi pandemik yang belum reda.

“Walau bagaimanapun kita akan menyesuaikan pelaksanaan aktiviti bagi memberi peluang kepada murid untuk terus aktif. Kita akan perbanyakkan aktiviti dan pertandingan secara dalam talian. Selain itu, penyertaan murid juga boleh dibuat melalui rakaman video” kata beliau.

Di akhir bengkel, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim telah merumuskan keputusan dan perubahan yang telah dipersetujui bersama oleh ahli-ahli bengkel.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama dan komitmen semua ahli bengkel yang telah menjayakan bengkel kajian Pelan Taktikal bagi setengah tahun kali ini.

Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah YDP Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Labuan, Encik Ismail Abdullah dan Setiausaha Majlis Guru Besar (MGB) Labuan, Encik Abdul Rahman Salim.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Loading

image_pdfimage_print