SMK Mutiara Iktiraf Pelibatan Murid Dalam PdPR

LABUAN – Pihak sekolah perlu memberikan suntikan motivasi dan galakan agar murid-murid sekolah dapat menghadirkan diri  secara konsisten dalam  Pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah(PdPR). Hal ini demikian kerana, situasi pandemik Covid 19 sedikit sebanyak telah memberikan pelbagai kesan kepada murid-murid dan jika tidak ditangani dengan baik sudah pasti akan menyebabkan murid-murid tersebut mengalami defisit pembelajaran.  Justeru, usaha yang diadakan oleh SMK Mutiara patut dipuji dalam menghargai murid-murid yang terlibat secara aktif  dalam PdPR, demikian seperti yang dikatakan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Abdul Rahman Bin Haji Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Labuan sempena Majlis Penghargaan Murid PdPR ( MAPEM 2021) yang diadakan baru-baru ini.

Beliau juga menambah bahawa kehadiran murid dalam Pdpr sangat penting supaya  murid-murid tidak mengalami defisit pembelajaran. Walaupun pengajaran dan pembelajaran di rumah ini berbeza jika dibandingkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, namun kita semua perlu menerima hakikat bahawa PdP secara norma baharu ini perlu diterima dengan hati yang terbuka. Kehadiran anak-anak murid juga perlu diambil perhatian oleh semua guru dan ibu bapa. 

Dalam majlis yang sama,  Yahya Ahmad Puteh selaku Pengetua SMK Mutiara berkata bahawa objektif penganjuran MAPEM PdPR adalah untuk menghargai murid-murid terlibat secara aktif dalam PdPr, Murid yang hadir awal dalam PdPr dan Murid yang mempunyai kehadiran terbaik sepanjang tempoh PdPR berlangsung. Seramai 76 orang murid yang diberikan penghargaan atas pelibatan mereka yang aktif sepanjang tempoh PdPR berlangsung. Murid-murid yang diberi penghargaan ini terdiri daripada murid-murid Tingkatan satu hinggalah ke Tingkatan 5. 

“Saya mengharapkan kehadiran murid akan lebih baik selepas ini memandangkan murid-murid akan mula bersekolah selepas 31 Ogos 2021 nanti. Setakat ini, jumlah kehadiran murid-murid SMK Mutiara dalam keadaan yang baik. Hal ini disebabkan dengan sokongan ibu bapa yang sentiasa membantu sekolah dengan memastikan anak-anak mereka hadir sepaanjang sesi pdpr berlangsung. Saya percaya semua murid dan guru akan lebih bersedia menghadapi sesi pdpr apabila tamatnya cuti pertengahan penggal kedua nanti.”

Dalam majlis yang berkenaan, Mathew Chew Kah Ming , mengatakan bahawa sepanjang sesi berlangsungnya pdpr ini, terdapat banyak cabaran yang dilaluinya. 

“Antara cabaran terbesar bagi saya ialah dari aspek medisiplinkan diri.  Seperti yang kita semua sudah maklum, pdpr berlangsung di rumah masing-masing. Pada awalnya saya sangat sulit untuk menyertai sesi pdpr pada awal pagi tetapi berkat dorongan daripada guru2, saya berjaya mengatasi masalah ini. Saya percaya ini juga merupakan cabaran bagi semua pelajar yang lain”

Mathew juga berkata bahawa disebabkan Pdpr dijalankan secara maya, dia tidak lagi dapat berkomunikasi secara bersemuka dalam bilik darjah. Hal ini menjadikannya sukar untuk memahami sesuatu topik pembelajaran. Oleh itu, jalan penyelesaian baginya ialah menonton rancangan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan seperti menonton Didik TV serta turut menasihati kawan-kawannya supaya tidak putus asa dan teruskan usaha walaupun tidak dapat bersekolah seperti sebelum ini akibat Covid 19.

Selain itu, Nurain Atiqah Ramblie dari Kelas 5 Ibnu Sina mengatakan bahawa pengalaman belajar secara pdpr agak mencabar kerana pdpr ini merupakan perkara baharu.Namun secara tidak langsung,  dirinya boleh belajar tentang penggunaan teknologi.

“Antara tips yang boleh saya  kongsikan dalam menghadapi cabaran pdpr  ialah menetapkan ‘alarm’ dalam telefon supaya kita lebih peka tentang kelas dan masa bagi satu-satu subjek sewaktu pdpr supaya kita lebih bersedia sebelum memasuki kelas.Selain itu, saya juga memastikan buku-buku sudah ada di atas meja dan kemas kerana ini akan memberikan kita lebih bersemangat untuk memulakan pdpr. Saya juga akan akan membuat tugasan yang diberikan pada waktu malam. Saya juga sentiasa peka terhadap jadual harian kelas dan menjadikan jadual kelas sebagai ‘wallpaper’ dalam telefo bimbit saya”

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YDP PIBG Sekolah, Norhani Binti Yusof, dan semua penolong kanan sekolah. Majlis tersebut telah diurusetiakan oleh Unit Bimbingan Dan kaunseling SMK Mutiara.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Loading

image_pdfimage_print