LAMBAIAN KASIH, SANJUNGAN BUDI
Majlis Persaraan Lima Orang Pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Dari kiri : Encik Mohd Aminudin bin Abdul Malek, Tuan Haji Yunus bin Yussof, Puan Rainah bt Rauf dan Puan Suhana bt Sablee.

Labuan, 2 Julai 2020 : “Perkhidmatanmu disanjung, pemergianmu dirasai”, begitulah ungkapan terbaik bagi lima orang pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) yang akan bersara wajib dan pilihan pada tahun 2020 setelah menabur bakti sekian lamanya di Jabatan ini.

Majlis Persaraan Lambaian Kasih, Sanjungan Budi kepada Tuan Haji Yunus bin Yussof, Puan Rainah bt Rauf, Puan Suhana bt Sablee, Encik Aminuddin bin Abdul Malek dan Tuan Haji Jaafar bin Abu Bakar telah diadakan di salah sebuah hotel di Labuan, semalam.

Dalam suasana norma baharu, Majlis anjuran Kelab Pendidikan JPWPL ini telah berlangsung harmoni dan penuh makna dengan kehadiran warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup bin Mohamad dalam ucapannya, mewakili seluruh warga Jabatan menzahirkan ungkapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pegawai-pegawai bersara yang diraikan, atas perkhidmatan cemerlang sepanjang berkhidmat di jabatan ini.

Turut menceriakan majlis tersebut, dengan kehadiran Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Yasmin bt Hussain, Timbalan-timbalan pengarah dan Ketua-ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Tuan Haji Yunus bin Yussof telah menabur bakti dalam dunia pendidikan selama 38 tahun. Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik dengan menjadi guru pada 4 Januari 1982 di SRK Pamol, Beluran Sabah.

Anak jati Labuan ini, telah menabur bakti di tanah kelahiran sendiri bermula 5 Jun 1987 sebagai guru di SK Patau-Patau.

Tuan Haji Yunus pernah dilantik sebagai Guru Penolong Kanan di SK Patau-Patau pada tahun 2001, pemangku Guru Besar dan Penolong Kanan Pentadbiran pada tahun tahun 2007-2008 di SK Pekan Satu, Labuan.

Kerjaya beliau diteruskan di Jabatan Pendidikan WP Labuan iaitu di Sektor Pengurusan Sekolah bermula 31 Disember 2008 dan pernah menjawat Ketua Unit Perhubungan dan Rendah.

Tuan Haji Yunus, merupakan pegawai yang banyak berjasa kepada jabatan dalam bidang perhubungan, unit rendah dan biro aduan.

Beliau bersara pilihan pada 1 Julai 2020.

Tuan Haji Yunus Yussof, pegawai yang banyak berjasa kepada jabatan dalam bidang perhubungan, unit rendah dan biro aduan, menerima cenderahati daripada Datuk Dr Yasmin Hussain

Puan Rainah Rauf juga merupakan anak jati Labuan mengambil keputusan untuk bersara pilihan setelah berkhidmat selama 31 tahun dalam perkhidmatan awam.

Puan Rainah, mula berkhidmat pada 1 April 1989 di Jabatan Pendididikan Sabah sebagai Pembantu Kerani, seterusnya dilantik sebagai Pegawai Kerani Pendidikan di Jabatan sama pada tahun 1991.

Merupakan pegawai yang banyak berjasa kepada jabatan dalam bidang perkhidmatan perjawatan, naik pangkat dan tatatertib.

Beliau menabur bakti selama 25 tahun di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bermula  16 November 1995 dan pernah menjadi Ketua Unit Perjawatan dan Naik Pangkat.

Puan Rainah Rauf bersara pilihan pada 1 Julai 2020.

Puan Rainah Rauf (kiri), pegawai yang banyak berjasa jabatan dalam bidang perkhidmatan perjawatan dan naik pangkat bersama Datuk Dr. Yasmin, Encik Yusup dan Puan Maimoon

Puan Suhana Sablee telah dilantik sebagai pembantu tadbir pada 1 April 1989 di SM Sains Labuan sehingga tahun 1997.

