123 Guru Mengikuti Bengkel Pembugaran Tatabahasa Di Dalam Talian

Pada 12 Julai 2021 bersamaan hari Isnin, SMK Pantai IBWS dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan WP labuan melalui Program Task Force Bahasa Melayu telah mengadakan program yang ke-3 iaitu Bengkel Pembugaran Tatabahasa. Program ini melibatkan semua guru Bahasa Melayu sekolah menengah dan sekolah rendah di WP Labuan. Namun begitu bengkel ini turut disertai oleh guru-guru dari luar WP Labuan kerana menggunakan pelantar dalam talian seperti You Tube dan FB Live selain Google Meet. Seramai 123 orang peserta menghadiri bengkel termasuk Pengetua SMK Pantai iaitu Puan Norazita binti Md Nor@Shamsuri merangkap Pengerusi Task Force BM K2.

Dalam ucapan pembukaan, Encik Yusup bin Haji Mohamad Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri W.P Labuan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jawatankuasa Task Force BM Kertas 2, kerana berjaya melaksanakan Bengkel Pembugaran Tatabahasa secara dalam talian. Beliau juga menyatakan bahawa pandemik bukanlah halangan untuk sebarang perkongsian ilmu. Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Puan Amiah binti Bua, Ketua Penolong Pengarah Unit Bahasa Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Objektif program ini adalah untuk berkongsi ilmu yang berkaitan tentang tatabahasa dari peringkat asas ke peringkat yang lebih tinggi. Bengkel ini merupakan salah satu cara untuk mengulang kembali ilmu-ilmu tatabahasa disamping memberikan ilmu tambahan khusus buat guru-guru baharu. Perkongsian ini juga diharapkan dapat mempertingkatkan lagi keputusan peperiksaan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan seterusnya mendapat 100 peratus lulus pada peringkat SPM.

Program dimulakan dengan kata-kata aluan oleh pengerusi majlis iaitu Puan Sa’adiah binti Bohari yang juga merupakan Ketua Panitia Bahasa Melayu SMK Pantai IBWS. Moderator pada petang itu pula ialah Puan Salbiah binti Hamduh. Moderator memperkenalkan penceramah terlebih dahulu sebelum menyerahkan sesi perbengkelan kepada penceramah. Penceramah utama pada petang itu ialah Puan Hjh Siti Zahara binti Mohammad yang merupakan SISC+ Bahasa Melayu. Beliau juga merupakan seorang Munsyi Dewan, Juruaudit dalaman Bahasa KPM dan Jurulatih Utama KebangsaanKSSM Format Baharu SPM.

Program ini berjaya dilaksanakan dengan lancar dan semua peserta menzahirkan rasa puas hati dengan bengkel tersebut berdasarkan soal selidik yang disi oleh para peserta. Pada penghujung program, melalui boring soal selidik, para peserta menunjukkan tahap penguasaan dan pemahaman yang cemerlang. Bengkel berakhir pada jam 5.20 petang.

Berita Oleh : Unit Bahasa, Sektor Pembelajaran

Loading

image_pdfimage_print