LABUAN, 25 Julai 2026 – Seramai 196 murid daripada 27 buah sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya menamatkan Kem Pemantapan Adab dan Nilai Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2026 yang berlangsung selama dua hari, bermula 24 hingga 25 Julai di Sekolah Kebangsaan Sungai Lada.
Majlis Penutupan dan Perasmian kem telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Hajah Noraini binti Haji Sahbudin.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa pembentukan adab, sahsiah dan nilai murni merupakan asas penting dalam melahirkan generasi seimbang, berdaya saing dan berintegriti, selaras dengan aspirasi Reformasi Pendidikan serta gagasan Pendidikan Nadi Negara.
“Tema Adab dan Nilai Nadi Reformasi Pendidikan amat signifikan dalam mendepani cabaran dunia moden yang dipacu teknologi, kecerdasan buatan dan maklumat tanpa sempadan”. katanya lagi.
Sepanjang kem, para peserta mengikuti pelbagai pengisian berbentuk ceramah dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) seperti Pemimpin Masa Hadapan, Rasulullah Suri Teladan, Halangan Akidah, Kapal Keimanan, Menara Tawakkal dan Jambatan Iman yang dirangka bagi memperkukuh kefahaman, membina kepimpinan serta memupuk semangat kerjasama dan ukhuwah.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Lada, Encik Mohamad Rizdaudin bin Abdul Wahap, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa penganjuran kem ini merupakan usaha berterusan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dalam memperkasa pembinaan sahsiah murid agar memiliki ketahanan rohani, jati diri kukuh serta nilai moral yang tinggi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khususnya Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai selaku pengelola bersama, barisan fasilitator, guru pengiring serta jawatankuasa pelaksana.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penyertaan kepada peserta, sijil penghargaan kepada fasilitator serta hadiah kepada peserta cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan penglibatan aktif sepanjang program.
Penganjuran kem ini diharapkan dapat melahirkan murid yang menghayati nilai murni, berpegang teguh kepada ajaran agama serta menjadi contoh teladan di sekolah dan masyarakat, sekali gus menyokong usaha melahirkan generasi MADANI yang berilmu, beradab dan berintegriti.
Turut hadir ialah Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam, Ustaz Syahnon bin Othman; Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai, Encik Samsul bin Mandisin; barisan pentadbir Sekolah Kebangsaan Sungai Lada; guru pengiring serta fasilitator program.

































![]()

