My Digital Maker 2017 Bantu Bakat Muda Rangsang Inovasi Digital

19 September 2017, Labuan – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta rakan industri dan akademia sedang rancak melaksanakan satu inisiatif nasional yang dinamakan mydigitalmaker yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 11 Ogos 2016 yang lalu.

Inisiatif #mydigitalmaker mendekatkan murid memahami bagaimana teknologi seperti pengkodan dan pembuatan 3D dapat memupuk minat serta kesedaran kepada mereka untuk meneroka, seterusnya merangsang idea baru dalam menghasilkan ciptaan inovasi digital.

Inisiatif ini juga diadakan untuk menyokong pelaksanaan kurikulum baru TMK KSSR dan KSSM yang bermula 2017 secara berfasa yang memberi penekanan kepada pemikiran komputasional dan elemen sains komputer. Pelbagai program sedang dan akan dilaksanakan melalui inisiatif #mydigitalmaker yang antaranya adalah pelaksanaan Kelab-Kelab Pengerak Digital & Duta Pengerak Digital (kokurikulum).

Bagi menyemarakkan inisiatif ini, program LEVEL UP @SCHOOLS telah dilaksanakan di 70 sekolah menengah terpilih. Program perkongsian pintar antara Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan pihak industri yang menawarkan pembangunan aplikasi permainan video melalui pelbagai platform (cross-platform video game engine) ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi, inovasi digital dan kreativiti murid.

Program LEVEL UP @ SCHOOLS ini telah dijalankan bermula pada Februari sehingga Julai 2017 dan kemuncaknya Pameran #MyDigitalMaker berlangsung pada 16 hingga 17 September di Kuala Lumpur Convention Centre .

SMK Labuan telah memenangi Anuegerah The Best Project of #MyDigitalMaker Computer Club Award ( Kelab Pengerak Digital Komputer ) bagi kategori sekolah menengah Pertandingan #MyDigitalMaker : LEVEL UP @ SCHOOLS Game Awards, selain memenangi Anugerah penyertaan tertinggi.

Barisan Pemenang SMK Labuan bersama Encik Ismail (tengah), Cikgu Siow (tiga kiri) dan Ketua Unit Kokurikulum JPWPL, Encik Subari (kanan)

Tidak ketinggalan, Sekolah Kluster Kecemerlangan SK St Anne juga telah memenangi Anuegerah The Best Project of #MyDigitalMaker Computer Club Award bagi kategori sekolah rendah.

Majlis Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Tn Hj Zaidi bin Yazid, Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Kementerian Pendidikan Malaysia.

Hadiah anugerah The Best Project of #MyDigitalMaker Computer Club Award berupa medal, tiket penerbangan dan penginapan menghadiri pameran #MyDigitalMaker. Manakala, trofi dan wang tunai RM2000 bagi Anugerah Penyertaan Tertinggi.

Guru Besar SKK St Anne, Puan Shim (tiga kiri) bersama Cikgu Latif (tiga kanan) dan Encik Subari (dua kanan)

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah menzahirkan rasa kesyukuran  atas kejayaan murid-murid SMK Labuan yang dapat bersaing dan mengatasi 70 buah sekolah yg lain. Terima kasih kepada Jabatan Pendidikan WP Labuan yang memberi ruang dan peluang kepada murid-murid menyertai program ini.

Pasukan SMK Labuan dibimbing oleh Guru Penyelaras Bestari, Cikgu Siow May Yun yang dianggotai oleh adik Howard Hii Dai Jie, Chan Zuan Qin dan Teo Chung Henn. Manakala Guru Pembimbing bagi SKK St Anne ialah Cikgu Abdul Latif Tokiran yang juga merupakan Guru Penyelaras Bestari sekolah.

Semoga program ini dapat merangsang bakat muda yang bukan sekadar sebagai pengguna tetapi pencipta kepada inovasi teknologi ICT. Syabas dan tahniah diucapkan.

