LABUAN, 11 April 2026 – Majlis Penutupan Mahrajan Al-Quran, Nasyid dan Khat Sekolah-Sekolah (MQNKSS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS).
Pertandingan MQNKSS menyaksikan penyertaan aktif seramai lebih 249 orang peserta dari seluruh sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 April 2026 di tiga lokasi utama iaitu Masjid Jamek An-Nur, SK Pantai dan Dewan Chi Hwa.
Majlis Penutupan MQNKSS telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan Puan Noraini Hj Sabudin.
Dalam ucapan perasmian penutupan beliau menegaskan bahawa penganjuran mahrajan ini bukan sekadar pertandingan, sebaliknya merupakan platform penting dalam usaha melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Menurut beliau, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, sistem pendidikan negara kini memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah dan karakter murid sebagai asas melahirkan generasi masa hadapan yang unggul.
“Mahrajan ini menjadi wadah untuk membentuk murid yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kekuatan akhlak, kemantapan rohani dan jati diri yang utuh,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Sektor Pendidikan Islam atas pengurusan program yang cekap serta kepada sekolah-sekolah pengelola iaitu SK Kerupang dan SMK Lajau bagi acara Al-Quran serta SK Pantai dan SMK Labuan bagi pertandingan khat dan nasyid.
“Setiap bacaan Al-Quran, goresan khat dan alunan nasyid yang dipersembahkan adalah cerminan usaha dan jiwa anak-anak. Inilah nilai sebenar yang ingin kita pupuk,” ujarnya lagi.
Sekolah Kebangsaan Kerupang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha dinobatkan sebagai juara bagi kategori sekolah rendah dan menengah dalam MQNKSS pada tahun ini.
Para pemenang akan mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Negeri Sembilan.
Penganjuran mahrajan ini juga dilihat sebagai medium penting dalam memperkasakan kesenian Islam sebagai alat pendidikan jiwa, dengan Al-Quran sebagai panduan hidup, khat sebagai seni memuliakan kalam Ilahi dan nasyid sebagai medium dakwah yang menyentuh emosi.














![]()

