Penyediaan Pelan Tindakan Terbaik : Bengkel Kerja Inisiatif DTP #54 Tahun 2022 Dan Post-Mortem SPM 2021

Labuan, 19 Ogos – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Bengkel Kerja Inisatif DTP #54 dan Post-Mortem SPM 2021 di Kota Kinabalu pada 17 hingga 19 Ogos 2022.

Inisiatif Program Transformasi Daerah (DTP) dibangunkan bertujuan memacu prestasi sekolah melalui pelan intervensi bagi merealisasikan usaha peningkatan kemenjadian murid.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup Haji Mohamad berkata keputusan SPM 2021 merupakan pencapaian dan peningkatan yang cukup membanggakan dari segi layak menerima sijil, peratus lulus dan gred purata negeri.

Beliau amat menghargai komitmen pihak sekolah, pentadbir sekolah dan guru-guru di atas pencapaian ini.

“Menjadi satu cabaran bersama untuk mengekalkan serta meningkatkan lagi pencapaian SPM di tahun mendatang”.  Encik Yusup Haji Mohamad.

 Justeru itu pihak jabatan, sekolah dan guru-guru perlu sentiasa bekerjasama secara sepasukan bagi menyediakan pelan tindakan yang terbaik demi mengekalkan produk kemenjadian anak-anak murid di Labuan.

Datuk Dr Amin Senin, Encik Yusup Hj Mohamad bersama pengurusan tertinggi JPWPL

Dalam majlis yang sama, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah menjemput YBhg. Datuk Dr. Amin Senin, mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) untuk sesi perkongsian mengenai dunia pendidikan di Malaysia.

Katanya, guru digalakkan untuk menambah baik pembelajaran murid mengikut tahap keupayaan melalui kepelbagaian kaedah dan kreativiti pengajaran sesuai dengan era pembelajaran digital masa kini.

“Pendidikan Mengangkat Nilai, Maruah dan Harga Diri Murid”, Datuk Dr. Amin Senin.

Melalui bengkel ini, sesi post-mortem, perkongsian, perbincangan dan pembentangan intervensi sekolah oleh para pengetua serta program task force SPM 2022 telah berjaya dilaksanakan.

Perkongsian Pendidikan : Pembelajaran Digital oleh Datuk Dr Amin Senin



Sambutan Aidiladha 2022, Ibadah Korban Anjuran PEKDIS Labuan Kembali Meriah

Labuan, 13 Julai – Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah (PEKDIS) Cawangan Labuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah menganjurkan korban berkelompok di perkarangan Pusat ko-Kurikulum, Kampung Ganggarak baru-baru ini.

Pelaksanaan ibadah korban kali ini kembali disambut dengan penuh rasa syukur dan meriah selepas dua tahun terikat dengan SOP susulan pandemik Covid-19.

Walaupun SOP mengekang Covid-19 dilonggarkan, orang ramai yang hadir untuk membantu menyempurnakan ibadah korban tetap mengamalkan kawalan kendiri pemakaian pelitup muka dan mensanitasi tangan sebagai langkah berjaga-jaga.

Program Korban Berkelompok merupakan inisiatif PEKDIS untuk mendekati masyarakat, memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga Pendidikan selain dapat meraikan golongan kurang berkemampuan dan wajar diberi perhatian. Sebanyak tiga ekor lembu telah dikorbankan pada pagi 10 Zulhijjah iaitu sejurus solat sunat hari raya Aidil Adha.

Penyelaras Program Korban PEKDIS Ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim berkata, bagi memastikan kelancaran program, pihak urus setia sentiasa mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa dan membuat tinjauan di Pusat Ko-Kurikulum.

Merakam kenangan: Para petugas di bahagian melapah daging sempat merakam gambar bersama tuan pengarah

“Alhamdulillah, kehadiran ramai petugas secara sukarela amat membantu dalam menyempurnakan pengurusan ibadah korban. Seawal pagi ada yang telah menimba lubang kumbahan yang dipenuhi air hujan. Mereka begitu bersemangat membantu menumbangkan lembu untuk penyembelihan.

“Semangat pengorbanan yang ditunjukkan jelas terpancar sepanjang melaksanakan kerja-kerja melapah daging, menimbang, memotong dan membungkus daging,” katanya.

