Bicara Profesional Pengarah Pendidikan Bersama Guru Pendidikan Khas

4 November 2025, Labuan – Seramai 86 orang guru pendidikan khas dari seluruh Wilayah Persekutuan Labuan telah menghadiri Program Bicara Profesional Pengarah Pendidikan Bersama Guru Pendidikan Khas yang diadakan di Dewan Raflesia, Kompleks Ujana Kewangan.
 
Program anjuran Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan ini bertujuan meningkatkan profesionalisme, semangat kerjasama dan kualiti perkhidmatan dalam kalangan guru pendidikan khas bagi memperkukuh kesejahteraan dan pencapaian murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
 
Majlis telah disempurnakan oleh Tuan Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa guru pendidikan khas memainkan peranan penting dalam membentuk potensi dan masa depan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK). Beliau turut menyeru agar guru terus berinovasi dalam pendekatan PdPc dan mengekalkan semangat kasih sayang serta keikhlasan dalam mendidik.
 
Antara pengisian utama program ialah sesi Bicara Profesional: “Peranan Guru Pendidikan Khas dalam Melonjakkan Kemenjadian MBPK” dan sesi dialog interaktif bersama Pengarah Pendidikan. Sesi dialog ini memberi peluang kepada peserta meluahkan pandangan, mencadangkan penambahbaikan, serta membincangkan isu-isu sebenar berkaitan pelaksanaan pendidikan khas di sekolah.



KUNJUNG HORMAT DARUL KIFAYAH MAIWPL KE PEJABAT PENGARAH PENDIDIKAN JPWPL

Labuan, 2 November 2025 – Satu kunjung hormat telah diadakan oleh pihak Darul Kifayah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (MAIWPL) ke Pejabat Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan pada jam 9.30 pagi sebagai tindak susul daripada kunjungan Jawatankuasa Darul Kifayah dan Dar Assaadah MAIWP pada 17 Oktober 2025 yang lalu.
 
Delegasi kali ini diketuai oleh En. Mohd Isa bin Ahris, Ketua Unit Pembangunan Insan MAIWP Cawangan Labuan dan En. Abd Fattah bin Abd Hafiz, Pengetua Kompleks Darul Kifayah MAIWP Cawangan Labuan.
Fokus utama pertemuan adalah perbincangan mengenai pelaksanaan program Road to Success, yang dirangka khusus untuk memperkasa pembangunan sahsiah dan akademik anak-anak asnaf dan yatim di bawah kelolaan MAIWPL melalui pendekatan berfasa.
 
Satu persetujuan bersama telah dicapai untuk melantik seorang pegawai kanan JPWPL sebagai Penasihat Road to Success versi Darul Kifayah Labuan (RTS DKL). Penasihat ini akan berkolaborasi dengan pihak pengurusan DKL bagi menilai semula kekuatan gandingan guru-guru tuisyen yang telah dilantik, demi memastikan keberkesanan program secara menyeluruh.
 
Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan antara MAIWPL dan JPWPL dalam memperkukuh sinergi pendidikan, memperluas peluang pembelajaran berkualiti serta membentuk generasi pelajar yang berdaya saing, berakhlak mulia dan berilmu tinggi, selaras dengan aspirasi pembangunan ummah.



Program bulanan Energizer Break

Labuan, 29 Oktober 2025 – Program bulanan Energizer Break anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan diteruskan lagi dengan tema “Semangat Sepasukan” yang dilaksanakan di lokasi masing-masing melibatkan seluruh warga jabatan berjaya mencetuskan suasana ceria dan bersemangat melalui aktiviti santai berkonsepkan kerjasama serta motivasi.

