Bengkel Pemimpin Muda Asah Bakat Kepimpinan Murid-Murid SMK Labuan

Labuan, 5 Julai – SMK Labuan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Tingkatan 6 sekolah berkenaan telah berjaya melaksanakan Bengkel Kepimpinan Pemimpin Muda pada 2 Julai 2022, Sabtu lalu.

Bengkel sehari anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling telah menghimpunkan seramai 193 peserta yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber(PSS) dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS).

Menurut Penyelaras Program, Puan Rozzanne John, kem kepimpinan kali ini telah dikelolakan sepenuhnya oleh pelajar tingkatan 6 yang terdiri daripada 13 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan 7 orang pelajar lain sebagai fasilitator yang diketuai oleh adik Hani Syafika.

“Sepanjang bengkel, para peserta kem telah menjalani pelbagai aktiviti dalam membina jati diri kepimpinan termasuklah membina keperibadian mulia, perwatakan hebat dan komunikasi serta interaksi berkesan. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah termasuklah Latihan Dalam Kumpulan (LDK), aktiviti lain seperti Duty On Call, Am I A Good Leader dan Explorace.” kata beliau yang juga merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) sekolah berkenaan.

Para peserta bengkel tetap bersemangat walaupun penat menjalani pelbagai aktiviti yang mencabar mental dan fizikal. Salah seorang peserta, adik Mariana ketika ditemui berkata beliau bersyukur kerana berpeluang menyertai bengkel kali ini.

Adik Haziman yang juga terpilih sebagai peserta terbaik lelaki menyifatkan aktiviti yang dilaksanakan telah berjaya meningkatkan keyakinan dirinya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua murid SMK Labuan.

Peserta terbaik wanita pula disandang oleh Adik Racheal, beliau begitu teruja kerana aktiviti-aktiviti yang diterapkan berjaya memberi pengalaman baharu kepada dirinya. Beliau turut berazam menggunakan segala pengalaman itu dalam melaksanakan tugas-tugasnya sebagai pemimpin muda di sekolah.

Majlis penutupan perasmian telah disempurnakan oleh Puan Jamaliah binti Razali selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Labuan. Dalam ucapannya, beliau telah menyuntik semangat dan motivasi kepimpinan kepada para peserta dengan membawa contoh tokoh-tokoh yang telah berjaya menunjukkan daya kepimpinan yang tinggi dalam usia yang sangat muda.

Antaranya ialah Sultan Mohamed Al-Fateh yang ketika itu berusia 21 tahun telah berjaya membuka Kota Constantinople yang dibatasi oleh pagar empat lapisan setinggi 25 kaki dan sepanjang 160 kaki.

“Sejarah telah membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk menjadi pemimpin hebat. Seorang pemimpin mesti mempunyai pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang baik. Ketokohan kepimpinan boleh diasuh dan digilap bukan dilahirkan semata-mata” ujar beliau.

Beliau turut menyeru kepada semua peserta agar segala kemahiran dan pengalaman yang diperolehi dijadikan sebagai azimat dan panduan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin di sekolah.

Di akhir ucapan, Puan Jamaliah turut menzahirkan ucapan terima kasih dan menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bengkel kali ini.

Turut terlibat dalam pelaksanaan bengkel ialah guru-guru penyelaras Unit Bimbingan dan Kaunseling iaitu Puan Fauziah Henry dan Cik Arita Saip.

Selain itu Puan Hasriah binti Sidik, Puan Maslina Arifin, Encik Mohd Rizam Lamat dan Puan Alicia Pinsom turut membantu menjayakan bengkel kali ini.

Berita Oleh : SMK Labuan

Loading

image_pdfimage_print