Proses agihan kepada 54 orang asnaf miskin dalam kalangan murid-murid sekolah sekitar wilayah Persekutuan Labuan berjalan lancar. Begitu juga agihan yang dilakukan untuk peserta korban sendiri serta agihan untuk sahabat dan jiran terdekat.

Sementara itu, Pengerusi PEKDIS Cawangan Labuan Ustazah Kamariah Salim berkata perancangan untuk program korban ini telah dilakukan sejak Januari lagi di mana para peserta membuat bayaran ansuran.

 “Terima kasih diucapkan kepada semua peserta korban yang begitu bersungguh-sungguh dalam merealisasikan hajat ini. Begitu juga petugas yang datang membantu dan berkongsi juadah yang lazat untuk dinikmati bersama di pagi Aidil Adha.

“Ibadah korban disebutkan oleh al-Quran sebagai syiar Allah di mana terdapat kebaikan untuk umat manusia iaitu bukan sekadar menyembelih lembu.

Tuan Yusup Bin Haji Mohamad (kiri) dan  Ustazah Kamariah Binti Salim (kanan) bergambar bersama daging korban.

“Kerana itu, di samping kita digalakkan untuk mensyukuri dan mengingati nama Allah semasa menjalankan ibadah korban, kita tidak boleh melupakan ada bahagian yang perlu diberikan untuk mereka yang memerlukan dan alhamdulillah, kita berjaya menyantuni 54 orang asnaf miskin untuk agihan daging korban tahun ini.

“Kesyukuran itu bukan semata-mata amalan peribadi tetapi juga mempunyai sisi kemasyarakatan yang dizahirkan melalui amalan membantu dan memberi makan golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan” katanya lagi.

Kehadiran Tuan Pengarah Pendidikan, Encik Yusup Hj Mohamad ke Pusat Ko- kurikulum telah menambah seri program tersebut. Beliau turut dibawa meninjau ke kawasan melapah, memotong dan membungkus daging korban. Proses agihan daging dan kerja-kerja pembersihan kawasan berakhir jam 1.30 petang.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Tuan Yusup Bin Haji Mohamad turut hadir memeriahkan majlis dan meninjau proses memotong dan mencincang daging.



Munajat Kesyukuran Mewarnai Sambutan Hari Guru Peringkat WP Labuan

LABUAN, 19 Mei 2022– Munajat Kesyukuran Warga Pendidikan Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan dengan jayanya di Masjid Kampung Sungai Bedaun dengan dihadiri seramai 250 orang jemaah yang terdiri daripada warga pendidik seluruh WP Labuan dan kariah setempat.

Majlis yang diadakan saban tahun bertujuan untuk mengeratkan jalinan ukhwah silaturrahim di samping memohon kerahmatan dan keberkatan kepada semua insan yang bergelar warga pendidik samada yang terdahulu ataupun yang masih meneruskan kerjaya tersebut. Majlis ini telah dikelolakan oleh Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam W.P.Labuan.

Pengimarahan Majlis Munajat Kesyukuran ini dimulai dengan solat Maghrib dan solat hajat secara berjemaah yang diketuai oleh Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim. Bacaan surah Yasin, tahlil dan doa telah diketuai oleh  ustaz Sahrum Samlan. Manakala tazkirah yang bertajuk “Peranan Pendidik Membina Insan Rabbani”  telah disampaikan oleh pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (MAIWPL) ustaz Anuar Mat Saad.

“Bagi membentuk insan rabbani  iaitu yang beriman, berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, beramal soleh, bertanggungjawab dan layak berkhidmat untuk membangunkan keluarga, masyarakat, negara serta ummah semuanya bermula daripada asas iaitu rumah dan sekolah.

Justeru 14 elemen seperti yang dinyatakan dalam Sekolahku SEJAHTERA perlu dihayati dalam jiwa setiap warga pendidik” katanya dalam tazkirah yang disampaikan. 

Majlis ini telah disempurnakan oleh Tuan Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusup Haji Mohamad. Turut hadir Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Puan Maimoon Haji Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Encik Yahya Ahmad Puteh, Ketua Sektor Pendidikan Islam Puan Kamariah Haji Salim, Ketua Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Encik Awang Marten Datuk Haji Abdul Rahman, Ketua Sektor Pendidikan Khas Puan Noraini Sabudin, Pengetua, Guru Besar dan warga pendidik di WP Labuan.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kg. Sg. Bedaun Tuan Hj. Mingu bin Hj. Matnoh dan Ketua Kampung Sg. Bedaun Encik Rosmani bin Puteh.