 




Penutupan Hari Kemerdekaan SK Sungai Lada

18hb September 2017 / LABUAN – SK Sungai Lada telah mengadakan Majlis Penutupan Hari Kemerdekaan di Dewan Sri Kedayan. Sambutan Bulan kemerdekaan tahun ini telah dilancarkan pada 21 Ogos yang lalu. Majlis ini dihadiri oleh Pegawai Angkat Perhubungan Sekolah, Tuan Hj Yunus bin Yusoff dan Yang Di Pertua PIBG, Tuan Hj Suhib bin Hj Nasir.

Sepanjang Bulan Kemerdekaan ini dijalankan, pelbagai aktiviti telah berlangsung. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan kemerdekaan adalah Projek Bendera Gergasi, Projek Dinding Patriotik, Projek Sudut Kemerdekaan, Pertandingan Nyanyian Solo Patriotik, Pertandingan Kelas Patriotik, Pertandingan mewarna dan Pertandingan melukis poster merdeka. Manakala, pertandingan basikal patriotik dan pakaian patriotik dijalankan pada majlis penutupan kemerdekaan tersebut.

Guru Besar Sk Sungai Lada, Puan Anita Shyamini A/P S. Azman berkata, elemen kasih sayang perlu diterapkan dalam diri murid dalam menghayati erti kemerdekaan yang sebenar agar murid saling menyayangi dan bertoleransi antara satu sama lain.




Majlis Perkongsian Ilmu Kewartawanan dan Penulisan Berita

LABUAN, 18 September  – Seramai 30 ahli  jawatankuasa Portal JPWPL Sana Sini yang terdiri dari guru sekolah dan kakitangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL)  telah mengikuti Bengkel Penulisan Berita Asas yang diadakan di Bilik Mesyuarat Botanikal, JPWPL, pada jumaat lalu.

Bengkel selama tiga jam itu dikendalikan oleh Ahli Fotografi Kanan Universiti Malaysia Sabah Kampus Labuan (UMSKAL), Encik Azri Onn Othman, dibantu oleh Puan Siti Zahara binti Mohammad, Pegawai SISC+ Bahasa Melayu (Menengah), JPWPL.

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Encik Raisin Saidin yang hadir pada majlis tersebut berharap jawatankuasa laman web jabatan dan sekolah dapat dimantapkan lagi melalui penambahbaikan dalam penulisan berita.

“Menjadi harapan jabatan agar peserta bengkel dapat memantapkan lagi penulisan berita di dalam portal JPWPL Sana Sini, laman web sekolah masing-masing, termasuk media cetak”, katanya.

Menurut Penyelaras Program, Encik Zait Mohd Shafie, bengkel anjuran Sektor Pengurusan Maklumat itu bertujuan untuk mendedahkan peserta mengenai kaedah penulisan berita yang baik untuk dimasukkan ke dalam portal JPWPL Sana Sini, laman web rasmi sekolah dan media cetak.

Peserta yang hadir fokus mendengar taklimat dari penceramah

Pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Encik Azri Onn di atas sumbangan perkongsian ilmu yang diberikan dalam menjayakan bengkel ini.




SK Sungai Bedaun Cipta Sejarah Rangkul 3 Anugerah

12 September – Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun merangkul tiga anugerah sempena sambutan Perarakan dan Perbarisan Hari Malaysia 2017 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan bertempat di Dataran Labuan pada 10hb September 2017.

Paling manis, SK Sungai Bedaun telah dinobatkan sebagai Kontinjen Terbaik Keseluruhan dan menjadi sejarah Kontinjen Sekolah Rendah pertama yang meraih anugerah tersebut.

SK Sungai Bedaun juga muncul sebagai johan kategori Sekolah Rendah, selain membawa balik trofi Kategori Pakaian Terbaik.

Guru Besar SK Sg Bedaun, Puan Dg Sarifah A.Mahmod menzahirkan rasa syukur di atas kemenangan ini dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah, terima kasih kepada 33 orang murid selaku peserta perbarisan yang bertungkus-lumus sehingga berjaya mengharumkan nama sekolah.

Begitu juga penghargaaan kepada guru-guru yang terlibat iaitu Cikgu Muhammad Rosli Yusoff, Cikgu Noor Farehin Mohd.Yusof dan ibu bapa yang melatih serta memberikan sokongan padu kepada kontinjen SK Sungai Bedaun.

SK Sungai Bedaun juga telah muncul sebagai johan perbarisan kategori sekolah rendah, di temasya Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan 2017.

Jabatan Pendidikan WP Labuan mengucapkan Syabas dan Tahniah di atas kemenangan ini yang telah mengharumkan nama sekolah dan Pendidikan Labuan. Teruskan kecemerlangan !

Segak bergaya kontinjen perbarisan SK Sungai Bedaun

Sumber Berita : SK Sungai Bedaun

 




Kembara UPSR 2017, Fikirkan Boleh, Engkau Boleh !

Bermula 4hb September di sekolah SK Sungai Lada dan berakhir di SK Pekan Dua pada 8 September, Kembara UPSR 2017 mampu merangsang motivasi calon UPSR Wilayah Persekutuan Labuan.

Kembara ini merupakan anjuran Majlis Guru Besar (MGB) WP Labuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Seramai 1234 orang calon akan menduduki peperiksaan UPSR di tujuh belas sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan bermula 11 September hingga 14 September dan 18 September 2017.

Dalam pengembaraan UPSR yang berlangsung seminggu di semua sekolah rendah,  Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkesempatan untuk memberi kata-kata perangsang dan motivasi bagi membakar semangat anak-anak murid UPSR 2017 dalam menghadapi peperiksaan kelak.

Kembara Permata Kasih UPSR 2017, SK Bukit Kalam

Beliau sentiasa mengingatkan mengenai harapan ibu bapa masing-masing yang mengimpikan keputusan yang terbaik daripada semua calon. Guru-guru telah menjalankan tugas mengajar  dengan baik dan kini segala keputusan peperiksaan terletak dibahu calon sendiri samada ingin cemerlang A dalam semua mata pelajaran atau mendapat lulus semua mata pelajaran.

Setelah enam tahun bersekolah, besarlah harapan saya yang mewakili warga pendidikan agar semua calon UPSR 2017 Wilayah Persekutuan Labuan lulus dan menguasai tahap minimum UPSR. Keputusan cemerlang semua A adalah satu bonus kepada anak-anak sekalian, tetapi apa yang lebih penting anak-anak sekalian lulus dan menguasai semua mata pelajaran. Ciptalah sejarah kecemerlangan yang akan anda kenang sehingga akhir hayat anda.

Kembara Permata Kasih UPSR 2017, SKK SK Rancha-Rancha

Beliau juga mengharapkan pihak sekolah fokus dalam melahirkan kemenjadian murid sebagai salah satu aspirasi untuk memacu negara di masa akan datang.

Pada saat-saat terakhir menjelang peperiksaan ini, Encik Raisin mengingatkan anak-anak UPSR 2017 agar sentiasa berdoa, menjaga kesihatan, sentiasa menunjukkan kasih sayang, taat dan patuh kepada ibu bapa serta menghormati guru-guru mereka.

Setelah kita telah bertungkus lumus dan berusaha, jangan lupa untuk berdoa dan memohon restu daripada kedua ibu bapa serta guru-guru anda. Hargailah jasa dan pengorbanan mereka membesar dan mendidik anda sekalian. Akhirnya, insyaAllah kejayaan menanti di hadapan anda.

Chaiyok, Chaiyok, Fight for the best ! UPSR 2017 SJK(C) Chung Hwa

Sementara itu, YDP Majlis Guru Besar (MGB) Labuan, Encik Jaafar Haji Matusin mengingatkan calon UPSR agar sentiasa tenang dan teliti dalam menjawab setiap soalan yang diberikan.

Setiap soalan mempunyai markah yang amat bernilai untuk menentukan gred yang anda perolehi bagi setiap mata pelajaran. Sebagai contoh, alangkah ruginya anak-anak sekalian, sekiranya hanya memerlukan 1 markah sahaja untuk mendapat gred A dalam matematik akibat tidak meneliti soalan dengan baik.

Suntikan kata-kata semangat daripada Encik Raisin kepada calon UPSR SK Tanjung Aru

Ucapan terima kasih kepada guru-guru yang tidak pernah kenal erti penat lelah, putus asa dan sentiasa memikirkan kaedah terbaik serta sanggup mengorbankan masa dan tenaga bagi memastikan kejayaan cemerlang anak-anak murid Labuan.

Pihak jabatan dan sekolah sentiasa mendoakan agar semua calon UPSR 2017 diberikan akal fikiran yang cerdas dan boleh menjawab dengan tepat semasa peperiksaan dijalankan dan mendapat keputusan yang cemerlang kelak.

Kepada Semua Calon UPSR :

Fikirkan Boleh. Engkau Boleh Lakukannya. Selamat Maju Jaya UPSR 2017.

Pasti Boleh! Kembara UPSR 2017 SK Pekan Satu

 

Nukilan pembakar semangat kepada calon UPSR SK Pantai

 

Hadiah berupa alat tulis kepada calon UPSR SKK SK St Anne

 




Young Inventor challenge Maybank 2017

Labuan – 6 september 2017, SMK Rancha-Rancha telah menjadi tuan rumah bagi program Young Inventor Challenge yang dikendalikan oleh pihak Maybank Labuan untuk memberi pendedahan awal kepada para peserta berkenaan sistem Arduino.

Sistem ini merupakan medium bagi peserta mencipta kreativiti dengan menghasilkan aplikasi yang mempunyai pelbagai fungsi. Program selama tiga hari ini disertai oleh SMK St. Anne, SMK Mutiara dan SMK Rancha-Rancha.

Setiap sekolah diwakili oleh enam orang pelajar dan dua orang guru penasihat. Turut terlibat adalah dua orang guru daripada SMK Taman Perumahan Bedaun.

Sumber Berita : Cikgu Hafiz




SMK Rancha-Rancha Johan Tiga Tahun Berturut-turut

SMK Rancha Rancha mengulangi kejayaannya apabila menjadi johan buat kali ketiga berturut-turut dalam Pertandingan Sketsa Penghayatan Rukun Negara 2017.

Baca Lanjutan Berita ini di Laman Web Rasmi SMK Rancha-Rancha




Semangatku Setinggi Jet Pejuangmu, Jom Hebat UPSR 2017

24 OGOS – Karnival Jom Hebat UPSR 2017 telah diadakan pada 23 dan 24 Ogos 2017 di Dewan Pangkalan Udara, Tentera Udara DiRaja Malaysia Membedai, Labuan. Seramai 87 orang murid dan 28 orang  guru dari 4 mata pelajaran terlibat dalam karnival ini. Kesemua mereka terdiri daripada murid cemerlang dari 14 buah sekolah rendah yang bakal menduduki  UPSR pada bulan September ini.

Program Kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Tentera Udara Diraja Malaysia,  ini merupakan program yang julung-julung kali diadakan bagi memberikan persiapan terakhir murid sebelum menduduki  Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan bermula dari 11 hingga 14 September 2017.

En Zamri Tiri, Guru Matematik SK Patau-Patau sedang menerangkan teknik menjawab soalan Matematik dengan mudah menggunakan konsep didik hibur.

Karnival yang berkonsepkan  pembelajaran Abad ke-21 ini memberi pendedahan kepada murid teknik dan kaedah yang sesuai bagi bagi menjawab soalan-soalan yang berunsurkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam semua empat  kertas peperiksaan UPSR iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Murid dan guru juga diberi peluang membuat lawatan ke Lapangan Terbang Udara,  Pangkalan Udara Labuan bagi merasai sendiri menaiki pesawat  pejuang  milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM). Kesemua murid yang hadir turut serta melahirkan rasa gembira kerana dapat dipilih menyertai program ini disamping dapat merasai sendiri keseronokan dan pengalaman menaiki pesawat pejuang negara.

Semoga semangat murid-murid Labuan setinggi dan sehebat  jet pejuang TUDM. Selamat Maju Jaya dan Teruskan Berjuang UPSR 2017.  Kejayaan Anda Kebanggaan Kami. Anda boleh lakukannya.

Sumber Berita :  Inanis Fatinisupi bin Abdullah

Gambar kenangan bersama Pegawai dan Jet Pejuang Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM)

 




SK Sungai Bedaun, Pupuk semangat cinta negara

23 Ogos – Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) Labuan turut tidak ketinggalan mengadakan sambutan Bulan Kemerdekaan sempena Ulangtahun Kemerdekaan ke-60 peringkat sekolah itu pada Rabu.

Majlis pelancaran program itu telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Sungai Bedaun Dg Sarifah A Mahmod.

Menurut Dg Sarifah, sambutan yang bertujuan memupuk semangat cintakan negara kepada warga sekolah itu berjaya diadakan dengan cemerlang.

Sambutan yang bertemakan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’ bermula seawal jam 7 pagi itu dikelolakan oleh Panitia Sejarah.

Sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan, pelbagai aktiviti telah disusun atur antaranya pertandingan mewarna bendera, pertandingan sajak dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik.

Majlis pelancaran itu dimeriahkan dengan deklamasi sajak yang disampaikan oleh Cikgu Noor Farehin.

SK Sungai Bedaun juga telah menyertai pertandingan Kibar Bendera kategori sekolah anjuran Jabatan Penerangan.

Dg Sarifah dan barisan Penolong Kanan mengibarkan Jalur Gemilang bersama murid-murid SK Sungai Bedaun termasuk murid Pra Sekolah

Dg Sarifah berharap menerusi program itu warga sekolah khususnya murid dan guru akan terus mengenang jasa serta pengorbanan pejuang kemerdekaan tanah air.

Beliau juga yakin semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan murid dan guru semakin berkobar-kobar menerusi nyanyian lagu-lagu patriotik dan kempen kibar Jalur Gemilang.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua guru khususnya Panitia Sejarah yang menjadi pengelola Bulan Kemerdekaan pada tahun ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Penolong Kanan Pentadbiran Rina Farinna Dakim, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sunah Tahir, Penolong Kanan Kokurikulum Abd Tahar Ibrahim dan Penyelaras Program Mohamad Rosli Yusof.

Majlis pelancaran itu dimeriahkan dengan kibaran Jalur Gemilang dan nyanyian lagu-lagu patriotik oleh 666 murid dan 44 guru SK Sungai Bedaun.

Sumber Berita : Utusan Borneo 25hb Ogos 2017




Perubahan Bermula di Bilik Darjah

22 Ogos – Bengkel Pemantapan Pembudayaan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) sekolah-sekolah Showcase WP Labuan  telah diadakan pada di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.  Seramai 30 orang dan dan 90 orang guru dari  17 buah sekolah hadir dalam bangkel ini.

Bengkel anjuran Bahagian Pendidikan Guru (BPG)  , Kementerian Pendidikan Malaysia  ini telah memberi peluang kepada 6 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan untuk berkongsi  amalan-amalan terbaik pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc)  menggunakan kaedah PLC. Empat buah sekolah  tersebuat ialah SMK Labuan, SM St Anne, SK Pekan Satu dan SK Pekan Dua sebagai sekolah Showcase PLC serta dua buah sekolah jemputan iaitu SMK Taman Perumahan Bedaun dan Labuan International School.

Ucapan aluan oleh Ketua Sektor Pengurusan Akademik ,Pn Norismah Bt Abd Moin

Menurut Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Puan Norismah :

Perubahan kaedah pengajaran guru bermula dari bilik darjah, amalan kolaboratif dan perkongsian perlu diamalkan dan dibudayakan dalam meningkatkan mutu pendidikan kita di samping dapat meningkatkan hubungan yang berkualiti dalam kalangan guru.

Bengkel ini juga turut dihadiri Dr Roslan Bin Husin dari Bahagian Pendidikan Guru , Kementerian Pendidikan Malaysia. Dalam ucapan pengulungan beliau di akhir bengkel mengariskan 3 perkara penting dalam pelaksanaan PLC ;

  1. PLC yang dilaksanakan perlu memastikan murid dapat belajar
  2. berfokus kepada penguasaan dan pencapaian murid
  3. Budaya Kolaboratif dan perkongsian perlu diamalkan

Bengkel berakhir pada pukul 2.30 petang.

Sumber Berita : Inanis Fatinisupi bin Abdullah

Peserta bengkel yang hadir