Majlis Apresiasi Bersama Pengarah Suntik Motivasi Guru SMKTPB

LABUAN – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menerima kunjungan mesra daripada Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encuj Yusuf bin Haji Mohamad bersama dengan lapan orang pegawai sempena Majlis Apresiasi Bersama Pengarah.

Turut hadir bersama ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Ketua Penolong Pengarah dan Penolong Pengarah setiap sektor.

Majlis ini merupakan cetusan idea daripada Pengarah sendiri yang ingin bersua muka dengan guru-guru yang mengajar tingkatan empat dan lima dengan lebih dekat lagi.

Objektif utama majlis ini diadakan adalah bagi menyatakan hasrat Pengarah untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru yang mengajar murid-murid Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021.

Selain itu, majlis ini juga diharapkan dapat memberi peluang kepada semua guru untuk sama-sama berkongsi idea atau menyatakan keperluan pihak sekolah demi memastikan kemenjadian murid dalam semua aspek.

Encik Yusup Haji Mohamad bersama warga pendidik SMK Taman Perumahan Bedaun

Majlis ini dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Nik Muhammad Fazli bin Nik Abdul Rahman.

Pengetua SMKTPB, Puan Norazita Md.Nor @ Shamsuri menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengarah serta rombongan yang sudi membuat kunjungan mesra.

Dalam ucapannya, Puan Norazita berharap agar semua guru dapat menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin demi meningkatkan pencapaian SPM pada masa akan datang.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pengarah Pendidikan Labuan, Encik Yusuf  bin Haji  Mohamad. Beliau amat berbangga dan berterima kasih kepada semua guru kerana berjaya menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejayaan anak-anak didik dalam pencapaian SPM 2021 yang lalu.

Katanya lagi, beliau sedar bahawa anak-anak yang menduduki SPM 2021 sememangnya mempunyai cabaran yang besar kerana terpaksa berdepan dengan pembelajaran secara dalam talian selama dua tahun, selain merupakan kohort pertama bagi sukatan baharu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Sebelum mengakhiri ucapannya, Encik Yusuf berpesan agar semua guru terus berusaha untuk melahirkan murid yang cemerlang dalam SPM dan layak mendapat sijil. Komitmen yang ditunjukkan oleh guru-guru haruslah cemerlang kerana dalam rezeki kerjaya seorang guru terpikul satu amanah yang besar.

Majlis diakhiri dengan sesi dialog bersama Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Loading

image_pdfimage_print