Beliau juga pernah berkhidmat di SMK Lajau (1997-2002) dan SK Bebuloh pada tahun 2002 sehingga 2006.

Puan Suhana banyak menyumbang bakti kepada jabatan dalam bidang pengurusan dan perkhidmatan.

Bermula tahun 2006, Puan Suhana berkhidmat di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan berkhidmat selama 14 tahun sehingga beliau bersara wajib pada 2 Julai 2020.

Puan Suhana Sablee (kiri), PKP yang banyak berjasa kepada jabatan dalam bidang pengurusan dan perkhidmatan menerima cenderahati daripada Datuk Dr Yasmin.

Encik Mohd Aminuddin bin Abdul Malek yang berasal dari negeri Perak telah berhijrah ke Sabah di usia awal 20-an. Minat dalam bidang pendidikan mendorongnya untuk menabur bakti sebagai guru pada 27 April 1982 di SMK Kota Marudu, Sabah.

Setelah 15 tahun bergelumang dalam dunia pendidikan di negeri bawah bayu, beliau telah berhijrah ke Pulau Labuan pada tahun 1996 menyambung bakti mendidik anak-anak murid di SMK Membedai dan seterusnya di SM ST Anne pada tahun 1997.

Pada tahun 2001, beliau dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di SK Lubok Temiang, seterusnya menjadi Penolong Kanan Pentadbiran di SK St Anne pada tahun 2005.

Kerjaya beliau diteruskan lagi di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 16 April 2008. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Unit Pasukan Badan Beruniform bermula tahun 2014.

Beliau banyak berjasa kepada jabatan dalam bidang sukan, ko-kurikulum dan pasukan badan beruniform. Setelah 38 tahun berkhidmat dalam pendidikan. Encik Mohd Aminuddin akan bersara wajib pada bulan Ogos 2020.

Encik Mohd Aminuddin Abdul Malek, pegawai yang banyak berjasa kepada jabatan dalam bidang sukan, ko-kurikulum dan pasukan badan beruniform menerima cenderahati daripada Datuk Dr Yasmin Hussain

Tuan Haji Jaafar bin Abu Bakar pula memulakan kerjaya sebagai seorang guru pada 5 Januari 1981 di SRK Limau-Limauan, Kudat.

Seterusnya beliau telah menabur bakti di SK Talontang, Kota Marudu pada 16 Ogos 1982.

Pada tahun 1984 berhijrah ke Pitas dengan meneruskan kerjaya sebagai guru di SK Pagoh Pitas dan SK Pekan Pitas tahun 1986.

Beliau memulakan langkah dan menyumbang bakti mendidik anak bangsa di Pulau Labuan pada 5 Januari 1987 di SK Kerupang.

Tuan Haji Jaafar merupakan pegawai yang banyak berjasa kepada jabatan dalam bidang Pengurusan Hal Ehwal Murid (HEM).

Beliau akan bersara wajib pada bulan September 2020. Tuan Haji Jaafar tidak dapat bersama pada majlis tersebut kerana tidak berada di Labuan.

Tuan Haji Abdul Rahman mewakili Tuan Haji Jaafar yang tidak dapat hadir, menerima cenderahati daripada Datuk Dr Yasmin Hussain
Gambar Kenangan : Tuan Haji Jaafar (berbaju putih) bersama Encik Mohamad ketika melaksanakan tugas

Seluruh warga Jabatan mengucapkan SELAMAT BERSARA kepada YB (Yang Bersara) Tuan Haji Yunus Yussof, Puan Rainah Rauf, Puan Suhana Sablee, Encik Mohd Aminuddin Abdul Malek dan Tuan Haji Jaafar. Jasa Tuan Puan sentiasa dikenang, “Perkhidmatanmu disanjung, pemergianmu dirasai”.

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja yang bertungkus lumus menjayakan majlis yang penuh bermakna ini.

Encik Yusup Mohamad menyampaikan cenderahati kepada Datuk Dr Yasmin di atas lawatan kerja Rasmi ke sekolah-sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Labuan

Foto oleh : Encik Mohd Firlii Firzuan Lee, SSTP

Loading

image_pdfimage_print