Kepimpinan Pendidikan Futurustik : Kolokium Graduan NPQEL Kali Ke-3 Di Sarawak

Puan Khaziyati, Puan Maimoon, Ustazah Kamariah bersama Pengetua dan Guru Besar W.P Labuan

Labuan, 24 Okt – Seramai 3 pengetua dan 3 guru besar terpilih menyertai Kolokium Graduan NPQEL 2019 di Kuching, Sarawak yang telah diadakan dari 22 hingga 24 Oktober 2019.

Kolokium tahunan peringkat kebangsaan ini diadakan buat kali ketiga sejak tahun 2017 khusus untuk graduan NPQEL membuat perkongsian amalan-amalan terbaik pengurusan pendidikan di sekolah masing-masing.

Seramai 42 pembentang dari seluruh negara telah membuat perkongsian dalam kolokium kali ini. Ini termasuklah 2 pembentang dari W. P. Labuan yang diwakili oleh Pengetua SMK Rancha-Rancha, Encik Yahya Ahmad Puteh dan Guru Besar SK Tanjung Aru, Puan Faridah Amit.

Sementara itu, Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim dan pengetua SMK Pantai IBWS, Puan Norazita binti Mohd Nor hadir sebagai peserta. Turut hadir sebagai peserta ialah Encik Mohammad Farihi bin Abdul Halim dan Hajjah Aini binti Haji Salleh masing-masing adalah Guru Besar SK Membedai dan SK Kerupang.

Encik Yahya telah membuat pembentangan bertajuk Amalan PIBK Melalui Pelaksanaan Senyum 360 darjah. Manakala Puan Faridah pula memilih “Makan Usai-usai Lai : Prinsip KABB” sebagai tajuk pembentangan beliau.

Pembentangan daripada wakil Labuan telah berjaya menarik minat peserta kolokium dengan kehadiran peserta melebihi 50 orang dalam sesi selari sepanjang 2 hari kolokium tersebut.

Dengan tema “Kepimpinan Pendidikan Futurustik”, kolokium yang dianjurkan oleh Institut Aminuddin Baki, Cawangan Sarawak ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin bin Senin.

Dalam ucapan perasmian, Dr. Amin menekankan peri penting PGB sebagai pemimpin pendidikan di sekolah masing-masing mengupayakan sistem penyampaian bagi menjayakan agenda pendidikan negara. “PGB yang telah mengikuti latihan NPQEL sepatutnya kompeten untuk merealisasikan harapan stakeholder selaras Anjakan ke-5 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025”, kata beliau.

“Pra syarat kepada pemimpin futuristik ialah meletakkan kepentingan dan masa depan murid-murid di hadapan dalam membuat perancangan dan pelaksanaan sesuatu perkara. Ini termasuklah semasa guru menulis Buku Rekod Mengajar Guru (BRMG) agar memenuhi keperluan murid. PGB perlu memantau penulisan BRMG agar tujuannya memenuhi keperluan profesional bukan keperluan pentadbiran semata-mata”, tambahnya lagi.

Dr Amin Senin

Di samping itu, Dr. Amin turut menyeru agar pelaksanaan Pendidikan Sivik di sekolah meletakkan aspek non-kognitif di hadapan agar matlamat pembentukan nilai-nilai murni dalam memenuhi keperluan sosial tercapai melalui amalan dan bukan  literasi semata-mata.

Dr. Amin juga menyarankan agar setiap PGB sebagai barisan hadapan perlu ada passionate dan go extra miles dalam pengurusan pendidikan.

Kontinjen Labuan diketuai oleh Timbalan Pengarah Pendidikan dari Sektor Perancangan, Puan Khaziyati binti Osman. Turut serta ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh dan Penolong Pengarah Sektor Perancangan, Puan Kamariah binti Salim.

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara

Loading

image_pdfimage_print