Majlis Khatam Al Quran, Ziarah Ramadan Dan Penyampaian Sumbangan Wakalah Menutup Tirai Program Ihya’ Ramadan Peringkat JPWPL

Sumbangan Wakalah: Encik Yusup menyampaikan kit makanan kepada penerima sumbangan wakalah JPWPL. Turut kelihatan Encik Mohd Nizam (dua dari kanan) dan Ustazah Kamariah (kiri).

Labuan, 7 Mei – Bagi merebut keberkatan bulan Ramadan Al Mubarak dan mengimarahkan lagi Program Ihya’ Ramadan tahun ini, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah mengadakan Majlis Khatam Al Quran secara bersemuka di Bilik Mesyuarat Botanikal, JPWPL dan di dalam talian bermula jam 7.45 pagi manakala penyampaian sumbangan wakalah diadakan jam 3.00 petang semalam.

Majlis Khatam Al Quran yang dikelolakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI)  ini telah dihadiri lebih 50 peserta daripada kalangan pegawai dan kakitangan JPWPL. Majlis dimulai dengan bacaan surah Al Kahfi ayat 1 hingga 10 dan ayat 100 hingga 110 diketuai oleh Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid. Manakala Majlis Khatam Al Quran dipimpin oleh  Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam. Seramai 22 qari dan qariah jabatan telah memperdengarkan bacaan juzuk amma bermula daripada surah Ad-dhuha hingga surah An-Nas.

Program Bacaan Al Quran yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan ini diharapkan dapat mewujudkan penghayatan beramal dan beribadah dalam bulan yang penuh barakah di samping memantapkan kemahiran membaca al-Quran dalam setiap jiwa warga kerja JPWPL ini.

Menurut Ketua Penolong Pengarah SPI, Ustazah Kamariah binti Salim, penganjuran majlis ini bukan sekadar untuk meraikan kejayaan kita menamatkan pembacaan al-Quran mengikut juzuk tetapi apa yang paling penting ialah mesej yang hendak disampaikan dan pengertiannya kepada kita.

“Penghayatan kepada isi kandungan ayat-ayat suci al-Quran akan memberi kita inspirasi dan galakan untuk lebih berusaha mendekatkan diri kepada Ilahi dan menguasai segenap bidang ilmu pengetahuan. Membaca dengan memfokuskan kepada kualiti bacaan dengan meraikan hukum tajwid sangat penting di samping mentadabbur iaitu memahami dan menghayati makna Al-Quran itu sendiri”. Katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Rakam kenangan: Peserta secara dalam talian turut merakamkan gambar kenangan.
Rakam kenangan: Peserta Majlis Khatam Al Quran secara bersemuka dari Bilik Mesyuarat Botanikal merakamkan gambar kenangan seusai majlis.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang berjaya menyelesaikan bacaan mengikut juzuk dan peserta yang memperdengarkan bacaan dengan faseh dan lancar dalam majlis tersebut. Juga ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas sumbangan yag diberikan untuk Tabung Infaq Ramadan.

Majlis tersebut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusup bin Hj Mohamad secara dalam talian. Turut hadir  Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Hj Matnoh yang memperdengarkan bacaan surah Al Qariah, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim yang membacakan surah AL Kawthar dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad yang turut membacakan surah Al Bayyinah.

Program Ziarah Ramadan iaitu menyantuni Encik Faris bin Kasa, pegawai di Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan (SPP) turut diadakan pada sebelah pagi. Rombongan diketuai oleh Tuan Hj Sawal bin Salleh, Ketua Penolong Pengarah SPP bersama 3 ahli rombongan.  

Majlis Penyampaian Sumbangan Wakalah JPWPL pula telah disempurnakan oleh Tuan Pengarah Pendidikan JPWPL, Yusup Hj Mohamad kepada 22 orang pembersih kawasan dan jaga. Seramai 8 orang pekerja sambilan harian (PSH) turut menerima sumbangan duit raya. Pada majlis itu juga turut diadakan agihan juadah iftar kepada semua kakitangan JPWPL dan penerima sumbangan.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Ziarah Ramadan: Tuan Hj Sawal (tengah) bersama pegawai SPP, Encik Narimin (kiri), Encik Aqil Mudzakkir (dua dari kanan) dan Puan Raihana (kanan) menyantuni Encik Faris (dua kari kiri) dalam Program Ziarah Ramadan. Didoakan semoga Encik Faris sembuh seperti sediakala.
Agihan Juadah Iftar: Ustazah Sitti Rahimah (kanan), Ustaz Mohd Syahir (dua dari kiri) dan Puan Maznah (kiri) menyerahkan bakul kit makanan dan juadah iftar kepada kakitangan di Sektor Pembelajaran dan Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan.

Loading

image_pdfimage_print