LABUAN: Seramai 90 pelajar SMK Labuan telah melibatkan diri dalam Perkhemahan Perdana Badan Beruniform SMK Labuan baru-baru ini.
Sebanyak lapan Badan Beruniform yang terlibat iaitu Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ), Pasukan Kadet Bersatu Malaysia Darat (PKBM Darat), Kadet Remaja Sekolah, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BBSM), Pengakap, Puteri Islam, Kadet Bomba dan Kadet Polis.
Perasmian penutupan perkhemahan ini telah disempurnakan oleh pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim. Beliau sempat menyatakan ucapan syabas dan tahniah kepada pelajar yang berjaya melibatkan diri sepanjang perkhemahan ini berlangsung. Tambahnya lagi, pelajar yang telah berjaya menghabiskan perkhemahan ini secara tidak langsung telah melatih diri mereka untuk membentuk kebergantungan terhadap diri sendiri, tidak mudah berputus asa, dan mampu untuk menyelesaikan masalah pada masa akan datang.
“Tahniah kepada pelajar yang telah berjaya menghabiskan perkhemahan ini kerana kamu telah membentuk kebergantungan terhadap diri sendiri, berpisah daripada keselesaan rumah, dan tidak mustahil di luar sana nanti kamu bukan sahaja mampu untuk menjadi pelajar hebat tetapi juga pelajar yang mampu menyelesaikan sesuatu masalah”, jelas beliau.
Perkhemahan yang berlangsung selama 3 hari 2 malam itu (29 dan 30 November – 01 Disember) diisi dengan pelbagai aktiviti yang memupuk sikap kepimpinan dan kerjasama antaranya Pertandingan Larian Berhalangan, Pertandingan Kawad Kaki, Malam Kesenian dan Ikhtiar Hidup.
Turut memberi ucapan mewakili peserta perkhemahan, penghulu peserta, Mohd Khairy Hakim bin Mansul yang menyatakan rasa terima kasih kepada guru-guru yang telah bertungkus lumus menguruskan perkhemahan tersebut dan mengajar mereka bahawa pentingnya semangat sepasukan yang kuat dalam menghadapi apa-apa cabaran.
Berita Oleh : SMK Labuan