
Labuan, 20 November – Program Tafaqquh Fiddin, jalinan kerjasama antara Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama,(KUPU) Seri Begawan secara dalam talian berjaya dilaksanakan dalam suasana muhibbah pagi tadi.
Majlis yang diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam, JPWPL bermula seawal jam 8.00 pagi dengan bacaan surah Al Kahfi ayat 1 hingga 10 dan ayat 100 hingga 110 yang dipimpin oleh Al Fadl ustaz Mohd Fadzli bin Sheikh Abdul Rahim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha. Ianya diikuti dengan bacaan surah Yaasin dan doa yang dipimpin oleh Al Fadl ustaz Jailani bin Muda dari SMK Labuan.
Tafaqquh Fiddin merupakan Program Bina Upaya Warga Pendidikan khususnya Guru Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program ini dilaksanakan untuk memastikan wujud kesatuan pemikiran dalam kalangan warga pendidikan dan masyarakat.
Melalui Program Bina Upaya ini adalah diharapkan warga pendidikan dapat menerima dengan jelas hala tuju dan citra negara terutamanya peranan mereka sebagai pendakwah agar menepati 5 ciri Pendidik Muslim iaitu sebagai Muallim, Mudarris, Murabbi, Muaddib dan Mursyid
Program Tafaqquh Fiddin kali ini dilaksanakan secara kerjasama antara JPWPL dengan KUPU bagi meraikan hubungan strategik pendidikan antara Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama (KUPU) Seri Begawan,Negara Brunei Darussalam sepertimana Perjanjian Persefahaman yang telah dimeterai pada 15 Januari 2019.
Ustaz Mohd Fadzli SMK Rancha-Rancha Ustaz Jailani bin Muda, SMK Labuan
Majlis secara maya menggunakan aplikasi google meet ini telah dihadiri oleh Pengarah JPWPL, Puan Khaziyati binti Osman, Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua dan Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL, guru-guru Pendidikan Islam dan warga pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan. Siaran langsung majlis ini turut dimuat naik dalam Facebook Live dan You Tube Live.
Yang Mulia Dr. Haji Adanan bin Haji Basar, Ra’es, Kolej Universiti Perguruan Ugama (KUPU), Seri Begawan telah dijemput sebagai penyampai slot bingkisan ilmu dan Yang Mulia Barisan Pensyarah Pusat Ilmu Teras, KUPU.
Yang Mulia Dr. Haji Adanan dalam bingkisan ilmunya memberi pelbagai tips sebagai hamba dalam mencari redha Allah s.w.t..
“Untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat perlulah mendapat keredhaan Allah s.w.t.. Allah redha kita, semua yang ada di dunia dan di langit akan redha kepada kita. Justeru, perkara asas dalam kehidupan ialah kembali kepada sunnah. Siapa yang mengamalkan sunnah pasti mendapat kerahmatan daripada Allah s.w.t.”.
Beliau turut menyenaraikan empat ciri utama yang perlu ada dalam diri pendidik iaitu Hayyin, pendidik yang memilik sikap tenang tidak mudah marah dan penuh pertimbangan sebelum mengambil keputusan. Layyin, pendidik yang baik dalam bertutur kata serta bersikap santun dan lembut terhadap orang lain. Qarib, pendidik yang ramah ketika berbicara, akrab, menyenangkan orang lain dan yang terakhir Sahl iaitu pendidik yang selalu memudahkan urusan orang lain.

Sementara itu Pengarah Pendidikan JPWPL, Puan Khaziyati binti Osman melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih di atas kesudian Yang Mulia Dr. Haji Adanan bin Haji Basar memenuhi undangan dalam Program Tafaqquh Fiddin.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana jalinan kerjasama pendidikan di antara JPWPL dengan KUPU masih lagi terjalin biarpun dalam situasi Covid-19. Kita berdoa semoga jalinan kerjasama ini akan berterusan dan majlis seperti ini dapat dilaksanakan sama ada seminggu sekali ataupun sebulan sekali untuk kita berkongsi ilmu”.
“Kita di Malaysia sekarang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sehingga 6 Disember. Alhamdulillah, meskipun semua sekolah ditutup namun anak-anak kita masih lagi meneruskan pembelajaran melalui Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PDPR) sehingga 18 Disember 2020. Pengenalan kepada norma baharu yang terarah kepada pengajaran berpusatkan pelajar (student based-learning) tidak menghadkan peranan guru untuk berbakti.” katanya lagi.

Di akhir ucapan, Puan Khaziyati melahirkan pengharapan agar syor yang dicadangkan oleh mantan pengarah JPWPL iaitu Encik Raisin bin Saidin sewaktu memegang jawatan pengarah JPWPL agar Praktikal training KUPU di Labuan dapat direalisasikan, inshaAllah.
Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam