aerodance
Aktif Negaraku: Pasukan Muhibbah Labuan Muncul Naib Johan Dalam Pertandingan Activ Jam Senam Aerobik KPM-Milo Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 Tahun 2019

Kuala Lumpur, 2 Okt -ACTIV JAM SENAM AEROBIK KPM-MILO dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia membawa kembali Pertandingan Activ Jam Senam Aerobik Peringkat Kebangsaan untuk kali Ke-2 yang berlangsung selama dua hari iaitu 20 hingga 22 September 2019 bertempat di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur.
Pertandingan ini adalah bertujuan memberi
pengiktirafan kepada pasukan senam aerobik terbaik di negara ini dan ia
merupakan kerjasama strategik di bawah inisiatif 1Murid 1Sukan yang melibatkan
guru dan murid. Pertandingan ini disertai oleh 16 pasukan dalam kategori
Muhibbah dan 10 pasukan terbaik berentap dalam kategori sekolah. Bagi kategori
Muhibbah, gabungan SJK(C) Chi Wen bersama Sk Patau-Patau muncul sebagai naib
johan dalam Pertandingan Activ Jam Senam Aerobik KPM-MILO Peringkat Kebangsaan
Kali Ke-2. Kedua-dua sekolah ini bergabung tenaga mewakili kontinjen Jabatan
Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya membawa pulang hadiah
berupa barangan sukan bernilai RM4000.
Pasukan Muhibbah Labuan dianggotai oleh Ellicia Wong, Natalie Tee Yu Xuan, Elyssa Ho Yu Yan, Rachel Teo Xue Ting, Gretal Violet Henry dan Jesselyn Justin dari SJK(C) Chi Wen. Manakala, Chealsielyn Christopher, Gwen Stefani Anak Bujang, Nur Nadiha Asyura binti Maslin, Nur Rizwaney Juli binti Rizuan, Syahirah binti Matasin dan Dayangku Norrabbiatul Waheeda Bt A faizul merupakan murid SK Patau-Patau.

Bagi kategori sekolah, daripada 249
penyertaan sekolah-sekolah di seluruh negara, 3 buah sekolah iaitu SJK(C) Chi
Wen, SK Bukit Kalam dan SK Patau-Patau telah terpilih sebagai 10 pasukan
terbaik yang mewakili Wilayah Persekutuan Labuan pada peringkat separuh akhir
di Kuala Lumpur. SJK (C) Chi Wen telah tercalon sebagai 5 pasukan terbaik dan
berentap di Grand Final Aerobik MILO
Activ Jam pada 22 September 2019.
Johan bagi kategori Muhibbah disandang oleh
Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, diikuti Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu
di tempat ketiga. Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(2) telah
dinobatkan sebagai juara dalam kategori sekolah, diikuti tempat kedua daripada
Sekolah Kebangsaan Kg Contoh Petagas, Sabah dan ketiga daripada Sekolah
Kebangsaan Jasin, Melaka. Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga membawa
pulang hadiah dalam bentuk peralatan sukan yang masing-masing bernilai RM5,000,
RM4,000 dan RM3,000.
Pengarah Eksekutif Unit Perniagaan MILO®
dan Susu, Nestlé (Malaysia) Berhad, Kumaran Nowuram berkata, senam aerobik melambangkan
semangat kesukanan yang sejati, kerana ia boleh dimanfaatkan oleh sesiapa
sahaja, tanpa mengira umur, kemampuan bersukan atau akses kepada sumber.
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Raisin Saidin turut menzahirkan ucapan tahniah dan bangga atas kejayaan pasukan Muhibbah kerana mengharumkan nama Labuan di Peringkat Kebangsaan.– SJK(C) Chi Wen

