‘Kouryukai’ JPWPL Mengeratkan Jaringan Antarabangsa Bersama Jepun

Labuan, 18 Januari : Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya menganjurkanKouryukai’ , program pengantarabangsaan bersama University of Toyo, Tokyo pada Isnin lalu.

Kouryukai merupakan ungkapan kata bahasa Jepun bermaksud sebagai satu pertemuan atau berhimpun untuk bertukar-tukar pandangan, idea sama ada dari segi pendidikan, budaya dan sebagainya di antara dua kumpulan orang yang mempunyai perbezaan negara, bangsa atau budaya serta bertujuan berkenal-kenal mesra.

Program anjuran Sektor Perancangan dilaksanakan secara dalam talian melibatkan 75 orang peserta.

Penyelaras program, Puan Faridah Amit berkata seramai 28 pelajar University of Toyo dan 47 murid-murid sekolah menengah di Labuan terlibat di dalam program yang memasuki siri ke-3 sejak tahun 2021.

“Objektif utama program ini adalah untuk menyediakan peluang mengenali budaya antara dua negara kepada murid-murid di Labuan, selain memberi peluang murid-murid untuk berinteraksi walaupun berlainan bahasa” kata beliau.

Dalam sesi kali ini, murid-murid Labuan berpeluang mengenali beberapa aspek di dalam kehidupan remaja di negara matahari terbit. Antaranya ialah aktiviti-aktiviti pembelajaran, rekreasi, makanan dan permainan tradisi seperti Daruma-san ga Koronda.  

Adik Mohd Aidil bin Farhan dari SMK Labuan melahirkan rasa bertuah kerana terpilih menyertai program ini.

“Saya dapat mengenali budaya Jepun dengan lebih dekat. Kebetulan pula saya memang meminati majalah Mangas dan karya kartun Jepun yang begitu popular di Malaysia”

Program turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim. Dalam ucapan penutupan program, beliau berharap agar program jaringan antarabangsa ini dapat diteruskan walaupun situasi pandemik Covid-19 masih melanda dunia.

Program telah dikendalikan oleh Cikgu Cladius Upin Lonsiong Jr. dari SMK Rancha-Rancha sebagai moderator.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Antara makanan ringan di Jepun
Antara permainan tradisional di Jepun



PIBKS Meningkatkan Pembangunan Pendidikan Di Labuan

Peranan ibubapa, komuniti, pihak swasta dan agensi kerajaan adalah penyokong kuat kepada gerakan dan aktiviti pembangunan Pendidikan di WPL.

Bagi menghargai komitmen dan peranan yang dimainkan oleh Kumpulan Penggerak Ibubapa Komuniti dan Swasta Negeri(KPIBKSN), Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menganjurkan Program Executive Talk PIBKS pada 13 November lalu.

Program yang dihadiri kira-kira 150 jemputan anjuran Sektor Pengurusan Sekolah (SPS) itu telah diadakan di Palm Beach Resort, Batu Manikar.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh, program ini diadakan khusus bagi mengiktiraf peranan KPIBKS dalam bersama-sama menyumbang kepada pembangunan pendidikan di pulau bertuah ini.

“Selain itu, forum ini juga adalah untuk memaklumkan perkembangan terkini berkaitan pembangunan pendidikan di Labuan” ujar beliau lagi.

Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad telah hadir merasmikan majlis tersebut.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pendidikan sebagai senjata paling ampuh dalam meningkatkan kualiti sosio ekonomi keluarga dan masyarakat.

“Peranan dan tanggungjawab ibubapa, komuniti dan pihak swasta adalah sangat signifikan dalam pendidikan Labuan sejak awal pendidikan kanak-kanak sehingga ke lepasan menengah”

“Kebolehan menguasai kemahiran literasi dalam kalangan anak-anak pra sekolah sudah tentu akan membuka ruang penerokaan pelbagai ilmu pembelajaran di peringkat sekolah rendah” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan SMA Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (SMA MAIWP) telah menjadi warga pendidikan terbaharu dengan termeterai kesefahaman antara Jabatan Pendidikan W.P Labuan, MAIWP dan KPM sejak Jun lalu.