Dalam ucapannya, Encik Yusup merakamkan ucapan Selamat Hari Guru kepada semua guru dan berharap agar guru-guru terus bersemangat untuk meneruskan usaha mendidik anak bangsa.

Beliau turut merafakkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. disamping memohon kesejahteraan dan kerahmatan kepada semua warga yang bergelar guru. Di akhir ucapan beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada SMA MAIWP Labuan kerana mengelolakan majlis dengan jayanya pada tahun ini.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Antara barisan warga guru yang hadir menyemarakkan munajat kesyukuran bersama dengan Encik Yusup dan pegawai jabatan



Majlis Khatam Al Quran Menutup Tirai Program Ihya’ Ramadan Peringkat JPWPL Tahun 2022

Labuan, 29 April- Majlis Khatam Al Quran yang diadakan pagi tadi secara bersemuka di Bilik Mesyuarat Botanikal, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) menjadi kemuncak sekaligus menutup tirai kepada Program Ihya’ Ramadan Peringkat JPWPL bagi tahun 2022.

Majlis Khatam Al Quran yang dikelolakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI)  ini telah dihadiri lebih 50 peserta daripada kalangan pegawai dan kakitangan di jabatan. Majlis dimulai dengan bacaan surah Al Kahfi ayat 1 hingga 10 dan ayat 100 hingga 110 diketuai oleh Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim,.

Manakala Majlis Khatam Al Quran dipimpin oleh  Penolong Pengarah Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam, Ustaz Sahrum Bin Samlan. Seramai 14 qari jabatan telah memperdengarkan bacaan juzuk amma bermula daripada surah Ad-dhuha hingga surah An-Nas.

Tazkirah berkaitan fadhilat mempelajari Al Quran yang disampaikan oleh Ketua Imam Masjid Layang-Layangan ustaz Muhammad Syafie Abdul Ghani telah menyuntik semangat para peserta khatam Al Quran untuk terus belajar dan menguasai kemahiran Al Quran.

“Sebagai umat Islam kita sangat dituntut untuk mendalami ilmu al-Quran. Selain itu ilmu bacaan seperti cara lafaz dan hukum tajwid perlu di fahami dan didalami dengan betul agar bacaan bertambah baik”. katanya.

Majlis Khatam Al Quran yang diadakan pagi ini merupakan kesinambungan bagi menjadikan amalan membaca Al Quran sebagai satu kelaziman dalam kehidupan seharian dan menyemai rasa kecintaan yang mendalam terhadap kalamullah. Memartabatkan Al Quran ke satu tahap yang lebih tinggi dan yang paling utama dapat memantapkan kemahiran membaca al-Quran dalam setiap jiwa warga kerja JPWPL ini.

Menurut Ketua Penolong Pengarah SPI, Ustazah Kamariah Salim, Sektor Pendidikan Islam telah melaksana pelbagai program sepanjang bulan Ramadan tahun ini seperti tadarus Al-Quran, Tazkirah zohor, Sentuhan Nurani dengan bacaan Al Mathurat setiap pagi, Tafaqquh Fiddin iaitu bacaan surah Al Kahfi dan Yaasin setiap Jumaat, Jaulah Ramadan ke 5 buah masjid,Tabung Infaq Ramadan, Iftar Ramadan, Sumbangan kepada asnaf dan kemuncaknya pada pagi ini iaitu Majlis Khatam Al-Quran.

Majlis Perasmian Penutupan Program Ihya’ Ramadan telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusup Hj Mohamad.

Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang berjaya menyelesaikan bacaan mengikut juzuk dan peserta yang memperdengarkan bacaan dengan faseh dan lancar dalam majlis tersebut.