Program ini diadakan selaras dengan inisiatif Pembudayaan Keseronokan Bekerja yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) — ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang positif, menyeronokkan dan penuh semangat kekitaan. 🌈✨

#SPsKBisai #SemangatSepasukan #EnergizerBreak #KeseronokanBekerja #KPM




KLINIK PENGISIAN TAPISAN KESELAMATAN CGSO (e-vetting 3.0) JABATAN PENDIDIKAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN TAHUN 2025

LABUAN, 28 Oktober 2025 – Klinik Pengisian Tapisan Keselamatan CGSO (e-vetting 3.0) JPWP Labuan Tahun 2025 telah diadakan di Bilik Gerakan, Jabatan Kerja Raya W.P. Labuan.
 
Taklimat telah disampaikan oleh Puan Hajah Nur Fadhleena binti Haji Ali, Penolong Pengarah Sektor Integriti JPWP Labuan. Program ini telah dihadiri seramai 27 orang peserta yang terdiri daripada guru data sekolah menengah dan sekolah rendah di W.P. Labuan.
 
Tujuan klinik dilaksanakan ada bagi memberi panduan kepada para peserta untuk mengisi maklumat dalam sistem e-vetting 3.0. Para peserta juga dilantik sebagai ejen untuk mengajar pegawai lain di sekolah masing-masing bagi Tapisan Keselamatan (untuk pegawai baharu dan pegawai yang belum dibuat tapisan keselamatan) dan Tapisan Keselamatan Semula (bagi pegawai yang telah mempunyai keputusan tapisan keselamatan melebihi tempoh 5 tahun dari keputusan tapisan keselamatan terdahulu selaras dengan peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa.



SESI LIBAT URUS SEKTOR INTEGRITI BERSAMA PENGURUSAN TERTINGGI JABATAN PENDIDIKAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN DAN PENTADBIR SEKOLAH TAHUN 2025

LABUAN, 28 Oktober 2025 – SLU Sektor Integriti Bersama Pengurusan Tertinggi JPWP Labuan dan Pentadbir Sekolah Tahun 2025 yang telah diadakan di Bilik Gerakan, Jabatan Kerja Raya W.P. Labuan. YBrs. Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan W.P. Labuan telah berkesempatan menyantuni peserta SLU dan menitipkan amanat beliau.
 
Program tersebut telah dihadiri seramai 51 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Pengurusan Tertinggi Jabatan Pendidikan W.P. Labuan serta semua Penolong Kanan Pentadbiran (PK1) sekolah menengah dan sekolah rendah di W.P. Labuan.
 
Seramai dua (2) orang pembentang dari Unit Integriti, Kementerian Pendidikan iaitu Encik Abdul Rahman bin Hasim dan Encik Muhammad Azreen bin Aziz telah dijemput untuk membentangkan tajuk berkaitan penerimaan hadiah dan sumbangan serta kesalahan rasuah dan salah guna kuasa dalam pengurusan kewangan sekolah.



MAJLIS APRESIASI DAKWAH (MARWAH) 2025 SEMARAKKAN SEMANGAT ADAB DAN NILAI WARGA PENDIDIKAN LABUAN

LABUAN, 28 Oktober 2025 – Majlis Apresiasi Dakwah (MARWAH) peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah di Desa Tunas Hijau, Kampung Sungai Miri petang tadi.
 
Penganjuran MARWAH bertujuan memberikan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan Program Adab dan Nilai di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan.
 
Majlis ini turut menjadi platform untuk meraikan jurulatih negeri serta peserta yang mewakili Wilayah Persekutuan Labuan dalam program tersebut di peringkat kebangsaan, sebagai tanda pengiktirafan atas komitmen dan pencapaian cemerlang mereka.
 
Antara anugerah yang disampaikan pada majlis tersebut ialah Anugerah Terbaik Pencapaian Aktiviti Adab dan Nilai, Anugerah Terbaik Pengurusan Penarafan Surau/Musolla, Anugerah Pencapaian Terbaik Penguasaan Al-Quran, Anugerah Terbaik Pengurusan Panitia Pendidikan Islam serta Anugerah Ikon Citra Dakwah dan Kepemimpinan.
 
Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan menarik antaranya persembahan Kalam Arabi oleh adik Nwuwairah Nour Hasanah binti Samsulbahri dari Sekolah Kebangsaan Sungai Lada, serta persembahan nasyid oleh Kumpulan Al Intisar yang dianggotai oleh murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan. Persembahan tersebut telah memukau para hadirin dan menambahkan lagi kemeriahan suasana majlis.
 
Majlis MARWAH 2025 telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Tuan Yahya bin Ahmad Putih. Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Puan Kamariah binti Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Maklumat dan ICT, Puan Murniza binti Mohammad serta Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas, Tuan Haji Sahbudin bin Ag Muhamad. Turut sama memeriahkan majlis ialah para pegawai jabatan, pengetua dan guru besar dari sekolah-sekolah sekitar Labuan.
 
Kehadiran tetamu kehormat dan penglibatan aktif warga pendidikan telah menjadikan MARWAH 2025 sebagai platform penting dalam menyemarakkan semangat dakwah serta memperkukuh nilai-nilai murni dalam kalangan warga pendidikan dan masyarakat setempat.



PELANCARAN DEKAD MEMBACA KEBANGSAAN PERIGKAT NEGERI WP LABUAN 2025

Tarkh: 23 Oktober 2025 (Khamis)
TempatL Plaza Berpayung Kompleks Sukan Air WP Labuan
Anjuran: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dengan kerjasama Perpustakaan Awal Labuan dan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan WP Labuan
 
Antara aktiviti yang dijalankan ialah Pertandingan Mewarna Prasekolah, Aroma Meja Bulat dan pameran serta jualan buku DBP, PERWILA, Munsyi Jawi Labuan dan SSTP Labuan. Turut diadakan Pertandingan Deklamasi Sajak yang telah dimenangi oleh adik Nur Amani Amanda Binti Arman dari SJK (C) Chi Wen dengan tajuk sajak Pustaka Nian Mendebu oleh bagi Kategori Sekolah Rendah dan adik Elmer Emmeric Alexius dari SMK ST Anthony dengan tajuk sajak Hirisan Hati Demi Bahasa oleh Zafran.A. bagi kategori sekolah menengah.
 
Program ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan YBrs En Mohd Sukuran bin Taib yang turut dihadiri Pengarah DBP Cawangan Sabah Puan Jennitah binti Noordin dan Sastarewan Sabah En Sukor Usin. Diharapkan agar budaya membaca dapat disemai di kalangan warga Labuan sebagai usaha menjadikan warga Labuan yang berilmu.
 
Majlis ini turut dihadiri Wakil Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Wilayah Persekutuan Labuan Puan Noraini binti Sabudin dan Ketua Penolong Pengarah SSTP Labuan En Mohammad Bin Pindut.



Kem SHEILDS Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 24 hingga 26 Oktober 2025 – Kem SHEILDS Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung sejak 24 hingga 26 Oktober 2025 di Bangunan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan WP Labuan.
 
Agensi Antidadah Kebangsaan WP Labuan selaku penganjur utama serta Jabatan Pendidikan WP Labuan sebagai rakan strategik atas penganjuran program berimpak tinggi ini yang menyasarkan golongan pelajar sekolah menengah berusia 14 hingga 16 tahun.
 
Kem ini juga dapat menyuntik semangat positif, jauhi segala bentuk penyalahgunaan dadah, dan menjadi contoh murid yang berdisiplin, berakhlak serta berwawasan.
 
Pn Noraini binti Sabudin Timbalan Pengarah Pendidikan,Sektor Perancangan telah merasmikan kem ini. Turut hadir Pn Zaliha binti Mohd Salleh, KPP HEM JPWPL dan En Asmawi bin Ahmad, PP SSTP JPWPL.



