Kem Eksplorasi Go KBAT 2024: SK Layang – Layangan Budayakan Penerokaan Ilmu Dan Kemahiran Baharu  

Suasana sekitar pelaksanaan Kem Ekplorasi Go KBAT di Dewan Surapit, SK Layang-Layangan.

Labuan, 13 November 2024 – Kem Eksplorasi Go KBAT 2024, yang diadakan pada Rabu, menjadi salah satu usaha SK Layang-Layangan untuk mendidik murid menjadi lebih kreatif dan berfikiran kritis sejajar dengan matlamat memperkasakan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) melalui pelbagai elemen pembelajaran yang menyeronokkan. Program yang berlangsung di Dewan Surapit, SK Layang-Layangan ini telah disasarkan kepada semua murid Tahun 5, khususnya daripada kelas 5 Sarjana dan 5 Bestari.

Program ini telah bermula seawal pukul 1:00 petang dan berlangsung sehingga jam 2:30 petang, memberikan tempoh masa yang mencukupi untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti yang menarik. Objektif utama program ini adalah untuk memperkukuh dan mengasah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan murid melalui pendekatan yang menggabungkan elemen interaktif dan kolaboratif. Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan daya intelek murid, tetapi juga memupuk kerjasama berpasukan serta keterampilan menyelesaikan masalah secara kreatif dan kritis.

Murid-murid dibahagikan kepada 10 kumpulan kecil untuk memastikan setiap individu berpeluang mengambil bahagian secara aktif. Setiap kumpulan diberi masa selama 20 minit di setiap stesen untuk melaksanakan tugasan yang melibatkan pelbagai cabaran menarik, seperti menyelesaikan masalah, membuat analisis dan menghasilkan penyelesaian kreatif. Aktiviti-aktiviti ini dirancang untuk memupuk kemahiran berfikir secara kritis, bekerjasama dalam pasukan serta mengintegrasikan ilmu pengetahuan daripada pelbagai subjek.

Murid-murid berbincang dan bekerjasama dalam satu pasukan untuk menyelesaikan soalan KBAT
Murid-murid membaca arahan terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti

Sebanyak lima stesen menarik disediakan untuk Kem Eksplorasi Go KBAT 2024 kali ini, yang bertujuan memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan mencabar. Aktiviti ini merangkumi dua stesen Sains (Sains 1 – Jirim dan Sains 2 – Kocak-kocak Sejuk), dua stesen Matematik (Matematik 1 – Wang dan Matematik 2 – Magic Triangle), serta satu stesen Bahasa Melayu – Sajak. Di setiap stesen, guru-guru berperanan sebagai fasilitator yang memberi panduan dan sokongan kepada murid untuk menyelesaikan tugasan yang telah disediakan.

Salah satu Stesen Sains telah memperkenalkan eksperimen praktikal di mana murid diajar cara membuat aiskrim menggunakan minuman kotak berperisa dan ketulan ais atau garam. Aktiviti ini bukan sahaja mengasah kemahiran saintifik murid, tetapi juga merangsang kreativiti mereka dalam mengaplikasikan konsep-konsep sains secara praktikal.

Di salah satu Stesen Matematik pula, murid diberikan cabaran untuk menghasilkan satu garis lurus 180 darjah melalui gabungan tiga bentuk segi tiga. Tugasan ini bertujuan untuk mengukuhkan pemahaman murid tentang geometri dan konsep sudut, sambil meningkatkan kemahiran mereka dalam menyelesaikan masalah matematik secara visual dan kreatif.

Program seperti ini amat penting untuk menyediakan murid dengan kemahiran yang relevan dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar. Kem Eksplorasi Go KBAT 2024 ini bukan sahaja membantu murid memahami konsep-konsep pelajaran dengan lebih mendalam, malah turut mendorong mereka untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi sebenar. Kejayaan pelaksanaan program ini merupakan satu kepuasan apabila melihat murid-murid berusaha mengatasi setiap cabaran dengan tekun serta bersemangat tinggi dan bekerjasama erat sepanjang aktiviti berlangsung.

Murid-murid menunjukkan minat dan penglibatan yang aktif terhadap setiap tugasan
Murid-murid bertungkus-lumus menyelesaikan tugasan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan

Berita Oleh : SK Layang – Layangan

Loading

image_pdfimage_print