“Penghayatan kepada isi kandungan ayat-ayat suci al-Quran akan memberi kita inspirasi dan galakan untuk lebih berusaha mendekatkan diri kepada Ilahi dan menguasai segenap bidang ilmu pengetahuan. Membaca dengan memfokuskan kepada kualiti bacaan dengan meraikan hukum tajwid sangat penting di samping mentadabbur iaitu memahami dan menghayati makna Al-Quran itu sendiri”. katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

 “Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan jutaan penghargaan kepada semua jawatankuasa yang telah menghidupkan dan menjayakan program-program sepanjang bulan Ramadan kali ini. Terima kasih kepada Sektor Pendidikan Islam yang menjadi nadi kepada setiap program sepanjang ramadhan dan sentiasa memberi komitmen yang terbaik bagi memastikan setiap program berjalan dengan lancar.

Majlis tersebut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan Encik Mohd Nizam Yasim, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Puan Dg Sarifah A Mahmood.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam




Pelancaran Program Ihya’ Ramadan Peringkat JPWPL Tahun 2022

Labuan – Kehadiran bulan Ramadan Al-Mubarak diraikan dengan Majlis Pelancaran Program Ihya’ Ramadan Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) yang diadakan Bilik Mesyuarat Botanikal, JPWPL pada 1 April yang lalu.

Program Ihya’Ramadan yang dikelolakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI) diadakan untuk mengimarahkan bulan Ramadhan dengan program-program yang dapat meningkatkan amal ibadah dan penghayatan Islam dalam kalangan warga pendidikan.

Majlis dimulai dengan bacaan surah Al Kahfi, surah Yaasin dan doa selamat. Tazkirah Ambang Ramadan yang disampaikan secara santai oleh Pengurus Kanan  Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan Labuan, Ustaz Ahmad Sharizal Mohd Saffian  menyerikan lagi majlis tersebut.

Dalam tazkirahnya Ustaz Ahmad Sharizal berkata cara untuk menzahirkan kegembiraan menunggu ketibaan Ramadan adalah dengan mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan puasa dan ibadat lain yang boleh dilakukan sepanjang Ramadan.

Katanya, setiap muslim selalu berharap untuk bertemu dengan bulan ramadan, karena bulan ini merupakan bulan yang penuh dengan rahmat, anugerah dan pahala yang berlipat ganda.

“Ciri-ciri orang beriman iaitu saat datangnya bulan Ramadan ia senang. Melakukan ibadah puasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan sehingga nanti akan timbul perasaan takut untuk melakukan segala bentuk kemaksiatan” ujarnya lagi.

Majlis Pelancaran Program Ihya’ Ramadan telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusup Haji Mohamad.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang hadir secara bersemuka dan secara maya dalam Program Tafaqquh Fiddin ini.

“Saya percaya ada beberapa program yang telah disusun oleh Sektor Pendidikan Islam dalam kita menghidupkan lagi ibadah puasa Ramadhan yang akan datang di peringkat jabatan ini dan begitu juga yang telah dirancang peringkat sekolah.

“Kita perlu muhasabah diri supaya setiap perkara negatif ketika Ramadan pada tahun yang lalu tidak kita ulangi pada tahun ini. Kita perlu menghayati intipati falsafah sebenar ibadat puasa pada Ramadan ini supaya apa yang diamalkan tidak tersasar daripada landasan sebenar”, tegas Yusup lagi.

Dalam ucapannya beliau turut mendoakan agar Ramadan yang disambut kali ini memberikan semangat kepada kita dan umat Islam di Malaysia terutamanya untuk bangkit kembali setelah menghadapi pelbagai kekangan akibat Covid-19.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Encik Mohd Nizam Yasim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Encik Yahya Ahmad Puteh, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Puan Kamariah Salim, Ketua-ketua sektor, pengetua dan guru besar serta pegawai-pegawai JPWPL.  

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam




Majlis Bicara Aspirasi Pendidikan 2022, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

LABUAN, 02 April  2022 –  Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Majlis Aspirasi Pendidikan 2022.

Kehadiran warga pendidik adalah seramai 285 orang yang terdiri daripada Majlis Pengurusan Tertinggi Jabatan, Focal Person, Pengetua & Guru Besar, YgDipertua PIBG, pegawai-[egawai jabatan dan wakil warga pendidik di setiap sekolah. Turut hadir bersama YBhgia. Datin Sri Dato’ Hjh. Norsiah binti Abdullah, merupakan AJK Focal Person Jabatan Pendidikan WP.Labuan

Dalam majlis ini Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Encik Mohd Nizam bin Yasim telah membentangkan Pelan Strategik jabatan bagi tahun 2022.