𝗞𝗨𝗡𝗝𝗨𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗛𝗢𝗥𝗠𝗔𝗧 𝗝𝗔𝗪𝗔𝗧𝗔𝗡𝗞𝗨𝗔𝗦𝗔 𝗗𝗔𝗥𝗨𝗟 𝗞𝗜𝗙𝗔𝗬𝗔𝗛 𝗗𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗥 𝗔𝗦𝗦𝗔𝗔𝗗𝗔𝗛 𝗞𝗘 𝗝𝗔𝗕𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗡𝗗𝗜𝗗𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗪.𝗣. 𝗟𝗔𝗕𝗨𝗔𝗡

Labuan, 17 Oktober 2025 – Delegasi Jawatankuasa Darul Kifayah dan Dar Assaadah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang diketuai oleh Profesor Datin Dr. Rusni Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Darul Kifayah dan Dar Assaadah MAIWP meneruskan siri lawatan kerja ke Labuan dengan mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Ketibaan delegasi disambut mesra YBhg. En. Yahya Ahmad Puteh, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Kunjungan ini bertujuan mengukuhkan hubungan strategik serta membincangkan potensi kerjasama dalam aspek pendidikan, pembangunan sahsiah dan kebajikan pelajar, khususnya melibatkan anak-anak asnaf dan anak- anak yatim di bawah kelolaan MAIWP.
 
Melalui jalinan kerjasama ini, MAIWP berharap dapat memperkukuh sinergi bersama pihak Jabatan Pendidikan bagi memperluas peluang pendidikan berkualiti serta melahirkan generasi pelajar asnaf yang berdaya saing, berakhlak mulia dan berilmu tinggi selaras dengan aspirasi pembangunan ummah.
 
Sumber Berita : FB Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan – MAIWP



Kem Pemantapan Adab dan Nilai WP Labuan: Bina Sahsiah Generasi Rabbani

LABUAN, 25 Oktober 2025 – Kem Pemantapan Adab dan Nilai Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah melabuhkan tirainya petang tadi.
 
Program selama dua hari yang berlangsung di Pusat Kokurikulum Negeri, Ganggarak ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti menarik dan menyeronokkan seperti Slot Ta’aruf dan Ice Breaking, Slot Kerohanian dan Tazkirah, Slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK), Slot Ceramah Kepimpinan Rabbani, Slot Riadah, serta Slot Khidmat Diri dan Gotong-Royong.
 
Seramai 189 orang peserta yang terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah seluruh Wilayah Persekutuan Labuan telah menyertai kem berkenaan.
 
Program ini telah dikelolakan oleh Sekolah Kebangsaan Lubuk Temiang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun, dengan bimbingan Ustaz Syahnon bin Othman, Penolong Pengarah Unit Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Seramai lapan orang jurulatih dakwah turut terlibat sebagai fasilitator dan pengendali slot aktiviti sepanjang kem ini berlangsung bagi memastikan setiap peserta mendapat pengalaman pembelajaran yang bermakna, menyeronokkan dan membina keperibadian unggul.
 
Penganjuran kem ini bertujuan membentuk karakter murid yang berakhlak mulia, berdisiplin tinggi serta beradab dalam setiap tindakan, selaras dengan matlamat melahirkan generasi rabbani yang berjiwa pemimpin serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
 
Majlis penutupan rasmi kem ini telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustazah Kamariah Salim. Turut hadir ialah Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, Guru Besar SK Lubuk Temiang, Puan Faridah binti Abdul Rahman, serta Ketua Unit Pembangunan Asnaf MAIWP Labuan, Encik Mohd Syukur bin Norfini.
 
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak MAIWP atas kerjasama erat serta sumbangan yang diberikan dalam menjayakan penganjuran kem ini.
 
Kem ini diharap menjadi wadah terbaik dalam memperkukuh nilai-nilai murni, jati diri dan semangat kepimpinan dalam kalangan murid, seiring dengan aspirasi pendidikan Islam dalam membentuk insan berakhlak, beradab dan berperibadi unggul.