meterai_sksb




Jentayu Cipta Hatrik, Pertahan Kejuaraan Sukan Olahraga SK Sungai Bedaun

Kejohanan
Sukan Olahraga Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) kali ke 17 telah
diadakan pada 3 Mac lalu di  Kompleks
Sukan Labuan.

Sebanyak 28 acara telah dipertandingkan iaitu lari pecut 100 meter (m), 200m, 400m, 4 x 100m dan 4 x 200m kategori lelaki dan perempuan.

Larian comel 80 meter turut diadakan untuk memberi peluang kepada murid yang lebih berat badan (melebihi 50 kg) berlari di track.

Bagi memeriahkan Kejohanan Sukan Olahraga, pihak sekolah turut mengadakan acara terbuka larian 50 meter untuk golongan ibu manakala 100 meter untuk golongan bapa.

Pembukaan
kejohanan sukan sekolah tahun ini telah diadakan pada 28 Februari lalu di
Padang SKSB. Enam acara padang telah dipertandingkan  iaitu acara lompat jauh, lompat tinggi dan lontar
peluru kategori lelaki dan perempuan.

Membuka tirai kejohanan Sukan Olahraga Kali ke 17 pada tahun ini ialah Lintas hormat peserta perbarisan kontingen rumah Rumah Jentayu, Cenderawasih, Kasawari dan Garuda Seramai 33 orang peserta perbarisan mewakili setiap rumah sukan.

Kontingen Perbarisan Rumah Kasawari segak bergaya untuk membuat perbarisan lintas hormat.

Penonton turut teruja melihat persembahan Gimnasrada iaitu sukan yang julung kalinya diperkenalkan di SKSB.

Seramai 60 orang murid terlibat dalam persembahan ini. Mereka  terdiri daripada murid-murid tahun 1 hingga 6 yang dipimpin oleh Cikgu Norlisa Binti Rusly, Guru Pendidikan Jasmani SKSB dengan kerjasama PIBK.

Dalam ucapan aluannya Guru Besar SKSB, Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod, mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua ahli jawatankuasa yang menjayakan kejohanan Sukan Olahraga SKSB tahun ini dengan kerjasama yang sangat baik di bawah bimbingan Penolong Kanan Kokurikulum iaitu Encik Mohd Aizam Bin Abdul Rahim.

“Sesungguhnya kejayaan kejohanan sukan pada tahun ini adalah hasil  sokongan, kerjasama padu oleh semua guru, kakitangan sekolah, ibu bapa dan alumni SKSB yang bergabung tenaga membentuk jawatankuasa yang mantap selain bantuan dari pihak luar seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Labuan. Semoga Kejohanan Sukan Olahraga  tahun ini menjadi suntikan semangat kepada wakil olahraga SKSB untuk terus bersaing secara sihat dalam setiap acara yang dipertandingkan. Kita berdoa agar atlet SKSB dapat membawa kilauan emas untuk sekolah dalam Majlis Sukan Sekolah Peringkat Negeri  (MSSWPL) nanti”. Katanya ketika memberikan kata alu-aluan dalam majlis tersebut.

Adik Mohammad Shahril bin Azlan, Olahragawan dan adik Nur Khairunnisa Najwa binti Abdullah Mohd Yusof, Olahragawati Tahun 2019 bergambar bersama Awang Zain bin Awang Anak (3 dari kanan), En Mohamad bin Pindut (kiri), Dg.Sarifah (dua dari kanan) dan Wiwik (kanan)

Mengulas lanjut Dg.Sarifah berkata, kejohanan olahraga ini bukanlah semata-mata menentukan juara dan pemenang bagi sesuatu acara yang dipertandingkan. Perkara yang lebih penting ialah kejohanan ini memberikan pendidikan secara tidak langsung kepada murid-murid dan atlet bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan pengorbanan.

Tidak ada kejayaan yang mudah dicapai melainkan melalui perjuangan yang berterusan. Kejohanan ini juga adalah landasan ke arah perpaduan, menjalin sifat hormat-menghormati dan semangat kerjasama yang tinggi.

Johan Keseluruhan Sukan Olahraga tahun 2019 telah disandang oleh Rumah sukan Jentayu (merah) yang memperoleh  18 pingat emas.