Dalam pembentangan tersebut, beliau telah menekankan tentang 9 Strategik jabatan dalam mencapai matlamat berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2025.

Menerusi ucap tama pengarah Pendidikan Encik Yusup bin Haji Mohamad, beliau menekankan bahawa apapun kerja buat seluruh warga Pendidikan haruslah memberi fokus kepada Kemenjadian Murid dan Sekolah Berkualiti.

Disamping beliau juga menekankan beberapa isu antaranya, isu beg berat dalam kalangan murid-murid sekolah rendah.

SekolahKu Sejahtera digagaskan bagi memperkenalkan, mempromosi, dan meningkatkan kefahaman terhadap elemen-elemen sejahtera yang perlu diterap, dididik, diamalkan, dan dihayati sehinggan menjadi budaya semua warga sekolah.

Majlis ini juga diselajurkan dengan Pelancaran Saluran Aduan Jabatan Pendidikan  Wilayah Persekutuan Labuan bertemakan Bersama Meningkatkan Kualiti Penyampaian Sistem Pendidikan. Banting turut diedarkan ke sekolah-sekolah di WP.Labuan.

Dari kiri Encik Nizam, Puan Maimoon, Encik Yusup, Encik Yahya dan Ustaz Abdul Rahman

Majlis Aspirasi Pendidikan ,Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2022  telah  dipengerusikan oleh Puan Maimoon binti Hj.Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, merupakan urusetia bagi majlis ini. 

Majlis ini telah diadakan di Dewan Theatrette, Bagunan Utama Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.

Majlis ini juga bersiaran langsung melalui Facebook Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Berita Oleh : Sektor Pengurusan Sekolah

Gimik pelancaran Majlis Bicara Aspirasi Pendidikan 2022
Pembentangan Pelan Strategik JPWPL 2022 oleh Encik Mohd Nizam
Bersama warga pendidikan dan tetamu yang hadir
Encik Reza menerima hadiah kuiz daripada Encik Yusup



Tugas Guru Masih Relevan Dari Dulu Sehingga Kini

Labuan, 6 Apr – Dalam mereyakasa kecemerlangan Pendidikan di WP Labuan, Sektor Perancangan telah melaksanakan Perkongsian Ilmu dalam Majlis Penyampaian Watikah dan Lesen Jurulatih Kajian Tindakan 12 Langkah pada 26 Mac 2022.

Majlis ini telah dilaksanakan di Bilik Labuhan, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan WP Labuan melibatkan seramai  26 orang jurulatih utama dari seluruh negara.

Urusetia program, Puan Faridah Amit berkata majlis ini adalah untuk menghargai dan mengiktiraf peranan guru yang telah dipilih sebagai jurulatih utama di samping pembentangan 6 kertas kajian tindakan oleh jurulatih utama. “Objektif utama majlis ini adalah untuk menyampaikan watikah dan lesen jurulatih KT12L sebagai pengiktirafan dari Jabatan Pendidikan WP Labuan.” kata beliau.

Majlis yang diadakan secara bersemuka ini turut disiarkan dalam youtube yang mendapat paparan seramai 209 dari seluruh negara.

Majlis turut dihadiri dan disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua Sektor Perancangan yang telah mengungkayahkan majlis seperti ini bagi mengiktiraf para guru yang telah menjadi jurulatih utama serta dapat memberi komitmen terbaik dalam memastikan perkongsian ilmu berkaitan kajian tindakan kepada guru-guru di Labuan dan luar Labuan dapat dilaksanakan .

“Walaupun dunia dilanda pendemik dan kita menggunakan pelbagai aplikasi secara maya, tugas guru masih relevan kerana aplikasi itu hanya alat yang membantu memudahkan tugas seorang guru.” kata beliau.

Kajian Tindakan 12 Langkah yang telah diilhamkan oleh Puan Suriani Alland Rice Oxley telah mengharumkan nama Jabatan Pendidikan WP Labuan pada tahun 2018 apabila memenagi naib johan dalm Konvensyen SISC+ peringkat kebangsaan. Rentetan dari itu, kolokium kajian tindakan mula berkembang mekar pada tahun 2019 dan 2020. Pada tahun 2021, KT12L telah disebar luas dan mula meneriam pelibatan dalam kalangan warga pendidik dari seluruh negara.