“Kerajaan turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM65 juta dalam Belanjawan 2022 baru-baru ini untuk pembinaan bangunan baharu SMA MAIWP. Ini adalah manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap penduduk Labuan” tambah beliau lagi.

Encik Yusup menyampaikan cenderhati kepada YDP PIBG SMK Labuan, Tuan haji Md Yusof

Selain itu beliau turut memaklumkan beberapa kelulusan projek menaik taraf institusi pendidikan yang bakal berlangsung dalam RMK-12.

Antaranya ialah projek pembinaan Kolej Tingkatan Enam dan penambahan bilik darjah di SMK Labuan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM36 juta.

Di samping itu, Jabatan Pendidikan juga berusaha untuk membida projek kemudahan Kompleks Sukan di tapak seluas 59 ekar di Sungai Lada dalam RP4, RMK-12.

Di akhir ucapan, beliau mengucapkan terima kasih atas keprihatinan anggota masyarakat setiap peringkat dalam menyantuni murid-murid yang telah kehilangan ibubapa akibat pandemik Covid-19.

“Pihak sekolah akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan murid-murid SMK Mutiara mendapat peluang terbaik bukan hanya dalam bidang akademik malah di dalam bidang sukan” katanya lagi.

Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Kolej Vokasional (KV), Encik Awang Alik bin Saidil turut berkongsi peluang-peluang pembelajaran dalam bidang kemahiran yang terdapat di Kolej Vokasional Labuan.

“Dari aspek kebolehpasaran graduan keluaran KV, setakat ini sekitar 80% pelajar terus memasuki pasaran kerja sejurus tamat pengajian, 15% menjadi usahawan dan selebihnya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi” jelas beliau.

Sebanyak 3 “letter of intent” telah ditandatangani dalam majlis ini melibatkan JPN Labuan, Persatuan Bola Sepak Labuan(LAFA), SMK Mutiara, Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kolej Vokasional Labuan dan Areach Marketing & Supplies Sdn. Bhd.

Di akhir program, Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada agensi-agensi terlibat sebagai tanda apresiasi atas kerjasama yang telah diberikan sepanjang tahun ini.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Penghargaan kepada pihak Media Labuan atas kerjasama dan sumbangan dalam mempromosikan Jabatan Pendidikan kepada masyarakat.
Letter of Intent” antara JPN Labuan dengan Persatuan Bola Sepak Labuan(LAFA)



Anugerah Teknologi Pendidikan dan Hari Inovasi Pemangkin Warga Digital

Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah melaksanakan majlis Anugerah Teknologi Pendidikan (TEKNOPEN) dan Hari Inovasi Pendidikan bagi tahun 2021 secara serentak 24 November lalu.

Majlis yang diadakan di Bilik Benua, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) telah dikelolakan secara kolaboratif antara SSTP, Sektor Pembelajaran, Sektor Pengurusan Maklumat dan Sektor Perancangan.

Menurut penyelaras majlis, Encik Awang Marten bin Haji Abdul Rahman yang juga Ketua Penolong Pengarah SSTP, majlis diadakan sebagai memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada semua warga pendidikan yang telah menyumbang daya kreatif, inovatif dan mencapai tahap yang membanggakan dalam setiap kategori yang dipertandingkan.

“Sebanyak 37 kategori dalam Anugerah TEKNOPEN dipertandingkan melibatkan warga sekolah dan warga jabatan. Penilaian adalah berdasarkan merit keberhasilan yang telah ditunjukkan oleh para penerima” kata beliau lagi.

Sementara itu, penyelaras Hari Inovasi Pendidikan (HIP) 2021, Puan Faridah Amit berkata seramai 32 pemenang daripada 12 kategori telah dipilih melalui pencalonan yang diterima.