Inisiatif HIP Mentor : SMK Labuan Terima Penghargaan Menteri Pendidikan

YB Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik telah menyampaikan sijil penghargaan Inisiatif Program Highly Immersive Programme Mentor (HIP Mentor) kepada Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah dalam satu majlis penyampaian Sijil Penghargaan Program Pengukuhan Persekitaran Dwi Bahasa Sekolah di bawah Highly Immersive Programmes(HIP) di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya pada 27 September yang lalu.
Turut menerima sijil penghargaan ialah pesara guru Madam Chin Tsuey Wei yang merupakan Mentor bagi program HIP SMK Labuan.
Program HIP Mentor yang bertujuan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah, akan diperluaskan lagi ke sekolah-sekolah pada tahun hadapan, kata Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik.
Beliau berkata,
projek rintis HIP mentor yang melibatkan 28 mentor yang terdiri daripada guru Bahasa
Inggeris yang telah pencen, diadakan di 27 sekolah terpilih selama tiga bulan
bermula Julai lepas.
Sekolah terpilih
itu ialah 15 di Selangor, Negeri Sembilan (lima), Perak dan Sarawak
masing-masing dua dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan
Sabah.
“Tahun depan kami akan meluaskan lagi program HIP Mentor ini di sekolah serata Malaysia dan berharap lebih ramai lagi guru-guru pencen Bahasa Inggeris dapat membantu menjadi mentor kami.”
“Mereka ini saya gelar superhero mentor kerana mereka telah mengorbankan masa secara sukarela dan percuma untuk membantu (program),” katanya kepada media selepas majlis tersebut.
Bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru pencen yang terlibat dalam HIP Mentor itu, Dr Maszlee berkata, kementerian akan berusaha mendapatkan beberapa insentif seperti bayaran elaun kepada mereka.
“Mereka perlu diberi ganjaran yang selayaknya. Kami juga memerlukan dukungan dari pihak swasta dalam membantu kami menjayakan program ini,” katanya.
Dr Maszlee berkata program itu menunjukkan keberkesanannya melalui laporan tidak rasmi yang dihantar kepadanya menunjukkan pelajar berminat dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
“Mereka berjaya
mendapatkan pelajar untuk terlibat dalam semua aktiviti dalam bahasa Inggeris
dan tahap keyakinan mereka dalam perbualan dan menulis dalam Bahasa Inggeris
telah bertambah baik berbanding sebelum program itu,” katanya.
Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Datuk Dr Amin bin Senin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Berita Oleh : SMK Labuan

Julung Kali MAIWP Labuan Menganjurkan Bahas Ala Parlimen Peringkat Negeri WP Labuan : SMK Labuan Dinobat Johan

Labuan : SMK Labuan dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Bahas Ala Parlimen Piala Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung di Kompleks Darul Kifayah MAIWP WP Labuan pada 23 hingga 25 september lalu.
Pertandingan yang julung kali dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin.
Pada Peringkat akhir, Pasukan SMK Labuan yang bertindak sebagai kerajaan telah menewaskan pasukan SMK Rancha-Rancha selaku pembangkan dengan usul bahas ‘Isu Alam Sekitar : Kita Semakin Peka’.
Empat peserta yang mewakili SMK Labuan, Dania Izzati Ifwat Hadif (YAB Perdana Menteri), Kizzer Poh Wee Shen (YB Menteri Kedua), Naqiah Ainna Mohd Aminuddin (YB Menteri Ketiga) dan Nor Qhairunnisa Muhammad Azri (YB Menteri Keempat).
Usul diterima dan SMK Labuan dinobatkan sebagai johan, menerima hadiah RM500, piala dan sijil manakala SMK Rancha-Rancha sebagai naib johan.
Di separuh akhir, SMK Labuan menewaskan SM Sains Labuan.
Kemenangan itu lebih menarik selepas peserta SMK Labuan, YB Menteri Ketiga Naqiah Ainaa Mohd Aminuddin dipilih sebagai Pembahas Terbaik sekali gus menerima piala dan sijil.

Turut hadir Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Ahmad Saifuddin Mohd Tahir dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPN Labuan, Asbola Amit.
Hadir sama Pengetua Sekolah Menengah, pegawai serta kakitangan MAIWP dan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan WP Labuan.
Selain SMK Labuan dan SMK Rancha-Rancha, pertandingan itu turut disertai SMK Mutiara, SM Sains Labuan dan Sekolah Menengah Agama MAIWP Labuan.
SMK Labuan (kuota sekolah harian) dan SMA MAIWP Labuan (kuota SMA) akan mewakili WP Labuan ke peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada 9-10 Oktober ini.
Sementara itu, Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang membimbing pasukan Bahas SMK Labuan iaitu Cikgu Juliana Nain, Cikgu Rohati Lusim, Cikgu Mastura Nurillah, Cikgu Ramlae Abd Rashid dan Cikgu Zulkifli Omar atas komitmen dan kesungguhan mereka.
Encik Ismail berharap semoga pasukan Bahas SMK Labuan mencapai kejayaan di peringkat Wilayah Persekutuan nanti dan terus menjadikan pasukan Bahas SMK Labuan sebagai sebuah pasukan yang disegani.
“Saya yakin kejayaan itu adalah hasil komitmen dan kerja keras peserta yang menerima bimbingan berterusan daripada guru-guru.
“Saya berharap peserta akan terus memastikan SMK Labuan berada dalam kelompok yang terbaik di peringkat Wilayah Persekutuan minggu hadapan,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan tersebut.
Berita Oleh : SMK Labuan
