Labuan – Ustaz Mohd Sanusi bin Ya telah memberikan perkongsian ilmu kerohanian yang bermanfaat dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan September bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, baru-baru ini.
Perkongsian ilmu beliau adalah lebih kepada bagaimana hendak menjadi guru yang baik pada pandangan Islam. Beliau menggariskan lima kunci utama untuk menjadi guru yang baik.
Pertama seorang guru perlu mempunyai penampilan positif dalam semua aspek dan memiliki kriteria keguruan zahir dan batin. Penampilan guru yang baik memberi pandangan yang positif untuk membina keyakinan terhadap guru.
Kedua, seorang guru perlu mewujudkan suasana kondusif dalam persekitaran pendidikan dan sentiasa memastikan murid dididik dengan cermat dengan perkara yang boleh dan tidak boleh. Sebagai contoh bagaimana mengambil manfaat dan menolak mudarat melalui Revolusi Industri 4.0.
Ketiga, seorang guru perlu memiliki sebelum memberi. Guru perlu memiliki ilmu, kemahiran dan penghayatan dalam mengajar anak muridnya. Penghayatan seorang guru terhadap muridnya seperti mengenali tingkah laku dan sifat murid dapat melahirkan perasaan sayang serta percaya kepada murid.
Apabila guru sayang muridnya tanpa syarat dan percaya setiap murid memiliki nilai tersendiri yang perlu dihargai, insyaAllah semuanya menjadi lebih mudah. Tagline Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan ‘Guru Sayang Muridnya’ dan Tagline SMK Labuan ‘Setiap murid bernilai’ seharusnya dapat dicerna untuk dijadikan landasan pengajaran.
Keempat, seorang guru perlu sentiasa menjalinkan silaturrahim di kalangan murid. Interaksi guru dan murid pada masa kini sudah jauh berubah. Guru mesti sentiasa menjadi relevan murid dengan arus perubahan yagng pantas ini. Guru perlu juga mewujudkan keharmonian dalam kepelbagaian interaksi antara murid, ibubapa dan komuniti (penghubung antara titik).
Terakhir sebagai seorang manusia, sebagai seorang guru kita ini hanya sebagai pelaksana proses. Penentu segalanya adalah Tuhan yang maha esa. Apa pun jua usaha kita jangan kita lupa untuk berdoa kepadaNya untuk sentiasa diberikan ilmu, refleksi diri dan sentiasa mencari keberkatan daripada Tuhan pencipta alam.
Sebagai kesimpulan, yang diperlukan oleh murid bukan lampu tetapi cahaya. Cahaya hanya terhasil dari keikhlasan dan penghayatan seorang guru terhadap muridnya.
Kita perlu memahami bahawa matlamat pendidikan adalah untuk penyempurnaan tanggungjawab kekhalifahan “Karamah Insan” ( Kemuliaan manusia) yang dianugerah Allah kepada manusia.
Ustaz Mohd Sanusi yang menjadi jemputan khas oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin telah membuat perkongsian ilmu yang cukup bermanfaat untuk difahami dan dihayati bersama.
“Saya berharap perkongsian yang telah dibuat oleh Ustaz Mohd. Sanusi Bin Ya dalam perhimpunan bulanan Rasmi Jabatan Pendidikan WP Labuan dapat memberi suntikan semangat kepada warga pendidikan. Saya memohon agar para PGB yang mendengar perkongsian ini dengan segera menyebarkan pula kepada guru-guru di sekolah intipati perkongsian hari ini”. Encik Raisin Saidin
Sementara itu, Puan Siti Zahara Mohamad, SISC+ Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan berkata perkongsian yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Sanusi sangat bermanfaat dan berguna khususnya untuk guru-guru.
“Setiap guru perlu mengajar dari hati dan punyai rasa kasih sayang terhadap murid-muridnya, rasa seperti anak sendiri”. Puan Siti Zahara