“Pihak urusetia induk telah melantik urusetia bagi setiap kategori untuk memilih pemenang. Panel-panel penilai telah dilantik mengikut kepakaran mereka” jelas beliau.

Puan Anita mewakili cikgu Airol (SK Pekan Satu) menerima Anugerah Guru Pencipta Kandungan Digital

Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad telah hadir merasmikan majlis tersebut. Dalam ucapannya, beliau menekankan peri penting penambahbaikan berterusan dalam organisasi bagi menangani perubahan-perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan.

“Saya yakin usaha-usaha inovasi dan idea-idea kreatif telah berjaya meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan pendidikan dan berjaya meletakkan nama Labuan sebaris dengan negeri-negeri lain”

Selain itu, beliau turut menyeru agar semua warga pendidik menguasai teknologi digital dalam pendidikan bagi mendepani dunia VUCA.

Anugerah tokoh inovasi kategori individu telah dianugerahkan kepada Encik Sapri Idris daripada SMK Rancha-Rancha.

Beliau yang juga guru pusat sumber sekolah berkenaan telah berjaya mewujudkan pusat sumber digital sesuai dengan perkembangan teknologi masa kini.

Selain itu, idea-idea kreatif dan inovasi banyak dapat dilihat melalui susun atur di dalam pusat sumber selain memperkenalkan TV Pusat Sumber Sekolah dan Radio sekolah sebagai saluran penyampaian maklumat.

Manakala Labuan Research and Innovation Society (LaRIS) telah berjaya merangkul tokoh inovasi negeri dalam kategori kumpulan/pertubuhan/program.

Persatuan yang ditubuhkan dua tahun lalu itu telah berjaya menggerakkan pelbagai aktiviti berkaitan kajian tindakan dan inovasi di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Turut hadir dalam majlis berkenaan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim, para Pengetua, Guru Besar dan Pegawai-pegawai JPN.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Encik Mohd Nizam mewakili Sektor Perancangan menerima Anugerah Kualiti Pengurusan Program/Aktiviti



Program Meningkatkan Kehadiran Murid Risiko Cicir Ke Sekolah Secara Pdpr Dan Bersemuka Semasa Tempoh Pandemik Covid-19

Labuan, 15 Nov – Seramai 40 orang Jurulatih Pusat Kokurikulum telah mengikuti TOT Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dikendalikan oleh Majlis Guru Kaunseling Jabatan Pendidikan W.P. Labuan. Program ini dijalankan bagi persediaan semua jurulatih yang bakal menjadi fasilitator bagi Intervensi Meningkatkan Kehadiran Murid Risiko Cicir ke Sekolah Secara Penglibatan PdPR dan Bersemuka semasa tempoh pandemik Covid 19,  Peringkat Negeri Tahun 2021.

Sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) telah dilaksanakan. Pendekatan dan norma baharu dalam pengajaran dan pembelajaran ini adalah sejajar dengan tuntutan serta keperluan semasa berlakunya pandemik Covid-19. Semasa PdPR dilaksanakan terdapat isu dan masalah yang dihadapi dan perlu ditangani, bagi memastikan pengetahuan dan kemahiran pembelajaran dapat disampaikan kepada semua murid. Antara isu yang timbul ialah berkaitan keciciran murid dalam PdPR disebabkan pelbagai faktor.

Sebagai langkah mendepani isu dan masalah dalam pelaksanaan PdPR, terutama isu yang telah dikenalpasti iaitu berkaitan keciciran murid, maka Jabatan Pendidikan WP Labuan telah merancang melaksanakan program Meningkatkan Kehadiran Murid Berisiko Cicir ke Sekolah Secara PdPR dan Bersemuka semasa tempoh pandemik Covid 19,  Peringkat Negeri Tahun 2021.

