Labuan, 23 Ogos : Satu Program Bual Bicara Pengarah Pendidikan, Tuan Yusup Hj Mohamad, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan bersama murid-murid tingkatan 5 sekolah menengah telah diadakan pada 14 Ogos 2021 bersamaan dengan hari Sabtu pada jam 8.30 malam secara dalam talian di rumah masing-masing. Program ini dianjurkan oleh Sektor Pembelajaran, dan merupakan insiatif pengarah sendiri untuk lebih mendekati calon-calon SPM 2021.
Seramai 250 orang telah mengikuti program ini yang terdiri daripada Pengarah,Timbalan Pengarah, Ketua Penolong Pengarah, semua pegawai sektor pembelajaran, pengetua-pengetua sekolah menengah, penolong-penolong kanan, kaunselor, lima orang guru-guru tingkatan 5 dari setiap sekolah dan 162 murid tingkatan lima yang terdiri daripada 18 orang daripada setiap sekolah.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada murid tingkatan 5 sekolah menengah W.P. Labuan berinteraksi secara terus bersama Pengarah Pendidikan. Program ini sebagai medan terbuka untuk murid-murid melontarkan pandangan dan pendapat masing-masing berkaitan isu dan cabaran yang dihadapi semasa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Respon daripada murid amat memberangsangkan apabila mereka berjaya membangkitkan isu dalam situasi mereka berhadapan dengan norma baharu.
Pengarah memaklumkan program ini diadakan pada waktu malam supaya semua murid dapat mengikutinya dan tidak timbul isu peranti digunakan oleh ibu bapa yang bekerja. Murid kohort SPM 2021 yang mengikuti PdPR selama hampir 2 tahun ekoran pandemik Covid-19 ini berhadapan dengan cabaran dan kekangan yang perlu didengari oleh pihak jabatan. Pengarah berpendapat program ini dapat memberi maklumat mengenai keinginan dan harapan anak-anak murid Tingkatan 5 agar jabatan boleh mencari resolusi untuk membantu mereka.
Menurut salah seorang calon SPM 2021, adik Corliss Lim Jing Shi dari SMK Labuan yang berada dalam aliran sains tulen, mengatakan bahawa rakannya menghadapi masalah apabila guru menggunakan aplikasi google meet tetapi bilangan yang mengikuti hanya 2 ke 3 orang sahaja. Beliau menyatakan bahawa apabila guru memberi link youtube atau slides, tidak ada penerangan tentang isi kandungan pembelajaran tersebut. Dia turut mencadangkan guru untuk menyediakan video atau bahan rujukan yang mempunyai penerangan supaya senang difahami oleh murid terutama silibus KSSM yang baharu.
Berkongsi Teknik Mencari bahan Pembelajaran Semasa PDPR Adik Corliss Lim Jing Shi – SMK Labuan
Perkongsian Teknik Belajar Semasa PDPR – Adik Azlee Zulhelmy (SM Sains Labuan)
Hal ini turut dikongsi bersama oleh Evania Liew Hui Chen dari SMK Pantai yang mengutarakan isu capaian Internet yang kurang baik serta kurangnya pendedahan membuat eksperimen membuatkan murid merasa sedikit kurang yakin untuk menduduki kertas amali sains SPM.
Antara perkara menarik yang turut dikongsikan oleh murid-murid ini adalah cara-cara meningkatkan motivasi dan kesiapsiagaan sesama mereka dari sudut mental, emosi dan kerohanian dalam menghadapi SPM nanti. Adik Aiman Nazim dari SMK Lajau mencadangkan mengikuti Study Group PPTI yang boleh membantu dalam masalah pelajaran dan boleh dirujuk menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya. Hal ini turut dikongsi oleh Teo Siti Raydiana dari SMK Lajau yang mengajak rakan-rakannya untuk mengubah cara berfikir dengan memegang prinsip hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Beliau juga meminta rakan-rakan untuk tidak terlalu berharap dengan bahan rujukan daripada guru ataupun dalam google meet semata tetapi perlu mencari sendiri bahan-bahan rujukan lain serta keluar dari zon selesa untuk lebih berdikari.
Pengarah menyatakan rasa syukur dan amat gembira dengan pelbagai cadangan dan juga pandangan yang telah dikemukakan oleh murid-murid. Segala isu dan cadangan akan diambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya. Beliau juga menasihati murid-murid untuk sentiasa menjaga kesihatan dan membiasakan diri dengan budaya pembelajaran norma baharu sesuai dengan situasi Pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara sekarang serta mempersiapkan diri secukupnya bagi menghadapi SPM 2021.