“Hijrah: Ke Manakah Kita?”

Ustaz Muhammad Aizat Bin Che Romli Memberi Ceramah Tentang Pentingnya Hijrah

Labuan, 10 Ogos– SK Pekan Satu telah mengadakan Program Sambutan Maal Hijrah 2021/1443H yang bertemakan “Hijrah: Ke Manakah Kita”. Program ini amat penting bagi mengimbau kembali Peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Kota Madinah di mana Baginda  mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar yang merupakan satu kisah penting  kerana dari situlah agama Islam dapat disebarkan sehingga ke serata dunia. Pada kali ini, pihak sekolah menjemput Penolong Pegawai Unit Agama, PPD Sri Aman Sarawak Ustaz Muhammad Aizat Bin Che Romli.

Program ini telah dijalankan secara maya melalui aplikasi GoogleMeet bagi menepati SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan Malaysia. Objektif utama program ini adalah bertujuan meningkatkan keyakinan para hadirin tentang Ukhuwah Islamiah yang kuat dan jitu adalah asas kepada perpaduan dan kesatuan ummah yang membawa kepada kemajuan dan kejayaan umat Islam ke era  global demi menjulang nama Islam dipersada dunia serta menjadi ikon terbaik di alam maya ini.

Puan Anita Shyamini mengucapkan jutaan terima kasih kepada para jemputan terutama Ustaz Muhammad Aizat, guru-guru, murid-murid dan semua yang terlibat dalam Program Sambutan Maal Hijrah 2021/1443H peringkat sekolah. “Bagi pengetahuan semua, hijrah adalah sesuatu perkara yang sering kita lakukan namun ianya terbahagi kepada dua iaitu hijrah kepada yang lebih baik atau sebaliknya, maka dengan ini marilah kita sama-sama berazam untuk hijrah dari perkara baik kepada yang lebih baik” tambah beliau lagi.

Dalam ceramah yang bertajuk “Hijrah : Ke Manakah Kita?”, Ustaz Muhammad Aizat menekankan tentang hijrah yang perlu dilakukan dari sekecil-kecil perkara berbanding menanti-nanti penghijrahan yang  besar. Penceramah juga menyeru para hadirin untuk menghidupkan kembali sunnah Nabi Muhammad SAW walaupun ianya sekecil-kecil amalan seperti mengucap Alhamdulillah selepas bangun dari tidur. “Jika sunnah ini diamalkan secara istiqamah maka ianya disukai oleh Allah seperti mana hadis Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya Sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah ialah amalan yang dikerjakan secara berkekalan walaupun sedikit” tambah beliau lagi.

Peserta Motivasi Tekun Mendengar Ceramah Maal Hijrah Yang Disampaikan Oleh Penceramah.
 

Konklusinya, penyelaras program iaitu Puan Sanisah Binti Zulkifle menyatakan dengan adanya program seumpama ini amat diharap ianya akan menjadi pemangkin serta wadah penghijrahan kejayaan murid-murid SKPS dari segi sahsiah, pelajaran dan lain-lain. Tambahnya lagi, tanpa komitmen yang tinggi daripada semua pihak, maka program seumpama ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sepertimana yang diharapkan.

Berita Oleh : SK Pekan Satu

Kad Jemputan Program Sambutan Maal Hijrah 2021/1443H
 

Loading

image_pdfimage_print