Latihan dalam kumpulan

Mantan YDP Majlis Guru Kaunseling WP. Labuan, Maizura Musliman, menegaskan bahawa sudah tiba masanya bagi semua warga pendidikan untuk meningkatkan kehadiran murid ke sekolah sama ada secara bersemuka atau  PdPR dengan mengambilkira isu-isu yang telah dikenalpasti setelah Labuan negeri pertama yang diisytiharkan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. KPM telahpun memberi kebenaran untuk Pengoperasian Pembukaan Persekolahan secara bergilir-gilir bermula 4 Oktober 2021 lalu.

Barisan Jurulatih Pusat Kokurikulum ini didedahkan cara untuk menarik minat murid agar mempunyai kesedaran dan bermotivasi untuk  fokus belajar bersama guru dalam kedua-dua mod pembelajaran sebagai landasan ke arah kecemerlangan. Perkara pokok yang perlu didedahkan pada murid terlibat adalah dengan mencantas pemikiran yang mendorong kepada sikap negatif terhadap keperluan hadir ke sekolah dan penglibatan dalam PdPR disamping memantapkan sahsiah, mengukuh jati diri dan disiplin  murid.         

Peserta kursus sangat berminat dan memberi tumpuan sepenuhnya dengan perkongsian dari barisan guru Kaunseling yang terlibat. Seramai 5 orang Guru Kaunseling yang telah membuat pembentangan dan simulasi LDK kepada semua jurulatih Aktiviti berakhir pada 5.00 petang dan semua peserta berjaya mematuhi SOP dengan segera beredar meninggalkan tapak aktiviti sejurus selesainya program.

Gelagat Jurulatih – Peniruan dilakukan agar menyamai situasi sebenar bersama murid nanti
MAIZURA BINTI MUSLIMAN – Ketua Penceramah

Berita Oleh : Pusat Kokurikulum W.P Labuan




Kursus Tahsin Al-Quran Bersama Ustaz Nik Azizan

Labuan – Sektor Pendidikan Islam mengambil inisiatif untuk mengadakan Kursus Tahsin Al Quran di kalangan Guru Pendidikan Islam dan murid-murid daripada kelas aliran agama (KAA) secara dalam talian pada 30 Oktober lalu.

Bagi merealisasikan misi Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu ”Melestarikan Sistem Pendidikan yang Berkualiti untuk Membangunkan Potensi Individu bagi Memenuhi Aspirasi Negara”, satu usaha kolektif antara Sektor Pendidikan Islam dengan kerjasama Sektor Sumber Manusia  menyediakan platform meningkatkan kompetensi Guru Pendidikan Islam dan murid kelas aliran agama (KAA) di wilayah ini  mendalami ilmu kemahiran Al Quran.

Kursus ini dikendalikan oleh penceramah undangan ustaz Nik Azizan bin Dato’ Nik Jaafar, personaliti TV3 dan TV9.

Ustaz Nik Azizan dalam ceramahnya menerangkan tahap-tahap penguasaan Al-Quran iaitu tahap mengaji, tahap taranum, tahap tahsin dan yang paling tinggi tahap tazyin. Kursus yang disampaikan secara santai dan penuh ilmiah menyentuh tentang kewajipan memperbaiki bacaan Al-Quran, hukum tajwid serta kelebihan memahami ayat-ayat yang dibaca agar penghayatan dapat dirasai dan dihayati.

Ustaz Nik Azizan

Bacaan ayat Al-Quran daripada Johan e-hafazan Peringkat Kebangsaan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan baru-baru ini iaitu adik Nurin Nuha yang berasal daripada Tawau turut diperdengarkan. Peserta-peserta turut dibimbing untuk membacakan surah An-Nas mengikut bacaan taranum bayati.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Ustazah Kamariah binti Salim,  kursus ini bertujuan untuk memberi nilai tambah terhadap kemahiran Al Quran melalui bacaan taranum, hukum tajwid dan kaedah pengajaran Al Quran yang menarik dan interaktif.