“Semoga dengan pelantikan ini akan menyemarakkan lagi semangat para jurulatih utama yang dilantik ke arah penyuburan budaya serta amalan inovasi dan kajian tindakan dalam tugas-tugas seharian dalam menggali intervensi bagi memastikan kecemerlangan murid” tegas beliau lagi.

Sesi perkongsian ilmu dikendalikan oleh Cikgu Mohd Asyraf bin  Abd Hamid, guru dari Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun, WP Labuan.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




JPWPL Komited mendapatkan Pensijilan Semula EKSA Dengan Pelancaran Gotong-Royong Perdana EKSA JPWPL 2022.

Labuan, 28 Mac – Ahli Jawatankuasa EKSA Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah mengadakan Gotong-Royong Perdana Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) pada 26 Mac 2022 bermula jam 7.00 pagi hingga jam 12.30 tengah hari, bertempat di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan JPWPL yang melibatkan lebih 80 orang warga JPWPL.

Aktiviti ini merupakan gerak kerja semua warga JPWPL dengan membersihkan seluruh kawasan yang terdapat di semua Zon  bagi memastikan persekitaran yang kondusif.

Usaha mengembeling tenaga bersama ini merupakan salah satu titik tolak JPWPL ke arah mencapai pensijilan semula EKSA oleh pihak MAMPU pada penghujung bulan Oktober 2022.

Majlis gotong-royong telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Semasa ucapan pelancaran, beliau menekankan kepada semua warga JPWPL agar memastikan pejabat sentiasa kondusif bagi warga kerja dan juga kepada pelanggan. Amalan EKSA diharap mewujudkan suasana dan budaya kerja di jabatan yang lebih tersusun, kemas, selesa dan selamat.

Acara menanam pokok doa oleh Pengarah diiringi oleh Timbalan Pengarah SPb, KPP SSTP, KPP SPP, KPP SPg, KPP SPsK dan KPP SPI

Katanya, pelaksanaan Amalan EKSA memerlukan komitmen daripada semua peringkat warga jabatan.

Janganlah menganggap pelaksanaan EKSA merupakan satu lagi tambahan tugasan tetapi sebaiknya amalan EKSA diserap, dihayati dan diamalkan bagi mewujudkan suasana kerja yang aman, memupuk semangat berpasukan, sikap bertanggungjawab, menyemarakkan aktiviti kreativiti dan inovasi.

Selain itu ianya akan dapat menggalakkan aktiviti pembudayaan Amalan Hijau dan akhirnya meningkatkan imej korporat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Aktiviti gotong-royong bukan sahaja menyemai semangat kerjasama tetapi juga mengeratkan sillaturahim di kalangan  warga di sesebuah organisasi. 

Saya percaya jika kita melakukan sesuatu dengan ikhlas, kemanisan hasil bekerjasama akan lebih dirasai dan berkesan. Semangat gotong-royong perlu disuburkan kerana ia dapat mengeratkan hubungan antara warga jabatan.

Tambahnya lagi, budaya gotong-royong bagi warga perlu dipupuk  demi kebaikan semua pihak dan bukan jadi satu alasan kita meminggirkan gotong-royong sebaliknya terus berusaha kerana banyak kerja dapat diselesaikan dengan kerjasama antara satu sama lain.

Aktiviti senamrobik sebelum gotong-royong
Ucapan perasmian oleh Encik Yusup Haji Mohamad

Kemuncak aktiviti, Encik Yusup menyempurnakan penanaman pokok sebagai simbolik majlis gotong-royong EKSA dan pembudayaan amalan hijau. Sebelum aktiviti gotong-royong, acara dimulai dengan senamrobik bersama semua warga JPWPL yang hadir.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran,  Encik Yahya bin Ahmad Putih dan Ketua-Ketua Penolong Pengarah.

Selain pelaksanaan aktiviti gotong-royong perdana pihak pengurusan telah bersetuju mengadakan gotong-royong pada setiap hari rabu setiap minggu diperingkat sektor masing-masing bermula jam 3.00 petang hingga 5.00 petang.

