Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Negeri dan Pelancaran Program Senergi Dakwah JPWPL 2023

Khalifah khatam Al Quran mendengar bacaan daripada peserta khatam

Labuan, 14 Februari : Seramai 68 orang murid daripada 17 buah sekolah rendah di wilayah ini diraikan dalam Majlis Khatam Al Quran Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Masjid Kg Sungai Bedaun.

Majis Khatam Al-Quran merupakan satu program khusus untuk memberi pengiktirafan kepada murid-murid sekolah yang telah berjaya mengkhatamkan al-Quran sebelum  melangkah ke alam persekolahan menengah.

Majlis seumpama ini adalah sebagai suatu sokongan dan motivasi untuk mendidik dan membudayakan generasi muda di peringkat awal persekolahan khasnya untuk terus berusaha menguasai dan mempertingkatkan mutu bacaan al-Quran serta menghayati, memahami isi kandungan al-Quran.

Rakam kenangan: Peserta Khatam AL Quran merakamkan kenangan bersama Pengarah Pendidikan dan tetamu yang hadir.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) Encik Yusup Haji Mohamad dalam ucapan perasmiannya mengajak semua murid agar terus istiqamah dalam mempelajari dan menjadikan bacaan Al-Quran sebagai amalan seharian.

 “Saya percaya, penganjuran majlis ini bukan sekadar untuk meraikan kejayaan 221 murid tahun 6 yang khatam Al-Quran di wilayah, tetapi apa yang paling penting ialah mesej yang hendak disampaikan yang terkandung dalam al-Quran iaitu motivasi diri agar lebih maju dan berjaya dalam kehidupan”.

“Mulai tahun depan kita minta ustaz ustazah di semua sekolah dapat memastikan semua murid dapat membaca Al-Quran semasa di tahun tiga. Bagi murid tahun 4, saya minta sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, anak-anak ini membaca Al-Quran satu muka surat sahaja setiap hari”. katanya lagi.

Tersusun rapi: Peserta khatam al quran begitu tekun memperdengarkan bacaan beramai-ramai.
Khusyuk : Encik Yusup (tengah) bersama para tetamu mendengar bacaan peserta khatam

Beliau turut  tertarik dengan slogan  “Adab Dahulu Baru Ilmu” kerana katanya untuk melahirkan insan yang  berilmu, perlu didahului dengan adab. Ini dapat direalisasikan dengan kerjasama semua pihak dalam pembinaan jati diri murid disamping menerapkan ilmu seperti yang kita laksanakan pada hari ini.

Pelancaran Program Sinergi Dakwah Peringkat Jabatan turut diadakan dalam majlis tersebut. Antara aktivitinya ialah Tafaquh Fiddin setiap pagi  Jumaat, sambutan hari kebesaran Islam, Ihya’ Ramadan, Ziarah Ramadan, Korban Berkelompok.

Pelancaran: Encik Yusup melancarkan Sinergi Dakwah Peringkat jabatan

Hadir dalam majlis itu, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Puan Noraini Sabudin, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Puan Kamariah Salim, Yang Di-pertua Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan W.P. Labuan Puan Dg Sarifah A.Mahmod, Pengerusi Masjid Kampung Sungai Bedaun Tuan Hj Mingu Hj Matnoh, Guru Besar SK Kerupang Puan Hajah Aini Salleh, Guru Besar SK Rancha-Rancha  Encik Jaafar Matusin, Guru Besar SK Pekan Dua Encik Abdul Rahman Salim dan Pegawai-pegawai JPWPL.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Encik Yusup menyampaikan sijil penyertaan kepada ustaz Muhammad Fakhrurrazi daripada SK Lubuk Temiang
Tuan Hj Mingu menerima sijil dan cenderamata daripada Encik Yusup
Kemas tersusun: Peserta khatam bergambar kenangan bersama tn pengarah dan tetamu jemputan
Para tetamu menunjukkan buku khatam yang disediakan oleh urus setia

Loading

image_pdfimage_print