Guru dan murid SK Lubok Temiang dan SK Desa Tasik bekerjasama Jayakan Program Merentas Maya

Haji Adam dan Mazlan bersama Guru Pemulihan Khas SKLT, Norhasiken Mohd Dahli (kiri) dan Guru Pemulihan Khas SKDT, Noor Hana Ismail.

LABUAN – Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT) Wilayah Persekutuan Labuan dan SK Desa Tasik (SKDT) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah bekerjasama menjayakan Program Merentas Maya anjuran bersama Program Pemulihan Khas kedua-dua sekolah pada 16 Julai 2021.

Guru Pemulihan Khas SKLT, Norhasiken Mohd Dahli dan Guru Pemulihan Khas SKDT, Noor Hana Ismail merupakan penyelaras program yang pertama kali diadakan itu.

Turut hadir Guru Besar SKLT, Haji Adam Abd Rahim dan Guru Besar SKDT, Mazlan Bahari.

Hadir sama menjayakan program tersebut ialah Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar Pudu, Nur Huda Md Ralip, Ketua-ketua Panitia, Zunika Amboh Turuh (SKLT) dan Che An Khalid (SKDT).

Program tersebut turut membabitkan 12 orang murid SKLT, 3 murid Tahun 3 dan 7 murid Tahun 2 SKDT di samping 22 orang guru SK Lubok Temiang dan 10 orang guru SK Desa Tasik.

Antara objektif program tersebut ialah memberi ruang kepada murid untuk belajar dan berinteraksi dengan rakan-rakan dari sekolah yang berlainan, selain, menjalin hubungan yang baik antara kedua-dua buah sekolah.

Pada masa sama, ia meningkatkan kemahiran belajar murid melalui pendedahan kepada Kaedah Belajar Membaca Ekspereei.

“Memberi pengalaman baharu kepada murid-murid melalui aktiviti lawatan secara maya.

“Mewujudkan kolaboratif antara kedua-dua buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” jelas Haji Adam.

Haji Adam bersama guru-guru menjayakan Program Merentas Maya melalui aplikasi Google Meet.
Kedua-dua orang guru juga berkongsi bahan pengajaran dengan murid-murid Pemulihan Khas yang menjayakan Program Merentas Maya.

Sempena program tersebut, diadakan aktiviti lawatan secara maya SKLT ke SKDT dan sesi Taaruf antara guru dan murid, sesi perkongsian ilmu dan inovasi daripada dua orang guru pemulihan khas kepada murid pemulihan khas.

Sementara itu, Norhasiken yang telah berkhidmat 8 tahun di SKLT dilantik sebagai Pengerusi Majlis Guru Pemulihan Khas Wilayah Persekutuan Labuan dan Guru Inovasi Pemulihan Khas Wilayah Persekutuan Labuan.

Manakala Noor Hana telah berkhidmat selama 22 tahun dan menjadi Guru Pemulihan sejak 14 tahun yang lalu.

Beliau turut menyandang jawatan sebagai Jurulatih Utama Pemulihan Khas Negeri dan Kebangsaan pada tahun 2015 – 2019.

Noor Hana turut terlibat sebagai jurucakap Kaedah Belajar Membaca Eksperesi sejak 2016 hingga sekarang.

Noor Hana turut meraih naib johan Pertandingan Guru Inovatif Peringkat Negeri pada tahun 2016 dan 2019 serta jurucakap Kaedah Belajar Membaca Eksperesi Terbaik Tahun 2019 dan 2020.

Sementara itu, dalam ucapannya, Haji Adam berkata pada masa kini, struktur pembelajaran dalam bidang dunia pendidikan telah banyak berubah akibat daripada cabaran yang dihadapi oleh guru-guru dalam mendepani era pasca COVID-19.

Justeru, seluruh warga pendidik disarankan untuk mengaplikasikan corak Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang berkesan dan menarik untuk disampaikan kepada murid-murid antaranya adalah PdP secara maya melalui medium google meet seperti ini.

Sehubungan itu, beliau percaya dan yakin program tersebut merupakan suatu usaha yang bersungguh-sungguh daripada guru-guru demi memastikan murid-murid pemulihan khas memperolehi ilmu pembelajaran berdimensi baharu yang dapat menjadi titik permulaan ke arah kejayaan serta memberi pengalaman bermakna dan menarik serta kolaboratif antara murid dari dua buah negeri yang berbeza ini.

Selain itu, dapat membuka ruang dan peluang kepada murid-murid untuk berinteraksi dan berkenalan dengan rakan-rakan dari sekolah yang berlainan serta dapat menjalin hubungan antara kedua-dua buah sekolah.

Haji Adam berharap semoga programtersebut dapat meningkatkan kemahiran belajar murid melalui kaedah pengajaran dan inovasi serta perkongsian PdP amalan terbaik yang disampaikan oleh guru-guru pemulihan khas dalam Program Merentas Maya ini kepada murid-murid Pemulihan Khas.

“Saya berharap lebih banyak program dapat diadakan pada masa akan datang untuk manfaat murid dan guru SK Lubok Temiang dan SK Desa Tasik,”tambah Haji Adam penuh harapan. Haji Adam tidak lupa mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada kedua-dua penyelaras program yang berjaya mengadakan Program Merentas Maya melalui aplikasi Google Meet.

Berita Oleh : SK Lubok Temiang

Guru Pemulihan Khas kedua-dua sekolah sedang berinteraksi dengan murid-murid melalui aplikasi Google Meet.

Loading

image_pdfimage_print