“Di samping itu adalah diharapkan agar guru-guru dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam kursus bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembejaran kemahiran Al Quran  kepada murid-murid di sekolah.

“Kepentingan mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain merupakan syari’ at yang di bawa oleh Rasulullah S.A.W. Para ulamak juga sangat menitik beratkan agar mencari guru yang pakar dalam bidangnya agar ilmu al-Quran yang ingin dipelajari itu dapat dikuasai dengan lebih sempurna” katanya semasa berucap dalam majlis penutupan kursus tersebut.  

Seramai 170 peserta yang terdiri daripada guru- guru Pendidikan Islam dan guru Bahasa Arab sekolah menengah dan sekolah rendah di wilayah ini  mengikuti kursus melalui aplikasi google meet dan disiarkan juga melalui Youtube Ustaz Azizan channel.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam




Ceramah “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” Mewarnai Sambutan Maulidur Rasul Peringkat JPWPL Tahun 2021M/ 1443H

Labuan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) diadakan secara atas talian dengan disertai lebih daripada 250 orang warga pendidik dari kediaman masing-masing baru-baru ini.

Sambutan Maulidur Rasul ini diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Majlis dimulai dengan bacaan zikir mathurat yang dipimpin oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam.

Ceramah Maulidur Rasul bertajuk ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ telah disampaikan oleh Al-Fadil Tuan Haji Salehuddin bin Shafie, Pegawai Akidah daripada Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia secara santai namun penuh ilmiah.

Penceritaan tentang kehidupan, keperibadian dan langkah perjuangan Rasulullah bersama para sahabat dalam menegakkan syiar Islam di kota Mekah dan Madinah amat terkesan di hati pendengar.

“Manusia perlu mencontohi setiap yang ada pada diri Rasulullah SAW sebagai sumber inspirasi dalam menjalani kehidupan demi kesejahteraan di dunia dan akhirat. Kisah kehidupan Nabi Muhammad SAW ini bukan hanya untuk dibaca atau didengarkan saja setiap kali sambutan kelahiran baginda, tetapi untuk dijadikan contoh dalam kehidupan kita.

“Baginda mempamerkan adab dan kesopanan dalam interaksinya sesama manusia, tidak kira sama ada kawan atau lawan, bangsa dan keturunan. Rasulullah SAW juga menghiasi dirinya dengan pelbagai sifat mulia seperti amanah, berani, menetapi janji, ramah, sabar, jujur dan berjiwa bersih” ujarnya dalam ceramah tersebut.

Tuan Haji Salehuddin menyampaikan ceramah sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jabatan Pendidikan W.P.Labuan

Majlis tersebut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusup bin Haji Mohamad, Timbalan- timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua dan Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL , ustaz ustazah dan juga guru-guru di sekitar wilayah ini.

Dalam ucapannya Encik Yusup  berkata Majlis Sambutan Maulidur Rasul diadakan secara atas talian sebagai langkah untuk menjaga kemaslahatan bersama dalam usaha menangani Covid-19.

“Sesuai dengan tema Manhaj Rabban Ummah Berkualitii merupakan sebuah jalan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah Taala untuk seluruh makhlukNya. Berpegang kepada Al Quran dan Sunnah adalah ukurannya. Sehubungan itu ummat Islam sewajarnya menghayati tema ini sebagai usaha kita untuk kembali bangkit menjadi ummat yang gemilang” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut

Katanya lagi, 12 Rabi’ul Awwal pada setiap tahun adalah sangat penting untuk diraikan, sebagai tanda syukur dan bahagia dengan kelahiran dan perutusan baginda Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan satu nikmat dan rahmat kepada seluruh alam.

“Dakwah paling sejati adalah dengan menunjukkan akhlak yang baik, menjadi bukti yang dapat dilihat, ditiru dan dicontohi oleh orang lain. Akhlak yang baik dapat mewujudkan suasana kasih sayang dalam hubungan manusia.”.

