Mesyuarat Agung PIBG SKPS

Carta Organisasi PIBG SK Pekan Satu Bagi Sesi 2021/2022

Labuan, 08 Ogos- Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-24 SK Pekan Satu yang melibatkan semua warga SKPS telah diadakan menggunakan aplikasi Google Meet sesuai dengan situasi pandemik pada saat ini. Mesyuarat ini merupakan salah satu program tahunan PIBG yang diadakan bagi membincangkan isu yang mungkin timbul serta mencari jalan penyelesaian di samping membina hubungan baik di antara pihak sekolah dengan ibu bapa. Pada tahun ini juga telah diadakan proses pemilihan ajk baharu bagi sesi 2021/2022. Perasmian majlis disempurnakan oleh Pegawai Angkat Sekolah, En Abd Rizal bin Abdul Rahim.

Antara yang hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Anita Syahmini A/P S Azman, Guru Besar SKPS  , Encik Azrul Rizhan bin Abd Rahman, Yang Dipertua (YDP) PIBG SK Pekan Satu, Puan Zaliha binti Mohd Salleh, Penolong Pengarah Unit Pendidikan Swasta Sektor Pengurusan Sekolah JPWPL merangkap NYDP PIBG SKPS, , 4 orang pentadbir SKPS, 10 orang Ajk Tertinggi PIBG, guru-guru serta ibu bapa.

Encik Azrul Rizhan menyatakan, mesyuarat ini menjadi satu wadah kepada ibu bapa dan guru bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan murid-murid SKPS. “saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga sekolah kerana memberi kepercayaan kepada saya sebelum ini bagi mengetuai PIBG dan memohon maaf jika terkurang dalam melestarikan keharmonian warga SKPS” tambah beliau lagi.

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Puan Anita Shyamini mengucapkan terima kasih dan syabas kepada hadirin dan AJK program kerana dapat melaksanakan mesyuarat tahunan dengan cemerlang walaupun menggunakan aplikasi GoogleMeet. Beliau juga menyeru ibu bapa untuk memberi sokongan yang jitu kepada AJK PIBG yang baru agar objektif PIBG dapat dicapai.

Suasana Mesyuarat Agung PIBG SKPS Kali Ke-24 dijalankan di GoogleMeet

“Pelbagai strategi PDPR yang telah diterapkan oleh para guru kepada murid bagi memupuk minat pembelajaran dalam diri antaranya melalui ICT yang mana dahulu kita tidak mahir dalam menggunakan GoogleMeet, GoogleForm, Kuiz Online dan sebagainya tetapi pandemik ini telah menyebabkan ilmu-ilmu ict tersebut dapat dikuasai oleh murid-murid SKPS” tambah beliau lagi.

Tuan Abd Rizal menyatakan rasa teruja dengan berlangsungnya program sebegini yang dapat membantu dalam memperkasakan lagi kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa khususnya. Beliau selaku perasmi telah menyelitkan sedikit nasihat kepada ibubapa tentang pembelajaran murid pada masa pandemik ini. “Sempena PDPR ini, ibu bapa hendaklah sentiasa membantu para guru untuk mendidik murid-murid dengan cara menyemak buku latihan anak-anak serta mendorong mereka melakukan kerja rumah yang telah diberikan, perkara sebegini dilihat enteng oleh kita namun ianya merupakan langkah permulaan bagi anak-anak mencapai kejayaan”.

Mesyuarat kali ini juga telah diadakan pemilihan AJK PIBG sesi 2021/2022. Pemilihan kali ini memperlihatkan wajah-wajah baru di samping 2 orang Ajk PIBG lama yang telah dilantik semula. AJK PIBG sesi kali ini diketuai oleh En. Sallehuddin bin Wasli selaku Yang Dipertua PIBG, En. Isyamudin bin Noordin selaku NYDP, Puan Nurjuliza Jamil, Setiausaha dan Puan Masitoh Hassan selaku Bendahari PIBG. Selain itu, seramai tujuh orang wakil ibubapa dan 4 orang guru merupakan AJK Tertinggi PIBG pada sesi kali ini.

Pelbagai idea yang bernas telah dicurahkan semasa program ini, antaranya cadangan untuk membeli Mesin Air Bersih bagi kegunaan murid-murid seterusnya menggalakkan mereka  minum air kosong. Mesyuarat Agung PIBG kali ini juga menyediakan 20 soalan Kuiz yang mana hadiahnya berupa wang tunai RM50. Peserta yang menulis jawapan  soalan kuiz paling laju dan tepat dalam Chat GoogleMeet dipilih sebagai pemenang. Soalan kuiz tidak hanya berkisar tentang PIBG tetapi juga menyelitkan soalan tentang kemerdekaan bersempena dengan Bulan Kemerdekaan seperti  “Bilakah tarikh kemerdekaan Malaysia?”.

Senarai Nama Pemenang Kuiz Yang Diadakan Semasa Program Dijalankan.

Berita Oleh : SK Pekan Satu

Kad Jemputan Mesyuarat Agung PIBG SKPS Kali Ke-24

Loading

image_pdfimage_print