Ahli Rumah Jentayu gembira meraikan kemenangan 3 tahun berturut- turut dalam Kejohanan Sukan Olahraga SKSB

Diikuti oleh rumah sukan Cenderawasih (kuning) dengan memperoleh 15 pingat emas, tempat ketiga di sandang oleh rumah sukan Kasawari (biru) dengan memperoleh 9 pingat emas manakala rumah sukan  Garuda (hijau) menduduki tempat keempat dengan kutipan 6 pingat emas.

Johan Perbarisan pula telah disandang oleh rumah sukan Garuda.

Adik Mohammad Shahril bin Azlan yang memperoleh 3 emas bagi acara 100m, 200m dan 80m berpagar telah dinobatkan sebagai Olahragawan Tahun 2019 manakala adik adik Nur Khairunnisa Najwa binti Abdullah Mohd Yusof yang memperoleh 3 emas dalam acara  100m, 200m dan  80m berpagar dinobatkan sebagai Olahragawati.

Kejohanan
Sukan  Olahraga Kali Ke 17 tahun 2019
telah dirasmikan oleh En Awang Zain bin Awang Anak, Ketua Unit Sukan Jabatan
Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (Jpwpl). Turut hadir ialah En Mohamad bin
Pindut, Pegawai Angkat SKSB, Sarjan Fam Siat Ling, Pegawai Perhubungan Sekolah
(PPS), En Rosmani bin Putih, Ketua Kampung Sungai Bedaun.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru agar semua murid terus bergiat aktif dalam bidang sukan bagi melahirkan lebih ramai pelapis sukan dalam acara olahraga terutamanya sebagai pengganti para atlet yang ada pada masa kini.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Ahli-ahli Rumah Cenderawasih bersama guru mengabdikan gambar kenangan seusai Kejohanan Sukan Olahraga 2019 .



Kursus Kepimpinan Pemimpin Sekolah SKK Rancha-Rancha 2019

LABUAN, 11 Mac 2019 – SKK Rancha-Rancha (Sekolah Kluster Kecemerlangan) telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Pemimpin Sekolah selama dua hari berturut-turut.
Seramai 104 orang kepimpinan pengawas yang terdiri daripada kepimpinan pengawas sekolah seramai 35 orang, ketua dan penolong ketua kelas seramai 20 orang, pengawas pusat sumber seramai 27 orang, pembimbing rakan sebaya seramai 12 orang dan patrol denggi seramai 10 orang yang terlibat.

Kursus ini bertujuan melahirkan dan membentuk kepimpinan pelajar yang berwibawa dan serba boleh dalam membantu pentadbiran sekolah. Hal ini bertepatan dengan matlamat unit disiplin untuk melahirkan pemimpin dengan segala kompetensinya.
Kursus dimulakan dengan aktiviti ice breaking, team building dan juga mindsetting. Para peserta berpeluang untuk saling mengenali dan membina jaringan silaturahim serta kerjasama antara satu sama lain.

Hari kedua Kursus Kepimpinan diteruskan bertajuk “Motivasi Kepimpinan” yang disampaikan oleh Guru Bimbingan & Kaunseling SK Sg Bedaun, Puan Norsidah binti Mat Yassin. Beliau telah mengupas tentang membentuk keyakinan diri dan seni berkomunikasi.
Sesi terakhir kursus diisi dengan Majlis Perasmian Penutupan yang disempurnakan oleh Guru Besar, Puan Norinnie binti Kassim. Beliau menekankan tentang keperluan kepimpinan dalam mewujudkan suasana kecemerlangan di sekolah dan dapat menjalankan tanggungjawab dengan amanah.




SK Sungai Bedaun Meterai MOC Kolaboratif Strategik Pengurusan PIBK

Labuan, 11 Mac : Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) telah menandatangani Memorendum Persefahaman Kolaboratif  Strategik (MOC) dengan Majlis Guru Besar, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu mengenai Kolaboratif Startegik Pengurusan Penggerak Ibu bapa dan Komuniti (PIBK).

Dengan termeterainya memorendum pada 6hb Mac 2019 ini, kedua-dua pihak  akan saling berkongsi ilmu dan bertukar pandangan ke arah pemantapan Pengurusan PIBK di tempat masing-masing.

Menurut Guru Besar SKSB, Cikgu Dg. Sarifah A.Mahmod, SKSB amat menitik beratkan penglibatan PIBK dalam membantu pihak sekolah  membina ekosistem pendidikan yang dinamik. Beliau merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada PIBK yang diterajui oleh Pn Wiwik Iswandari Binti Sudirman di atas komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada SKSB.

“ Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, anjakan yang kesembilan, telah  memberikan  penekanan  terhadap  penglibatan  ibu  bapa,  komuniti  dan  pihak  swasta  dalam  memperkasakan  sekolah. Perkongsian  tanggungjawab antara ibu  bapa, komuniti  dan sekolah merupakan satu inisiatif  utama dalam mewujudkan suasana pembelajaran  yang berkualiti untuk  murid-murid”. katanya semasa berucap mengalu-alukan kehadiran rombongan.

Mengulas lanjut, Dg. Sarifah berkata kecemerlangan sekolah dan kemenjadian anak-anak di SKSB adalah hasil kolaborasi di antara PIBK dengan pihak sekolah. Sumbangan sama ada wang ringgit mahupun tenaga dan buah fikiran amat dihargai. Ibu bapa sanggup datang pada waktu cuti untuk menceriakan sekolah malah turut menyediakan makanan untuk murid-murid yang mengikuti latihan sukan dan pertandingan. Kerjasama inilah yang telah menjadikan SKSB dinobatkan sebagai PIBK Contoh  dan diberi Penganugerahan 5 Bintang Peringkat Kebangsaan Tahun 2018.  

Rombongan Majlis Guru Besar Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu  seramai 22 orang ini diketuai oleh En Doss@George Elang, Yang DiPertua Majlis Guru Besar Daerah Kota Marudu juga disertai oleh 22 orang Guru Besar.

Rombongan Penanda Aras dan Kongsi Ilmu MGB Kota Marudu

Ketibaan rombongan tersebut telah disambut dengan paluan kompang dan  persembahan gimnasrada yang merupakan tarikan baru di SKSB. Seramai 60 orang murid terlibat dalam persembahan ini. Mereka  terdiri daripada murid-murid tahun 1 hingga 6 yang dipimpin oleh Cikgu Norlisa Binti Rusly, Guru Pendidikan Jasmani SKSB dengan kerjasama PIBK. Mereka turut melihat persembahan kulintangan yang dimainkan oleh murid-murid tahun 5 dan 6.

Sesi lawatan di SKSB turut meninjau Bilik Gerakan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), 3 buah kelas Pra sekolah, Galeri Permata dan Taman Herba. Terdapat sebanyak 20 jenis herba yang ditanam oleh murid-murid dan juga guru. Melalui Project Base Learning (PBL) iaitu kolaboratif di antara panitia dan PIBK, Produk 3 Sekawan yang terdiri daripada ramuan serai wangi, daun limau perut dan daun sambung berjaya dihasilkan. Adalah diharapkan agar produk ini dapat menjana sumber kewangan untuk tabung PIBG sekolah.

Rombongan telah diiringi oleh Puan Zaliha Salleh selaku pegawai yang bertanggung-jawab membimbing Penggerak Ibu bapa dan Komuniti (PIBK) di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Encik Muhammad bin Pindut selaku Pegawai Angkat SKSB serta En Jaafar Bin Matusin, Yang DiPertua MGB WPL turut hadir guru-guru besar sekolah sekolah di W.P. Labuan.

Semoga Lawatan Penanda Aras ini mampu memberi lonjakan inspirasi untuk Pengurusan PIBK kedua-dua pihak.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Kenangan : Lawatan MGB Kota Marudu ke Taman Herba SKSB



Perjumpaan Ibu Bapa Tahun Satu SKK SK ST Anne Bantu Sebar Maklumat Sekolah

Labuan, 09 Mac 2019 : Perjumpaan Ibu Bapa Tahun satu telah diadakan di SKK SK St Anne.

Ibu bapa diberi taklimat mengenai usaha sekolah untuk memajukan prestasi akademik sekolah serta membantu anak anak murid tahun satu di dalam literasi bahasa melayu dan inggeris serta kemahiran numerasi.

Taklimat telah diberikan oleh Guru Besar SKK St Anne, Puan Shim Ching Teo dan guru mata pelajaran tahun satu Cikgu Zuriani Mohd  Isa

Ibu bapa telah diberi panduan untuk membantu anak mereka mengatasi kelemahan anak-anak mereka di dalam literasi bahasa melayu dan inggeris serta kemahiran numerasi.

Ibu bapa juga berpeluang bertemu sendiri dengan guru-guru matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik untuk membincangkan perkembangan akedemik anak mereka.

Program tahunan ini ternyata banyak membantu perkembangan anak-anak di SKK SK St Anne.

Berita Oleh : SKK SK St Anne