Beliau turut berharap agar ceramah yang disampaikan tadi dapat meneguhkan jati diri dan akhlak kita sebagai seorang muslim sejati serta berusaha memperbaiki diri demi mencapai ciri-ciri muslim berkualiti.

Encik Yusup menyampaikan ucapan semasa Majlis Sambutan Maulidur Rasul.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di akhiri dengan bacaan selawat.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam




Dialog Prestasi Negeri Pastikan Sistem Penyampaian Berkualiti

Labuan, 26 Okt – Selaras hasrat memastikan sistem penyampaian perkhidmatan pendidikan berkualiti, Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menganjurkan Dialog Prestasi Negeri (DPN) Bil. 2, kelmarin.

Program sehari di bawah kelolaan Sektor Perancangan ini adakan di Bilik Raflesia, Kompleks Ujana Kewangan.

Menurut penyelaras sesi dialog, Encik Joe Hellmy bin Jumat yang juga Penolong Pengarah di Sektor Perancangan, DPN melibatkan semua ahli pengurusan tertinggi jabatan, pengetua-pengetua dan guru-guru besar sekolah-sekolah W.P Labuan.

“DPN bilangan 2 membincangkan isu-isu penyampaian perkhidmatan dalam Kluster 2 iaitu Kemenjadian Murid”

“Fokus kali ini ialah kadar pelaksanaan Kandungan Asas Kurikulum (KAK), perancangan catch-up plan dan juga pelaporan PBD terutamanya dalam tempoh pandemik dan PdPR” katanya lagi.

DPN telah dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Dalam sesi ucapan, beliau menekankan kepentingan perkhidmatan berkualiti kepada golongan sasar terutamanya murid-murid.

“Kita perlu memastikan hasrat Aspirasi Sistem dalam PPPM (2013-2025) tercapai. Ini termasuklah dari aspek akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan” tambah beliau.

Ucapan oleh Encik Yusup Haji Mohamad

Selain itu, beliau turut menegas bahawa tiada murid yang sepatutnya ketinggalan dan tercicir dari aspek pembelajaran walaupun negara masih dalam situasi mencabar.

“Pengetua dan Guru Besar selaku pemimpin instruksional di sekolah perlu mengambil inisiatif bersesuaian untuk memantau sesi PdPR dan PBD supaya tidak berlaku jurang pembelajaran dalam kalangan murid” tegas beliau lagi.

Sesi DPN dibuat dalam kaedah komunikasi dua hala secara aktif berdasarkan data raya yang diperolehi melalui kaji selidik dan Sistem PdPR online.

Ketua Penolong Pengarah, Unit Teknologi Maklumat Sektor Pembelajaran, Puan Siow May Yun telah membentangkan data berkaitan pelaksanaan Kandungan Asas Kurikulum dan pelaporan pelaksanaan PBD semua sekolah di Labuan.

DPN kali ini juga melibatkan sesi perkongsian pengalaman oleh Pengetua SMK Mutiara dan Penolong Kanan SJKC Chung Hwa untuk sesi pembukaan dan pengoperasian sekolah.

Turut menghadiri DPN kali ini ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Haji Matnoh dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Para Pengetua dan Guru Besar yang hadir dalam Dialog Prestasi Negeri



52 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Terima Surat Kenaikan Pangkat

Seramai 52 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) diraikan di dalam Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat Rabu lalu. Majlis kelolaan Sektor Sumber Manusia (SSM), Jabatan Pendidikan W.P Labuan ini telah diadakan di Bilik Raflesia, Kompleks Ujana Kewangan.

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Manusia, Encik Mohd Khairul Hafiz bin Juni, majlis ini diadakan bagi merai dan mengiktiraf kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dan Pegawai Kumpulan Pelaksana (PKP) secara Time Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK).