Pelbagai aktiviti yang juga telah dirancang dengan mengadakan pertandingan zon terbaik, sudut terbaik, bilik kerja terbaik, ruang kerja terbaik, meja terbaik, kreativiti dan inovasi dan pelaksanaan go green terbaik.

Terdapat 8 Zon yang mewakili sektor dan mengikut lokasi iaitu Zon Botanikal (Pejabat Pengarah, Sektor Integriti, Sektor Pengurusan, Sektor Pengurusan Maklumat, Sektor Pendidikan Islam), Zon Ramsey (Sektor Perancangan, Sektor Pengurusan Sekolah dan Sektor Pendidikan Khas), Zon Manikar (Sektor Pembangunan Murid, Sektor Sumber Manusia, Sektor Psikologi dan Kaunseling), Zon Victoria (Sektor Infrastruktur dan Perolehan), Zon Lada (Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan), Zon Chimney (Sektor Pembelajaran dan Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan), Zon Mawilla (Pusat Ko-Kurikulum) dan Zon Benua (Sektor Pengurusan Maklumat).

Untuk rekod, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan pernah mendapat pengiktirafan Sijil EKSA Cemerlang oleh MAMPU pada 1 Jun 2017 sehingga 31 Mei 2019.

Berita Oleh : Jawatankuasa EKSA JPWPL




MRC sampaikan sumbangan untuk murid Labuan

Labuan, 22 Mac – Majlis Getah Malaysia (MRC) telah menyampaikan bantuan awal persekolahan kepada 27 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan pada Ahad lalu.

Program kerjasama MRC, Jabatan Pendidikan W.P Labuan, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) ini telah diadakan di Dewan Terbuka Pusat Ko Kurikulum Negeri di Merinding.

Menurut Encik Ismail Abdullah, YDP MPSM Labuan yang juga pengetua SMK Pantai, program ini adalah satu inisiatif kerjasama pelibatan pihak swasta untuk meningkatkan persediaan murid-murid sebelum memulakan sesi persekolahan tahun Akademik 2022/2023.

Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Encik Nor Hizwan bin Ahmad.

Dalam ucapannya, beliau berkata MRC komited untuk terus memberi kerjasama dan membantu murid-murid di Labuan terutamanya dari aspek persediaan bahan-bahan pembelajaran.

“Pada tahun ini, MRC menyediakan peruntukan hampir 2 juta untuk bantuan awal persekolahan “back to school” kepada kira-kira 6000 orang murid seluruh negara. MRC akan terus melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menyalurkan bantuan secara lebih meluas kepada murid-murid yang memerlukan pada masa akan datang” ujar beliau lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim yang mewakili Pengarah Pendidikan dan dua Ahli Lembaga Pemegang Amanah MRC, Puan Dayang Rusimah @ Raynie binti Datuk Haji Mohd Din dan Tuan Haji Zakaria bin Haji Abdul Rahim.

Selain itu, YDP MPSM Kebangsaan Encik Mohd Ariffin bin Haji Abdul Rahman dan Encik YDP GMGBM , Tuan Haji Abdul Rahman bin Ibas turut hadir dalam majlis berkenaan.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




Akidah Mantap Lestari Sahsiah : Program Dakwah Bil Hal Peringkat Kebangsaan 2022

LABUAN: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) berjaya melaksanakan Program e-Dakwah Bil Hal Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 dengan tema Akidah Mantap Lestari Sahsiah  baru-baru ini.

e-Dakwah Bil Hal (DBH) merupakan suatu inisiatif Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membangunkan modal insan yang berketrampilan, mempunyai jati diri yang tinggi serta memiliki sahsiah dan akidah yang teguh.

Objektif DBH ini diadakan adalah untuk meningkatkan kefahaman mengenai asas-asas agama Islam dari sudut Aqidah, Ibadah Sirah dan Akhlak disamping mendorong kesedaran dan keinginan kepada para peserta untuk melakukan perubahan lebih baik terhadap diri sendiri.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 Februari lalu melibatkan seramai 200 orang peserta daripada enam buah sekolah menengah di wilayah ini. Peserta terdiri daripada murid-murid tingkatan satu hingga tingkatan tiga dengan dibantu oleh sepuluh orang fasilitator daripada kalangan Jurulatih Dakwah Negeri.Turut hadir memantau pelaksanaan DBH Zon W.P.Labuan ialah Tuan Haji Arifuddin Bin Abd Hamid, Ketua Penolong Pengarah, Unit Akidah dan Pemikiran dan Ustaz Muhamad Shafie Bin Hj Ismail, Ketua Penolong Pengarah, Unit Akhlak dan Syiar Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Para peserta sedang mengikuti program secara dalam talian.

