Rumah Neptune Juara Kejohanan Olahraga SMK Taman Perumahan Bedaun Kali Ke-21

Juara Keseluruhan Rumah Neptune : Kejohanan Olahraga SMK Taman Perumahan Bedaun kali ke-21

Labuan, 26 Jun – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Kejohanan Olahraga kali ke-21 tahun 2022 dengan jayanya. Kejohanan ini berlangsung secara bersemuka di Kolej Matrikulasi Labuan, selama satu hari dengan meriah. Acara ini telah disertai oleh empat buah rumah sukan iaitu rumah sukan Neptune, Marikh, Musytari dan Zuhal.

Menurut Puan Lau Chin Ying, Penolong Kanan Kokurikulum, sebanyak 11 acara sukan pelbagai kategori dipertandingkan dalam tempoh dua hari. Acara padang dilaksanakan di sekitar kawasan sekolah pada 22 Jun 2022 (Rabu) manakala acara balapan telah dianjurkan di Kolej Matrikulasi Labuan.

Acara perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh wakil Pengarah Pendidikan W.P Labuan iaitu Encik Awang Marten bin Haji Abdul Rahman, Ketua Penolong Pengarah SSTP. Dalam ucapannya, beliau menyarankan semua atlet agar bersungguh-sungguh untuk meraih pingat dalam setiap acara yang diceburi dan menerapkan semangat kesukanan yang tinggi semasa bersukan.

Terdahulu, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran tetamu kehormat untuk merasmikan kejohanan dan merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran Encik Haider Hussein bin Mohammad Rashid, YDP PIBG, Encik Mohd Nazri bin Mustapa, Pegawai Angkat Sekolah dan murid-murid. Beliau juga turut mengucapkan terima kasih atas komitmen guru-guru dalam memastikan kejohanan kali ini berjalan dengan lancar.

Rumah sukan Neptune telah berjaya muncul juara keseluruhan dengan kutipan 16 pingat emas, 10 perak dan 7 gangsa. Rumah Musytari pula berjaya menjadi naib johan keseluruhan dan johan bagi kategori pasukan sorak. Bagi acara hiasan rumah sukan pula, Rumah Zuhal mendapat tempat pertama.

Olahragawati bagi kategori perempuan bawah 15 tahun dimenangi oleh adik Nur Shaharah binti Joini @ Jaini dari rumah Zuhal yang memperoleh 2 emas, 2 perak dan 2 gangsa. Olahragawan bagi kategori lelaki bawah 15 tahun pula dimenangi oleh adik Muhammad Haikal Razwan Bin Herry. Adik Haikal berjaya memperoleh 2 emas, 1 perak dan berjaya memecahkan rekod dalam acara lompat jauh.

Olahragawati bagi kategori perempuan bawah 18 tahun pula berjaya dimenangi oleh adik Norsuhada Majeeda dari rumah Zuhal dan telah mendapat 2 pingat emas dan 2 pingat perak. Manakala olahragawan kategori lelaki bawah 18 tahun dimenangi oleh adik Mohd Ruhaifan bin Mahadi yang telah memperoleh 3 pingat emas dan 1 gangsa.

Acara penutupan telah menyaksikan kehebatan guru-guru dalam acara larian 4x50m. Unit kokurikulum telah dinobatkan sebagai johan dalam acara ini. Kejohanan kali ini telah melabuhkan tirainya pada jam 1.00 petang.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Barisan pentadbir bersama perasmi Encik Awang Marten dan jemputan

Loading

image_pdfimage_print