Sambutan Hari Guru 2017 WP Labuan Berlangsung Penuh Ceria

Labuan – Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2017 telah berlangsung dengan penuh ceria dan warna-warni pada 20 Mei 2017 bertempat di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.

Tema Sambutan Hari Guru tahun ini adalah Guru Pembina Negara Bangsa.

Majlis yang di sempurnakan oleh YB Ahli Parlimen P166 W.P. Labuan, Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli ini dihadiri oleh Pengarah Pendidikan, En. Raisin bin Saidin, tetamu jemputan, Datuk Sri Alias bin Hj. Abdul Rahman, ketua-ketua sektor,  para pengetua,  guru besar,  pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan,  kumpulan Pesara Guru, YDP PIBG dan yang diraikan para guru di Wilayah Persekutuan Labuan.

Turut hadir Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan, Ketua-Ketua Kampung dan wakil-wakil agensi swasta dan warga pendidik yang terdiri daripada guru di semua sekolah Wilayah Persekutuan Labuan termasuk Kolej Vokasional Labuan, Kolej Matrikulasi Labuan, Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) dan tadika-tadika swasta.

Ikrar Hari Guru yang dipimpin oleh Encik Raisin Saidin bersama ketua-ketua sektor, para pengetua dan guru besar

Tn. Hj. Henarin bin Hj Adinda telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Peringkat WP Labuan Tahun 2017 di atas sumbangan bakti penuh dedikasi yang telah dicurahkan kepada dunia pendidikan samada di Labuan mahupun di negeri Sabah bermula awal tahun 70-an sehingga tahun 2003.

Beliau menerima RM2,000 dalam bentuk sijil premium daripada BSN dan RM1,000 daripada Bank Islam yang turut menyumbang RM200 kepada setiap Ikon Guru.

Majlis yang bermula pada jam 8.00 pagi ini turut memberi penganugerahan kepada 52 orang penerima Anugerah Anak Guru Cemerlang, 15 orang guru bagi Anugerah Guru Inovatif (Johan : Nazrin bin Ismail), 3 orang guru Anugerah Ikon Guru (Ismail bin Abdullah, Suriani Alland Rice Oxley dan Samih bin Kukung), seorang penerima Anugerah Kepimpinan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Ismail bin Abdullah), seorang penerima Anugerah Prasekolah Gemilang (Samih bin Kukung), dan dua orang penerima Anugerah Guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Cemerlang (Roslaniah binti Zainal dan Vincent Kubing Anak Ajah).

Kiri – Encik Raisin Saidin bersama Tokoh Guru 2017 Tn Hj Henarin, kanan – Encik Ismail bersama Cikgu Nazrin penerima anugerah Ikon Guru, kepimpinanan TMK dan Guru Inovatif

Ucapan perasmian yang disempurnakan oleh Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli, beliau berkata “guru jugalah yang menjadi sumber inspirasi anak watan bagi memacu aspirasi negara menjadikan Negara yang kita cintai maju dan sejahtera. Guru juga menjadi wadah penyemai perpaduan dan guru bertanggngjawab menanam sifat perpaduan dalam jiwa generasi muda kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Beliau juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada insan yang bergelar guru di mana jua mereka berada. Biarlah ungkapan keramat ‘guru’ atau ‘cikgu’ terus kekal meniti di bibir murid, ibu bapa dan masyarakat hingga ke akhir hayat seorang guru.

Keriangan Hari Guru terpancar di wajah guru-guru SK Kerupang

Menurut Encik Raisin Saidin,  pelbagai aktiviti dijalankan sempena Hari Guru peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.  Antaranya ialah sesi berkunjung ke rumah pesara guru,  khidmat masyarakat,  kempen derma darah,  sukan dan rekreasi,  program bacaan Yaasin, makan malam serta forum hari guru yang dikenali sebagai Kupi-kupi Hari Guru yang akan berlangsung pada 23hb Mei 2017.

Semua program yang telah dirancang bertujuan mengeratkan dan mendekatkan lagi hubungan di kalangan warga pendidikan sendiri mahupun dengan masyarakat umumnya.

Warga Pesara Guru dan PIBG yang turut hadir memeriahkan majlis

Pada majlis itu, Encik Raisin Saidin mewakili Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menerima sumbangan daripada YB Datuk Rozman sebanyak RM4,000 untuk menampung perbelanjaan majlis makan malam Hari Guru manakala RM3,000 daripada Datuk Sri Alias untuk menampung sambutan Hari Guru 2017.

Encik Raisin Saidin turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan Bank Rakyat, PIBG, pengusaha kantin sekolah dan guru-guru.

Keceriaan warga guru SK Pantai – Penampilan Terbaik

Dalam majlis tersebut, YB Rozman juga berkesempatan melancarkan buku Antologi Cerpen yang bertajuk Catatan Seorang Guru yang telah diterbitkan oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan ( PERWILA ) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.