Ustaz Roslan Mohamed – Jasamu Sentiasa Dikenang

6 Januari – Jasamu sentiasa dikenang sebagai pendidik anak bangsa ( 1978-2017).  Persaraan Ustaz Roslan bin Mohamed pada 5hb Januari 2017. Sedikit biodata mengenai ustaz Roslan :

Roslan dilahirkan di Kampung Relong, Kuala Lipis, Pahang pada 6 Januari 1957 merupakan anak ke-7 daripada 11 adik-beradik.

Beliau mendapat pendidikan awal di SK Relong, Kuala Lipis (1964-1969), Sekolah Menengah Ugama Padang Tungku, Kuala Lipis(1970-1975) sebelum melanjutkan pendidikan di Sekolah Tinggi Ugama Sultan Abu Bakar, Pekan Pahang (1976-1977).

Bertugas sebagai guru sementara di SM St Patrick Membakut, Sabah ( 1978-1991) dan SK Kerupang, Wilayah Persekutuan Labuan (1991-2011).

Pada 1 Mac 2011, beliau dilantik sebagai Penyelia Unit Pendidikan Islam di Jabatan Pendidikan Negeri Labuan.

Beliau dilantik pula sebagai Ketua Unit Pendidikan Islam di Jabatan Pendidikan Negeri Labuan pada 23 September 2013 sehingga bersara wajib pada 6 Januari lalu.

Roslan mendapat Latihan Kursus Dalam Cuti (KDC) ambilan 1989/1991 di Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu dengan Pangkat Cemerlang.

Pada tahun 1999 dan 2014, beliau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Antara jawatan yang pernah beliau sandang ialah Pengerusi Tabika Perpaduan Kg Durian Tunjong selama dua penggal (2000-2001 dan 2001-2002), Ketua Biro Pelajaran Masjid Al Mutakkin Kerupang 2 selama lima tahun (2005-2010), imam dan khatib jemputan Masjid Al Mutakkin, Masjid Kg Durian Tunjong dan Masjid Kg Tg Aru, dan Setiausaha Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah- Sekolah (Pekdis) Malaysia Cawangan Labuan (2011-2016).

Roslan mendirikan rumah tangga dengan Rajima Daud pada 25 Disember 1982 dan dikurniakan 4 cahaya mata – dua lelaki dan dua perempuan. Kini mempunyai tiga menantu dan tiga cucu.

“Setelah bersara, saya akan menumpukan sepenuh masa membantu keluarga dalam bidang perniagaan perabot jati,” katanya.

KAU YANG KUKENAL

Wajah tenang
Pada bicara sopanmu
Pada perkongsian rencah rohani pada budimu
Penjawat setia bertahun
Menabur bakti kepada
Masyarkat sepulau kasih
Pada kata-kata kecindan
Lucumu menghiburkan
Tak lokek senyuman
Kita terus bersahabat
Pada jalinan kasihmu
Tertumpah cinta pulau bertuah
Menyambung perjalanan
Kehidupan ke sebelah sana
Terima kasih Tuan
Nanti kami singgah
Sekali-sekala Ima Jati
Jadi ingatan kenangan
Perantauan 1978 ke 2017
Pulangkah Pahang Darul Makmur rindumu bertahta
Bilakah?
Doamu pada Tahajut dan Duhamu
Kami juga setulus doa
Kebahagiaan sekeluargamu
Duniawi dan ukhrawi…..

SAMSA HARRIS

Dedikasi khas untuk Ustaz Roslan Mohamed

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.