Antara pengisian program pada hari pertama ialah sesi taaruf bersama peserta dan barisan urusetia. Ceramah akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Shafie bin Abdul Ghani, Ceramah Akhlak penyuluh Hidup disampaikan oleh ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim, Tahsin Solat dan bacaan surah Al Fatihah dikendalikan oleh Ustaz Mohd Daud Bin Abdul Rahman. Para peserta juga diberi tugasan menjawab soalan kuiz dan membuat pembentangan pada sebelah petang.

Manakala pada sebelah malam pula diadakan majlis bacaan surah Yaasin dan tahlil yang dikendalikan oleh ustaz Mohd Saifulizzan bin Mat Yasin, Juru latih dakwah daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara.

Peserta e-Dakwah Bil Hal menerima cenderamata daripada ustaz Arifuddin dalam program Ziarah Kasih Dakwah Bil Hal

Dalam ucapan alu-aluan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam (SPI), Kamariah binti Salim merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada barisan urusetia yang diketuai oleh Penolong Pengarah Unit Adab dan Nilai, SPI, Sahrum bin Samlan kerana berjaya menyusun atur program dengan gerak kerja yang pantas dalam memastikan kelancarannya.  Beliau menaruh harapan yang tinggi terhadap keterlibatan semua peserta dan juru latih sepanjang program ini berlangsung dalam memastikan impak program tercerna melalui kemenjadian murid.

“Anak-anak ialah permata berharga anugerah Allah. Saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap generasi anak-anak kita, kerana bagi saya, anak-anak ialah aset kepada pembangunan negara. Oleh itu, generasi pada hari ini hendaklah dilengkapkan dengan bukan sahaja ilmu akademiknya yang tinggi tetapi juga tinggi kebolehan, kemahiran dan kecekapan dalam pelbagai bidang dan lapangan” katanya.

Majlis Penutupan diserikan dengan kehadiran Pengarah Pendidikan JPWPL, Yusup bin Hj Mohamad. Dalam ucapannya beliau  merakamkan ucapan terima kasih kepada Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia kerana telah memilih W.P Labuan sebagai salah satu zon dalam penganjuran program yang amat bermakna ini.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Sektor Pendidikan Islam dengan kerjasama sekolah yang terlibat kerana telah berjaya melaksanakan program ini dengan lancar di peringkat Zon W.P Labuan. Tidak lupa juga, sekalung tahniah dan penghargaan kepada Sektor Pendidikan Islam, Jabatan pendidikan Negeri Sabah selaku tuan rumah peringkat Zon Sabah dan tuan rumah Majlis Perasmian Penutupan Dakwah Bil Hal Peringkat Kebangsaan Tahun 2022” katanya lagi.

Majlis Penutupan e-Dakwah Bil Hal Peringkat Kebangsaan telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, KPM, Tuan Haji Hassan Nudin bin A. Hamid secara telesidang melalui aplikasi google meet  secara terus dari Pejabat Pendidikan Daerah Tawau. Turut hadir sama dalam majlis ini ialah Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Dr. Mistirine binti Radin, Timbalan Pengarah Pembangunan Program Adab Dan Nilai, BPI, Noriah binti Harun dan pegawai-pegawai kanan Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, peserta e-Dakwah Bil Hal dan guru-guru Pendidikan Islam daripada seluruh negara.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Adik Atikatul A’Aliah menerima hadiah peserta terbaik program e-Dakwah Bil Hal
Encik Yusup sempat merakamkan gambar kenangan bersama urusetia dan pengetua sekolah terlibat dalam program e-Dakwah Bil Hal.
Pegawai-pegawai Sektor Pendidikan Islam merakamkan gambar kenangan bersama Encik Yusup, Arifuddin (tiga dari kanan) dan Muhamad Shafie (tiga dari kiri)