
Labuan, 17 Julai 2025 – Mesyuarat Pengurusan Pendidikan Islam Bil. 2 Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada pagi ini bertempat di Bilik Mesyuarat Botanikal, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Mesyuarat yang bermula seawal jam 9.00 pagi ini dipengerusikan oleh Encik Yahya Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, JPWPL.
Dalam ucapan alu-aluan pengerusi, beliau merakamkan penghargaan kepada Sektor Pendidikan Islam atas kesinambungan usaha menganjurkan mesyuarat strategik ini yang disifatkan sebagai wadah penting untuk memperkasa agenda pendidikan Islam secara holistik.
Pengerusi turut menegaskan pencapaian sekurang-kurangnya 95% calon SPM memperoleh kelulusan dalam subjek Pendidikan Islam sebagai indikator kejayaan mendidik generasi yang memahami dan menghayati agama.
Selain itu, pelbagai inisiatif diambil untuk memastikan murid menguasai Al Quran seperti Kem Literasi Al Quran, Kem Qawwam Junior, Kem Generasi MADANI: Al-Quran di Hati dengan kerjasama Yayasan Taqwa.
Usaha pemerkasaan Pendidikan Jawi turut dibincangkan. Sekolah showcase jawi, bengkel Kaedah Jawi untuk guru dan murid dan bengkel pra munsyi jawi akan diadakan bagi menyemarakkan lagi jawi di Labuan.
Penekanan turut diberikan terhadap rekod data Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan pemantauan bulanan data pencapaian Al Quran selaras dengan keperluan integriti pelaporan kepada Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pengerusi turut menekankan pentingnya pengukuhan nilai rohani melalui pengimarahan surau dan musalla sekolah serta pengukuhan pelaksanaan Hadis 40 Imam Nawawi sebagai sebahagian usaha membina jati diri dan akhlak murid Islam.
Dalam ucapan penutupnya, beliau menegaskan peranan guru Pendidikan Islam sebagai murabbi dan agen pembentukan sahsiah murid, bukan sekadar penyampai ilmu semata-mata.
“GPI bukan biasa-biasa. Amanahnya berat, tugasnya mulia. Bukan sekadar ilmu diberi, bahkan akhlak, hati dan rohani,” ujar beliau dalam nada penuh semangat.
Mesyuarat diakhiri dengan sesi pembentangan dan perbincangan interaktif antara pihak jabatan dan pentadbir sekolah yang menjadikan platform ini sebagai medan musyawarah ke arah memperkukuh hala tuju Pendidikan Islam yang lebih berkesan di Wilayah Persekutuan Labuan.