“Majlis penyerahan surat kenaikan pangkat Fasa 1 ini melibatkan 52 penerima Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dalam pelbagai gred jawatan dan 3 penerima dari Pegawai Kumpulan Pelaksana . Majlis kali ini juga diadakan secara bersemuka dengan mengambil kira SOP yang ditetapkan untuk fasa 4 Pelan Pemulihan Negara(PPN)” katanya lagi.

Seramai 24 PPP telah menerima kenaikan pangkat dari DG52 ke DG54, seorang daripada DG48 ke DG52, 11 daripada DG44 ke DG48, 16 Daripada DG41 ke DG44 dan 3 orang PKP menerima kenaikkan pangkat ke gred N22.

Majlis telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Dalam ucapannya, Encik Yusup mengucapkan tahniah kepada semua penerima kerana telah memberi komitmen cemerlang terhadap amanah yang diberikan.

“Ini adalah menifestasi penghargaan kerajaan atas sumbangan dan komitmen guru-guru. Kita seharusnya mensyukuri nikmat ini dengan memberi perkhidmatan pendidikan lebih cemerlang dan berkualiti tinggi”

“Saya menyeru agar kita semua terus istiqamah dan konsisten dalam meningkatkan budaya kecemerlangan dalam organisasi. Bekerjalah bersungguh-sungguh, semoga Allah menerima kerja buat kita hari ini sebagai ibadah di sisiNya” kata beliau lagi.

Ucapan Perasmian oleh Encik Yusup Haji Mohamad

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Sektor Sumber Manusia kerana telah berjaya menguruskan kenaikan pangkat ini dengan lancar dan tanpa keciciran.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim memimpin bacaan ikrar perkhidmatan awam dan ikrar integriti perkhidmatan awam.

Majlis turut diserikan oleh persembahan koir oleh guru-guru SKBK.

Tahniah diucapkan kepada semua penerima kenaikan pangkat



Warga Pendidikan Digesa Untuk Kembali Aktif Beraktiviti.

Labuan, 16 Okt – Sempena pelancaran Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan sempena Hari Sukan Negara 2021, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan telah melancarkan tiga aktiviti utama secara bersemuka dan hidbrid bersama seluruh warga pendidikannya. Pelancarannya telah dijalankan serentak diseluruh negara oleh YB Dato’ Dr Mah Hang SOON Timbalan Menteri Pendidikan 1.  Program ini telah dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi KPM, Pengarah-Pengarah Bahagian dan Urus setia program secara bersemuka hibrid. Aktiviti Senamrobik yang diadakan dalam program ini telah disiarkan melalui Webinar,Youtube dan Facebook Live.

Lain pula situasinya di W.P. Labuan di mana penyertaan warga pendidikan dijalankan secara bersemuka memandangkan W.P.Labuan telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. Seramai 50 orang warga guru telah mengikuti aktiviti berkayak sejauh 7 km di sepanjang persisiran pantai, 50 orang mengikuti senam robik di Pusat Kokurikulum. Manakala 30 orang lagi yang terdiri dari barisan pengurusan tertinggi dan urus setia serta 100 murid terpilih dalam kalangan murid sekolah menengah telah mengikutinya secara hidbrid di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP).

Peserta SenamrobikDiPusat Kokurikulum Negeri.

Pengarah Pendidikan W.P. Labuan, Yusup bin Hj. Mohamad, menegaskan bahawa sudah tiba masanya bagi semua warga pendidikan untuk kembali cergas bagi mengharungi 3 Peringkat Pembukaan Sekolah bermula pada 4 Okt, 18 Okt dan 1 November 2021. Semua jurulatih sukan dalam kalangan guru-guru sendiri sudah boleh mengambil tindakan yang sewajarnya dalam merencana periodisasi dalam sukan masing-masing yang meliputi aspek kecergasan, kemahiran teknikal dan taktikal serta psikologi sukan. Perkara ini sudah pun dimesyuaratkan dan tindakan telah pun diambil oleh Sektor Pembangunan Murid yang diterajui oleh Timbalan Pengarahnya En. Abdul Rahman hj Ahmad. Sejak April tahun 2020 para pendidik sentiasa berfikir untuk mengurangkan jurang keciciran dalam aspek pembelajaran. Kini para jurulatih sukan perlu menyusun strategi agar kita juga tidak keciciran dari aspek potensi dan bakat murid.

