Labuan, 24 November 2024 – Kehebatan murid-murid SK Layang-layangan diserlahkan apabila mereka berjaya mempamerkan bakat dan kreativiti dalam Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Kompleks Ujana Kewangan. Melalui pembentangan dua kajian tindakan, murid-murid sekolah ini bukan sahaja dipupuk untuk menyerlahkan potensi mereka, tetapi juga berupaya memberikan inspirasi kepada murid-murid lain serta komuniti pendidikan dengan pendekatan kreatif yang diketengahkan.
Kolokium ini merupakan sebahagian daripada acara Karnival 50 Tahun Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang disambut dengan penuh gilang-gemilang dan bertujuan untuk mempromosikan kajian tindakan sebagai pendekatan penyelesaian masalah yang proaktif dan kreatif dalam bidang pendidikan. Oleh itu, SK Layang-layangan telah menghantar dua pasukan murid yang dikenali sebagai The Mathionaires dan The Fractionators, masing-masing membawa inovasi unik dalam membantu meningkatkan penguasaan mata pelajaran Matematik.
Pasukan The Mathionaires terdiri daripada Nur Dania Rizqin binti Abdullah dan Nur Nadhirahtul Adwa binti Mohd Ma’arof, kedua-duanya murid Tahun 6 Sarjana. Kajian mereka, Meningkatkan Kemahiran Operasi Asas Matematik Melalui Penggunaan Teknik Pasangan Nombor dalam Kombinasi 10, memfokuskan kepada membantu murid-murid memahami asas operasi Matematik secara lebih mudah dan interaktif.
Sementara itu, pasukan The Fractionators yang dianggotai oleh Muhammad Ammar Zayyad Zulkazfliza bin Abdul Majid dan Nur Afiqah Solehah binti Muhammad Khairul dari Tahun 5 Sarjana serta Fairy Lily Gabriel dari Tahun 5 Bestari telah membentangkan kajian tindakan yang bertajuk Petak Pecahan Pintar: Meningkatkan Penguasaan dalam Menukar Pecahan Tak Wajar kepada Pecahan Bercampur dan Sebaliknya.
Inovasi yang diperkenalkan melalui kedua-dua kajian ini telah berjaya menarik perhatian orang ramai kerana kebolehgunaannya dalam membantu murid menguasai konsep asas operasi tolak dan konsep pecahan dengan lebih baik. Kedua-dua kumpulan ini dibimbing oleh Cikgu Shamsuria binti Ebni, Guru Besar SK Layang-layangan yang juga merupakan jurulatih utama program Kajian Tindakan 12 Langkah (KT12L), bersama-sama Cikgu Thasmawaty binti Aripin.
Selain mempamerkan kebolehan murid dalam melaksanakan kajian tindakan, SK Layang-layangan turut menerima anugerah apabila memenangi kategori Reruai Paling Menarik, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM200. Reruai mereka yang memaparkan mengenai inovasi Matematik disusun secara kreatif dan interaktif, berjaya menarik perhatian ramai pengunjung sepanjang acara berlangsung.
Kolokium ini yang juga bertujuan memberikan pendedahan mendalam tentang kajian tindakan dalam pendidikan telah berupaya memupuk kemahiran murid dengan kaedah pembelajaran yang lebih proaktif, kreatif dan inovatif. Selain itu, kemahiran pembentangan yang ditonjolkan oleh para peserta juga memainkan peranan penting dalam membentuk keyakinan mereka.
Justeru, penglibatan SK Layang-layangan dalam kolokium kali ini membuktikan komitmen sekolah untuk terus memajukan pendidikan muridnya melalui pendekatan kreatif dan penyelesaian masalah yang berkesan. Meskipun acara ini telah melabuhkan tirainya, semangat dan dedikasi yang ditunjukkan oleh murid-murid SK Layang-layangan diharap dapat diteruskan dalam program-program akan datang. Pasukan sekolah kini berhasrat untuk terus memperbaiki kualiti kajian serta inovasi mereka, dengan harapan dapat membawa penyelesaian pendidikan ini ke peringkat yang lebih tinggi.
Berita Oleh : SK Layang – Layangan