LABUAN, 2 Okt – Labuan International Conference On Educational Research (LICER) 2017 merupakan platform terbaik bagi guru-guru khususnya di Labuan berkongsi pengalaman mengajar serta membentangkan kertas kerja mereka khususnya bentuk pembelajaran yang lebih inovatif dan kreatif yang diamalkan pada abad ke-21 ini.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin, LICER telah mengundang pembentang-pembentang kertas kerja yang berpengalaman khususnya tentang cara pembelajaran yang lebih inovatif dari Thailand, Korea Selatan, Brunei serta Vietnam yang boleh dikongsi dan dipraktikkan oleh guru-guru di sini.
“LICER ini diharap mampu mencungkil kebolehan tenaga pengajar dalam menghasilkan kertas kerja dan kajian yang memberi impak yang berkesan kepada para pelajar dalam suasana pembelajaran abad ke-21 yang lebih kreatif dan berinovasi.
“Hasil kajian yang berjaya telah dipraktikkan di sekolah masing-masing yang akan dibentangkan pada LICER kali ini bagi tujuan perkongsian ilmu serta membentuk jaringan komunikasi yang baik antara peserta dan para pembentang kertas kerja”, ujar Encik Raisin Saidin lagi semasa Majlis Perasmian LICER 2017 tersebut di sini, petang semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar dan Pembangunan), Datuk Sulaiman Wak berkata kementeriannya amat mengalakkan para pengajar sentiasa berfikir di luar kotak dalam menghasilkan budaya pembelajaran yang lebih kreatif serta menggalakkan budaya pembelajaran inovasi dalam kelas.
Datuk Sulaiman memuji Jabatan Pendidikan Labuan yang meneruskan kesinambungan dalam menganjurkan LICER 2017 ini yang pada masa yang sama dapat menjadikan pulau bebas cukai tersebut sebagai “Hub Education Research” kementeriannya di negara ini.
Seramai 88 orang pembentang kertas kerja serta 108 peserta dari seluruh negara yang menyertai LICER kali ini yang bertemakan “To Encourage Innovation and Promote A Research Society in 21st Century”.
Sumber Berita : Uda Bayas, 29 September 2017
Leave a Reply