Menurut En. Samsul bin Mandisin Ketua Penolong Pengarah Unit Bakat Murid, sejak Labuan telah diumumkan selamat dan memasuki fasa 4 Pelan Pemulihan Negara Jabatan Pendidikan W.P. Labuan bersama rakan strategi mereka Jabatan Belia dan Sukan telah merangka pelbagai program dalam mengembalikan gaya hidup sihat warga Labuan. Sehinggakan tawaran hebat telah diberikan oleh JBS terhadap Sekolah Sukan Negeri SMK Mutiara bagi penggunaan kemudahan mereka. Walaupun begitu, pematuhan terhadap SOP masih diperketatkan di mana semua peserta yang terlibat mestilah telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Peserta kayak telah berjaya dilepaskan oleh YB. Senator Datuk Hj. Bashir bin Hj. Alias Ahli Dewan Negara tepat jam 6.45 pagi di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan. Aktiviti berakhir pada 5.00 petang dan semua peserta berjaya mematuhi SOP dengan segera beredar meninggalkan tapak aktiviti sejurus selesainya program.

Yb Senator Datuk Hj. Bashir Bin Hj. AliasMelepaskan Peserta Kayak
Peserta KayakDi Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan
Barisan Guru-Guru Yang Menyertai Aktiviti KayakBerehat sebentar di Pantai Nagalang

Berita oleh : Sektor Pembangunan Murid




Piagam Pelanggan Jabatan Pendidikan W.P Labuan Mantapkan Sistem Penyampaian

Labuan, 14 Okt – Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah melaksanakan bengkel pemurnian Piagam Pelanggan pada Selasa lalu di Bangunan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan.

Bengkel yang melibatkan semua ahli pengurusan tertinggi telah dikendalikan oleh Sektor Perancangan.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim yang juga moderator dalam bengkel tersebut, bengkel ini bertujuan untuk memurnikan Piagam Pelanggan yang dibuat sebelum ini.

“Terdapat perubahan di dalam sistem pengoperasian dan penyampaian jabatan terutama apabila berlaku ledakan teknologi maklumat. Tambahan pula situasi Covid-19 telah banyak mengubah cara kita bekerja”

“Perkara-perkara ini kita telah ambil kira dalam pembinaan Piagam Pelanggan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan jabatan kekal relevan” kata beliau.

Bengkel sehari tersebut telah menyenaraikan 35 pernyataan yang merupakan janji perkhidmatan oleh Jabatan Pendidikan W.P Labuan kepada pelanggan-pelanggan jabatan.

Piagam jabatan telah dibahagikan kepada beberapa kategori termasuk pengurusan penempatan dan pertukaran murid, pengurusan fizikal, pengurusan sumber manusia dan pengurusan pelanggan.

Bengkel turut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Bengkel Piagam Pelanggan JPWPL diketuai oleh Encik Yusup

Ketika menyampaikan ucap utama, Encik Yusup mengharapkan agar janji-janji perkhidmatan yang ditawarkan oleh jabatan dapat disempurnakan sebaik mungkin.

“Apa yang tertulis di dalam Piagam Pelanggan merupakan janji bertulis yang perlu sentiasa dihayati dan dirujuk oleh setiap pegawai supaya perkhidmatan kita memberi impak maksimum kepada pelanggan-pelanggan jabatan” tambah beliau lagi.

Hadir sama di dalam bengkel tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Haji Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad dan pemangku Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Puan Ang Bee Uan.

Turut hadir ialah semua KPP dari sektor-sektor.